Categories
SELANGOR

MBPJ lancar PJ Smart Centre

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 15 MAC: Selaras dengan usaha Kerajaan Negeri membangunkan Smart Selangor yang peduli, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil satu langkah terkedepan dengan memulakan projek PJ Smart City dan membangunkan PJ Smart Centre ke arah menggalakkan perkembangan ‘Knowledge Economy’.

Datuk Bandarnya, Mohd Azizi Mohd Zain berkata, ia dilaksanakan melalui pembangunan Infrastruktur Pintar (Smart Infrastructure), Membangun Smart People dan mewujudkan Kerajaan Pintar (Smart Government).

Katanya, PJ Smart Centre merupakan pusat data MBPJ bagi mengurus dan memantau bandar raya Petaling Jaya dengan lebih cekap melalui landasan penyimpanan dan pemprosesan data bersepadu dengan menggunakan data-data digitalnya yang dianalisisa secara ‘Automated’.

“Ia juga merupakan lambang ke arah pengurusan data yang sistematik.

“Fungsi PJ Smart Centre dalam menghasilkan pelaporan bagi setiap papan pemuka (dashboard) yang dibangunkan di mini smart centre dalam membantu MBPJ membuat sesuatu keputusan dalam perancangan dan pengurusan bandar raya Petaling Jaya.

“Data yang dihasilkan di mini smart centre akan dipaparkan dan dipantau pusat data PJ Smart Centre,” katanya pada pelancaran PJ Smart Centre, semalam.

Mohd Azizi berkata, MBPJ sebelum ini membangunkan sebanyak tiga mini smart centre yang mula beroperasi di Jabatan Perancangan Pembangunan, Penguatkuasa dan Unit Komunikasi Korporat (Seksyen Aduan Awam).

“MBPJ turut bercadang untuk membangunkan 10 mini smart centre lagi di lain-lain jabatan pada tahun ini.

“Ia bagi memastikan penduduk Petaling Jaya menyokong dan turut terbabit dalam pelaksanaan PJ Smart City, MBPJ bercadang membangunkan mini smart centre di kawasan-kawasan kejiranan sekitar Petaling Jaya,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pelaksanaan Projek PJ Smart City merupakan penyelesaian bersepadu ‘Integrated Solution’ menggunakan landasan Sistem Maklumat Geografi (GIS)’ sebagai asas pembangunan aplikasi dalam mengurus bandar raya Petaling Jaya secara pintar, mampan dan berdaya tahan.

Beliau berkata, sebanyak 64 dashboard dibangunkan yang merangkumi lima sektor utama perkhidmatan MBPJ.

“Antaranya, Perancangan dan Pembangunan Bandar (City Planning & Development), Pembangunan Komuniti Bandar (City Community Development), Perniagaan Bandar (City Business), Pengurusan Bandar & Penguatkuasaan (City Management & Enforcement) dan Perkhidmatan Bandar Raya (City Town Services),” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

Mini Smart Centre: Enforcement Workstation dilancar

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 12 MAC: Dalam misi merealisasikan Smart PJ, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Mini Smart Centre: Enforcement Workstation, di sini, semalam.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, menerusi projek Smart PJ, jabatan dalaman MBPJ akan menubuhkan Smart Centre sebagai sokongan kepada PJ Smart Centre.

Katanya, ia termasuk Jabatan Penguatkuasaan meliputi kerja pengubahsuaian infrastruktur, pemasangan hardware dan pembangunan sistem yang dimulakan hujung tahun lalu.

“MBPJ meneruskan lembaran baharu tahun ini dengan penuh aspirasi dan tanggungjawab mengurus serta mentadbir bandar raya PJ sebagai bandar pintar berasaskan kepentingan tempatan.

“Usaha ini dipergiat dengan pelaksanaan projek Smart PJ ke arah merealisasikan Petaling Jaya sebagai bandar raya pintar di bawah Kerajaan Negeri yang melaksanakan dasar di peringkat akar umbi secara langsung menyampaikan perkhidmatan kepada penduduk tempatan,” katanya di Majlis Perasmian Mini Smart Centre: Enforcement Workstation, di sini.

Mohd Zain berkata, antara perkara diketengahkan menerusi Mini Smart Centre: Enforcement Workstation itu adalah Smart Enforcement Dashboard (PJ Eye) membabitkan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV), sistem penguatkuasaan Petaling Jaya dan aplikasi Smart PJ Enforcement.

Selain itu, katanya, ia turut membabitkan portal pasukan keselamatan kejiranan, analisa pemantauan CCTV dan analisa perlaksanaan program pasukan keselamatan kejiranan Petaling Jaya.

“Saya berharap tanggungjawab untuk merealisasikan misi MBPJ dan Kerajaan Negeri sebagai sebuah bandar pintar yang rancak dilaksanakan ketika ini diteruskan pada masa akan datang.

“Ia selaras dengan perkembangan teknologi baharu dan terkini merangkumi proses kerja, peralatan, peranti penguatkuasaan dan penggunaan sistem,” katanya.