Categories
AGENSI SELANGOR

Rumah mampu milik buat penjawat awam bakal dibina di Shah Alam

SHAH ALAM, 27 JUL: Penjawat awam di Selangor kini mampu memiliki kediaman pangsapuri apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina rumah mampu milik di Seksyen 16, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, rumah yang akan dibina menjelang 2020 itu kini dalam peringkat kelulusan pelan bangunan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Dianggarkan sebanyak 232 unit rumah pangsapuri kos sederhana khusus untuk penjawat awam dan golongan B40 yang PKNS bina.

“Rumah yang dibina adalah pangsapuri dengan keluasan 900 kaki persegi. Pembinaan ini dibuat kerana PKNS prihatin terhadap keperluan rakyat yang inginkan lebih banyak pembinaan rumah yang mampu dimiliki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Koleksi Hartanah PKNS 2019 bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, pegawai kanan PKNS termasuk Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah, Azmi Adnan, Ketua Pegawai Kewangan, Nor Azlina Amran dan Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Selatan, Lokman Abd Kadir.

Sebelum ini, PKNS turut menawarkan kediaman kondominium di tengah bandar metropolitan Kuala Lumpur kepada penjawat awam.

Peluang itu dinikmati melalui hasil kerjasama diantara syarikat milik penuh PKNS, DatumCorp International Sdn Bhd (Datum Corp) dan MyAngkasa Az Zahra Sdn Bhd.

Inisiatif menarik itu turut dapat membantu mempertingkatkan pemilikan hartanah berkualiti dalam kalangan penjawat awam di kota metropolis Kuala Lumpur.

Pembinaan yang dikenali dengan nama Datum Jelatek itu terletak kira-kira lima kilometer dari KLCC itu turut bersambung dengan kemudahan pengangkutan awam utama iaitu Stesen LRT Jelatek.

Pembangunan yang turut merangkumi komponen antara pusat membeli-belah dan kediaman setinggi 41 tingkat itu dijangka siap awal suku 2020.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKNS-Maybank sedia pinjaman rumah 100 peratus

SHAH ALAM, 27 JUL: Orang ramai kini berpeluang membeli rumah dengan lebih mudah apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Maybank menawarkan pinjaman 100 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, perjanjian kolaborasi itu adalah untuk pelaksanaan ‘Skim Smart Selangor First Home Buyer’.

 

“Skim yang diilhamkan Kerajaan Selangor ini adalah skim bantuan pinjaman bagi memudahkan rakyat Selangor yang menyaksikan Maybank akan menyediakan pembiayaan sebanyak 90 peratus.

“Manakala, Kerajaan Negeri akan memberi bantuan pembiayaan sebanyak 10 peratus dan PKNS dilantik menjadi agensi pelaksana skim berkenaan.

“Skim ini adalah insentif pembiayaan pinjaman 100 peratus pada kadar faedah yang rendah untuk lapan tahun pertama. Ini akan memudahkan pembeli untuk mendapatkan pinjaman, seterusnya memiliki rumah idaman mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Koleksi Hartanah PKNS 2019 bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Azizi turut menyerahkan replika ‘Skim Smart Selangor First Home Buyer’ kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Nor Shahrizan Sulaiman sebagai simbolik kerjasama.

Hadir sama, pegawai kanan PKNS termasuk Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah, Azmi Adnan, Ketua Pegawai Kewangan, Nor Azlina Amran dan Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Selatan, Lokman Abd Kadir.

Pada pameran sama, Maybank juga membuka kaunter khas untuk urusan perkhidmatan semakan kelayakan pinjaman perumahan buat para pengunjung yang hadir.

Mengulas lanjut Azizi berkata, skim berkenaan terbuka kepada pembeli Rumah Selangorku yang dibangunkan PKNS dan anak syarikat PKNS sahaja.

Projek itu termasuk di Selangor Cyber Valley, Antara Gapi, Kota Puteri, Klang dan Kampung Sri Temenggung Gombak.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKNS tawar diskaun RM5,500 sempena ulang tahun ke 55

SHAH ALAM, 27 JUL: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan diskaun berjumlah RM5,500 kepada 55 pembeli terawal sebagai simbolik ulang tahunnya yang ke 55, kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, tambah menarik apabila PKNS turut menawarkan kos guaman Perjanjian Jual Beli (SPA) dan duti setem Memorandum Pertukaran (MOT) secara percuma kepada bakal pembeli.

Katanya, tawaran itu dibuat sepanjang Pameran Koleksi Hartanah PKNS yang kini berlangsung di Atria Lagenda, Kompleks PKNS Shah Alam bermula dari 26 Julai hingga 4 Ogos depan.

“Ia adalah sebagai tanda penghargaan PKNS khas buat kesemua pelanggan yang menyokong kami sepanjang lima dekad ini.

“Jadi, rebut peluang ini dan cepat dapatkan rumah kediaman anda dari PKNS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Koleksi Hartanah PKNS 2019 bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam di sini, hari ini.

Mohd Azizi berkata, pameran koleksi hartanah diadakan secara berkala dan siri kedua untuk tahun ini turut menawarkan 2,500 unit rumah.

“Projek perumahan ditawarkan PKNS terdapat di pelbagai lokasi strategik antaranya Shah Alam, Antara Gapi, Bernam Jaya, Kota Puteri, Alam Nusantara, Selangor Cyber Valley dan sebagainya.

“Kematangan usia PKNS juga membuktikan pengalaman kami dalam menyediakan unit kediaman berkualiti dengan harga kompetitif dan berpatutan.

“Rekaan produk kami juga sentiasa segar mengikut citarasa kontemporari dan kehendak pelanggan masa kini,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

84 warga kerja PKNS terima APC

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 JUL: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus komited menyemai budaya kerja cemerlang dengan memberi pengiktirafan kepada 84 warganya berikutan komitmen dan jasa sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang diberikan mampu menjadi pembakar semangat kepada warga kerja PKNS untuk memberi perkhidmatan lebih baik pada masa akan datang.

“Semoga anugerah ini memberi semangat bukan sahaja tahun ini tetapi juga tahun akan datang kekal cemerlang.

“Selain itu saya yakin anugerah ini juga memberi semangat kepada mereka yang belum menang kali ini,” katanya.

Mohd Azizi berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2019 di Hotel De Palma di sini, hari ini.

Sementara itu, seramai 41 pesara dan 25 warga kerja turut diberikan penghargaan sebagai mengenang jasa mereka yang setia bersama PKNS.

Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang membawa pulang sijil penghargaan dan cek bernilai RM1,000 setiap seorang.

Penerima Anugerah Jasamu Dikenang pula menerima medallion, Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Sijil Penghargaan.

Sementara itu, pesara pula menerima medallion emas, Sijil Simpanan Premium BSN, jam tangan untuk pasangan dan sijil penghargaan.

Anugerah disampaikan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

PKNS berjaya bina 11 bandar baharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 13 APR: Sebelas bandar baharu berjaya dibina Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sepanjang 55 tahun penubuhannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pembinaan itu melibatkan seluas 10,000 hektar tanah, dengan lebih 150,000 unit kediaman pelbagai jenis telah dibina.

Katanya, PKNS bukan sahaja dikenali sebagai entiti pemaju hartanah tetapi juga berperanan sebagai pemacu bagi pembangunan komuniti di kalangan masyarakat setempat.

“Oleh sebab itu kami terus komited dalam membangunkan pembangunan yang komprehensif menepati keperluan dan cita rasa kontemporari pelanggan.

“Kami beriltizam untuk meneruskan lagi pembangunan dari segi fizikal dan ekonomi demi kesejahteraan rakyat serta Selangor untuk memastikan PKNS kekal relevan,” katanya dalam ucapan ketika Hari Bersama Pelanggan PKNS Siri 1/2019 di Dewan Komuniti Seksyen 7, di sini.

Teks ucapan beliau pada majlis yang dihadiri lebih 200 penduduk dan pelanggan PKNS itu dibacakan Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Selatan, Lokman Abd Kadir.

Pada masa sama, Mohd Azizi berkata, program berkenaan adalah julung kali diadakan kerana kebiasaannya Hari Mesra Pelanggan berlangsung di kompleks PKNS sahaja.

Katanya, namun kali ini ia berubah ke lokasi berdekatan dengan projek perumahan PKNS.

“Ia supaya PKNS lebih dekat dengan pelanggan serta bukti komitmen untuk mewujudkan budaya mesra penduduk setempat.

“PKNS sangat menitik beratkan perkhidmatan kepada pelanggan dan ini adalah seiring dengan nilai bersama iaitu Pelanggan Diutamakan.

“Nilai ini kami terapkan pada setiap anggota PKNS untuk meletakkan kepuasan pelanggan sebagai tunjang utama dalam penyampaian produktiviti kerja kerana PKNS menyedari tanpa masyarakat di luar sana, siapalah kami,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Mini Smart Centre: Enforcement Workstation dilancar

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 12 MAC: Dalam misi merealisasikan Smart PJ, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Mini Smart Centre: Enforcement Workstation, di sini, semalam.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, menerusi projek Smart PJ, jabatan dalaman MBPJ akan menubuhkan Smart Centre sebagai sokongan kepada PJ Smart Centre.

Katanya, ia termasuk Jabatan Penguatkuasaan meliputi kerja pengubahsuaian infrastruktur, pemasangan hardware dan pembangunan sistem yang dimulakan hujung tahun lalu.

“MBPJ meneruskan lembaran baharu tahun ini dengan penuh aspirasi dan tanggungjawab mengurus serta mentadbir bandar raya PJ sebagai bandar pintar berasaskan kepentingan tempatan.

“Usaha ini dipergiat dengan pelaksanaan projek Smart PJ ke arah merealisasikan Petaling Jaya sebagai bandar raya pintar di bawah Kerajaan Negeri yang melaksanakan dasar di peringkat akar umbi secara langsung menyampaikan perkhidmatan kepada penduduk tempatan,” katanya di Majlis Perasmian Mini Smart Centre: Enforcement Workstation, di sini.

Mohd Zain berkata, antara perkara diketengahkan menerusi Mini Smart Centre: Enforcement Workstation itu adalah Smart Enforcement Dashboard (PJ Eye) membabitkan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV), sistem penguatkuasaan Petaling Jaya dan aplikasi Smart PJ Enforcement.

Selain itu, katanya, ia turut membabitkan portal pasukan keselamatan kejiranan, analisa pemantauan CCTV dan analisa perlaksanaan program pasukan keselamatan kejiranan Petaling Jaya.

“Saya berharap tanggungjawab untuk merealisasikan misi MBPJ dan Kerajaan Negeri sebagai sebuah bandar pintar yang rancak dilaksanakan ketika ini diteruskan pada masa akan datang.

“Ia selaras dengan perkembangan teknologi baharu dan terkini merangkumi proses kerja, peralatan, peranti penguatkuasaan dan penggunaan sistem,” katanya.

Categories
SELANGOR

MBPJ lancar Smart PJ Enforcement

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PETALING JAYA, 8 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini melancarkan aplikasi pintar ‘Smart PJ Enforcement’ bagi memudahkan pelanggan menyemak dan membayar kompaun secara eletronik.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, dengan aplikasi itu masyarakat Petaling Jaya tidak perlu lagi hadir ke MBPJ untuk membayar dan menyemak kompaun.

Katanya, semua jenis kesalahan di bawah penguatkuasaan majlis boleh dibayar melalui aplikasi itu, kecuali dua kesalahan, iaitu kesalahan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan dan kes dalam tindakan mahkamah.

“Kita juga beri tawaran istimewa kepada pengguna aplikasi, bagi kesalahan parkir, jika dibayar dalam tempoh 24 jam, kadar bayaran hanya RM10.

“Bayaran melalui aplikasi ini juga diberi tambahan diskaun 10 peratus,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Aplikasi Smart PJ Enforcement, di Ibu Pejabat MBSJ, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, MBPJ sedang mengintegrasikan seluruh aplikasi yang dibina kepada satu aplikasi supaya lebih efektif.

Terdahulu, trend pembayaran secara dalam talian melalui ePay@MBSJ meningkat 46.7 peratus pada 2018 berbanding 2017.

Smart PJ Enforcement boleh dimuat turun melalui Play Store, bagi pengguna IOS ia masih dalam pembangunan.

Categories
SELANGOR

MBPJ rangkul 5 anugerah sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 15 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menempa sejarah apabila merangkul lima anugerah utama sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia di Medan Bandar Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Lima anugerah berkenaan adalah Anugerah Bandar Mampan 2017 ‘MURNInets’, Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau 2018 (Penyediaan Laluan Kaki Dan Laluan Basikal), Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau (Pembangunan Kebun Kejiranan) dan Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau (Program Pengkomposan Sisa) serta Anugerah Khas Menteri Wilayah Persekutuan.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, menerusi ‘MURNInets’, MBPJ mencatat markah paling tinggi iaitu 98.5 peratus dan secara tidak langsung menjadikan Majlis sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) paling cemerlang dalam aspek kemampanan di Malaysia.

“MURNInets adalah singkatan kepada Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia yang mengukur dan menilai kemampanan sesuatu kawasan di dalam pentadbiran PBT melalui satu set penunjuk bandar yang ditetapkan.

“Kriteria dinilai termasuklah kadar kemiskinan bandar, pengurusan risiko bencana, penyediaan rumah mampu milik, aksesibiliti kepada kemudahan, kualiti alam sekitar, keselamatan dan pengangkutan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya, menerusi Anugerah Inisiatif Penyediaan Laluan Pejalan Kaki dan Laluan Basikal pula, MBPJ sudah menyediakan jaringan laluan pejalan kaki dan basikal sepanjang lebih 300 kilometer dan turut mengambil kira keperluan reka bentuk sejagat dan pencegahan jenayah.

“Bermula 2015, MBPJ mensyaratkan semakan keperluan penyediaan laluan pejalan kaki dan basikal bagi permohonan kelulusan projek di Petaling Jaya.

“Begitu juga dengan Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau (Pembangunan Kebun Kejiranan), di MBPJ terdapat 11 kebun kejiranan di bawah jenama Kebun Kita diwujudkan dan diasaskan sepenuhnya oleh komuniti Petaling Jaya,” katanya.

Manakala, bagi Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau (Program Pengkomposan Sisa), program pengkomposan merupakan sebahagian strategi PJ Mampan 2030 di mana kajian komposisi sampah mendapati 48 peratus adalah sisa organik.

“Di Petaling Jaya, program pengkomposan dijalankan berdasarkan konsep sisa itu satu aset dan perlaksanaan program telah melibatkan penyertaan individu, komuniti dan NGO selaras dengan semangat LA 21.

“MBPJ mengambil pendekatan secara insentif ekonomi iaitu pemberian rebat cukai taksiran dan secara sukarela iaitu pemberian tong kompos percuma.

“Terdapat tiga lokasi pusat pengkomposan milik MBPJ di wujudkan iaitu di Pusat Smart PJ Waste Solution Lab di SS2 berkapasiti dua tan sehari, Pusat PJ Eco-Recycling Plaza di SS8 berkapasiti 2 tan sehari dan Ibu Pejabat MBPJ berkapasiti 30 kilogram sehari,” katanya.

Pada sama sama, beliau berkata, MBPJ menerima anugerah kemuncak iaitu Anugerah Khas pilihan Menteri Wilayah Persekutuan.

Katanya, anugerah ini dianugerahkan kepada MBPJ berdasarkan pencapaian terbaik keseluruhan dalam pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau 2018.

“MBPJ membawa pulang Piala Pusingan dan hadiah iringan bagi anugerah ini. Antara kelebihan MBPJ adalah dari segi aspek inovasi, penglibatan komuniti dan pelbagai pihak dalam setiap program kejiranan hijau,” katanya.

Categories
SELANGOR

PJFair 2018 kembali 4 November ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 12 OKT: Festival Petaling Jaya atau lebih sinonim sebagai ‘PJ Fair’ kembali menemui orang ramai bermula 4 hingga 11 November ini, di Dataran Petaling Jaya, Persiaran Barat Seksyen 52, di sini.

Memasuki edisi keenam penganjuran sejak 2013, acara itu bakal menampilkan tema ‘International Folklore Festival’ bagi mempromosikan bandar raya berkenaan.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, acara saban tahun itu bertujuan mengangkat imej bandaraya terbabit sebagai kota seni dan destinasi pelancongan antarabangsa menerusi kepelbagaian budaya komunitinya.

Katanya, festival itu menjurus kepada mempromosikan kepelbagaian dan keharmonian budaya serta kesenian komuniti setempat juga antarabangsa.

“Kami memilih tema sama buat kali kedua ini kerana mahu mengembalikan semula kemeriahan budaya seperti 2014 melalui penyertaan daripada pelbagai budaya luar negara

.“Malah, PJ Fair juga bertujuan menyokong pelaksanaan Pelan Induk PJ Sustainable 2030 dan dasar- dasar perbandaran di peringkat global khususnya berkaitan dengan aspek pembangunan budaya dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pra Pelancaran dan Sidang Media PJFair 2018, di Dewan Banquet MBPJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Azizi berkata, pelbagai aktiviti menarik bercirikan ‘Crowd Puller’, ‘Trendy’ dan ‘Lifestyle’ bakal disajikan khas buat pengunjung.

“Antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang PJ Fair termasuk persembahan kebudayaan, konsert artis tempatan, Malaysia Book of Records – The Most Number of Mannequin Challenge Participants dan Asian Corner (Makanan & Minuman, Pakaian dan Kraftangan)

“Selain itu, pelbagai pertandingan seperti PJ Green Explorace, Fun Run, Smart Ride, Kejohanan Bola Jaring Antarabangsa, memancing, ‘Kids Zone’, ‘Painting & Pledge And Plant A Tree’ (Hari Habitat Sedunia) dan lain-lain lagi,” katanya.

Kemuncak acara pada 10 November dengan persembahan etnik sembilan negara termasuk Indonesia, Jepun, Iran, Korea, Filipina, Finland, Botswana dan Malaysia sendiri.

Negara-negara terbabit terdiri daripada bandar di bawah program PJ Friendship City dan International Council of Folklore Festival and Folk Arts Organisations (CIOFF) iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah seliaan UNESCO.

Di samping itu, antara barisan artis terkenal tanah air bakal menggegarkan Konsert Evolusi PJ adalah Akim & The Majistret, Waris, Ara Johari, Masya Mashitah, Santesh, Ben Laden, Ismail Izzani, Uchop, Aina Mentor dan Maynine Band.

Saluran Selangor FM pula bertindak selaku penyiar rasmi festival.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PJ Smart City siap 90%

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 21 SEPT: Projek Petaling Jaya (PJ) Smart City di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini sudah 90 peratus siap.

Dato’ Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, projek itu dijangka akan mula siap sepenuhnya hujung tahun ini dan akan beroperasi mulai tahun depan.

“MBPJ komited menetapkan matlamat menjadikan PJ sebagai sebuah bandaraya pintar dengan aplikasi teknologi digital menjelang 2030.

“MBPJ juga komited melaksanakan projek ‘Smart PJ’ yang merupakan ‘integrated solution’ menggunakan ‘geographical information system (GIS)’ sebagai asas pembinaan aplikasi dalam mengurus bandar PJ secara bersepadu dan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Anggota Penguatkuasa MBPJ, di Dewan Sivik MBPJ, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri, Ng Sze Han.

Menariknya, Mohd Azizi berkata, MBPJ merupakan antara pihak berkuasa tempatan pertama melaksanakan projek berteraskan Smart City tersebut.

Terdahulu, projek PJ Smart City merupakan gabungan penggunaan IOT (Internet of Things) dengan eleman IOP (Internet of People).

Pelaksanaan Projek PJ Smart City itu merangkumi pembinaan bangunan baru Pusat Data Utama ‘PJ Smart Centre’, pembinaan 11 Mini Smart Centre melalui kerja ubahsuai di jabatan dan pembangunan.

Categories
SELANGOR

27 anggota pembantu penguatkuasa MBPJ tamat latihan

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 21 SEPT: Seramai 27 anggota pembantu penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tamat latihan kursus asas pembantu penguatkuasa siri 1/2018.

Dato’ Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, MBPJ melantik 21 lelaki dan enam wanita bagi jawatan Pembantu Penguatkuasa (Kontrak) – Gred KP19 berkuatkuasa 15 Februari 2018.

Katanya, semua anggota menjalani kursus asas seperti pendedahan kepada aspek perundangan dan pengenalan fungsi majlis, integriti, sahsiah diri serta latihan fizikal juga kawad kaki.

“Pendedahan ini bertujuan memahirkan anggota sebelum memulakan tugas dan tindakan penguatkuasaan di kawasan pentadbiran MBPJ.

“Saya optimis kursus seumpama ini dimanfaatkan semua peserta bagi bersiap siaga sebagai anggota penguatkuasa MBPJ yang cekap, berdedikasi dan terlatih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Anggota Penguatkuasa MBPJ, di Dewan Sivik MBPJ, di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis disempurnakan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri, Ng Sze Han.

Mohd Azizi berkata, persekitaran yang semakin mencabar menjadikan tugas penguatkuasa juga sering teruji dengan pelbagai perkara.

“Namun, saya percaya ini semua boleh ditangani sekiranya penguatkuasaan sentiasa menjunjung tinggi prinsip perkhidmatan awam yang kita amalkan.

“Saya menggesa supaya anda semua dapat menterjemahkan sikap integriti ketika melaksanakan tugas berasaskan peraturan dan undang-undang pihak berkuasa tempatan terutama ketika mendepani isu-isu perbandaran pada masa ini,” katanya.

Difahamkan, Jabatan Penguatkuasaan MBPJ kini sudah mempunyai 477 anggota terdiri daripada 392 pegawai dan anggota penguatkuasa, 20 polis bantuan, 26 pengawal keselamatan serta 39 lain pangkat juga jawatan.

Categories
PBT SELANGOR

Restoran 24 jam gagal bersih premis berdepan tindakan

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 1 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengambil tindakan penguat kuasaan kepada restoran beroperasi 24 jam yang gagal membersihkan premis dari jam 1 hingga 3 pagi, bermula hari ini.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, MBPJ memandang serius perkara itu, namun menegaskan premis yang bersih dan kemas tidak perlu khuatir.

Katanya, MBPJ melakukan pemantauan dan pemeriksaan sejak 1 Julai lalu, namun tidak mengambil tindakan.

“Pada waktu itu, pegawai penguat kuasaan kesihatan akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan, namun tiada tindakan diambil.

“Bagaimanapun, mulai 1 Ogos (hari ini) MBPJ akan mula mengambil tindakan dan jika gagal berbuat demikian, lesen operasi premis berisiko untuk dibatalkan,” katanya.

Mohd Azizi berkata, MBPJ komited menjalankan pemeriksaan dan penguat kuasaan terhadap restoran di Petaling Jaya, malah tugas pemeriksaan menjadi rutin harian.

Pada masa sama, katanya, semua pihak perlu bekerjasama memastikan pematuhan berjalan lancar dan peningkatan kes keracunan makanan dapat disifarkan.

Terdahulu, bagi memastikan semua premis makanan mematuhi tahap kebersihan ditetapkan, MBPJ mahu semua pengusaha restoran 24 jam membuat kerja pembersihan, mulai 1 Julai.

Sebanyak 98 premis makanan terbabit dan sejak 2017 hingga Mac 2018, sebanyak 2,096 pemeriksaan premis makanan diperiksa MBPJ.

Daripada jumlah itu, 76 premis makanan tidak bersih dan tidak berlesen ditutup di bawah Undang-undang Kecil Establishment Makanan (MBPJ) 2007.