Categories
NASIONAL

Bantu PKS sumbang 41% kepada KDNK menjelang 2020

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Belanjawan 2019 akan membantu negara melepasi sasaran untuk perusahaan kecil dan sederhana menyumbang 41 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2020.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof, berkata keyakinan itu berdasarkan inisiatif berkenaan selain peruntukan yang besar di dalam belanjawan.

“Belanjawan ini sangat menarik dan menunjukkan bahawa ekonomi negara ini dipacu oleh PKS,” katanya kepada Bernama selepas pembentangan Bajet 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen, di sini, semalam.

Mohd Redzuan berkata, inisiatif yang memberi fokus kepada pendigitalan dan halal juga akan membantu pembangunan PKS.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Kementerian berkenaan menyatakan kegembiraan terhadap cadangan insentif cukai oleh kerajaan bagi menggalakkan perniagaan mengguna pakai pendigitalan.

“Adalah diharapkan bahawa PKS, terutamanya dalam sektor pembuatan akan mendapat faedah daripada insentif ini,” kata kenyataan itu.

Berhubung inisiatif skim pembiayaan yang mana kerajaan memberi jaminan dan subsidi kadar faedah untuk PKS, kenyataan itu menyebut bahawa pinjaman dan jaminan akan mendorong pertumbuhan ekonomi PKS memandangkan perusahaan ini berkembang dan meningkatkan pelaburan terhadap perniagaan mereka.

Pekebun kecil getah dan kelapa sawit, yang mana kebanyakannya adalah perusahaan mikro, akan mendapat faedah daripada bantuan dan kesan limpahan positif,” kata kenyataan itu.

Dalam pembentangannya, Lim berkata, PKS yang berjumlah 98.5 peratus daripada jumlah perniagaan di negara ini, bagi memastikan daya saing mereka, kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif.

Ini termasuk mengurangkan kadar cukai korporat, peruntukan untuk industri halal serta membantu transisi 500 PKS.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Berita baik untuk PKS dalam Belanjawan 2019

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat ini dijangka menyajikan berita baik untuk kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menterinya, Datuk Darell Leiking berkata ini termasuk kemungkinan pengumuman lebih banyak insentif bagi industri PKS yang merupakan nadi ekonomi Malaysia.

“Kami serahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk mengumumkan insentif itu serta perancangan belanjawan untuk 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Pelaburan Kebangsaan 2018 anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, hari ini.

Darell berkata sasaran sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan bahagian eksport menjelang 2020 telah ditingkatkan masing-masing kepada 41 peratus dan 23 peratus berbanding 37.1 peratus dan 17.3 peratus pada 2017.

Bagi mencapai sasaran itu, beliau berkata sebanyak 32 inisiatif akan diperkukuh bagi mewujudkan PKS yang berdaya tahan dan mampan, termasuk program pemacu perniagaan dan berimpak tinggi, mekanisme dan kemudahan pembiayaan kerajaan serta Pelan Induk Strategik e-Dagang Kebangsaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata pihaknya telah mengemukakan sejumlah insentif untuk Belanjawan 2019 bagi menyokong teknologi hijau, penyelidikan dan pembangunan serta industri.

“Kami mahu meningkatkan ekosistem pelaburan Malaysia dengan menjadikannya lebih menarik,” katanya.

Mengulas pelaburan, Azman berkata MIDA berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran kelulusan pelaburan sebanyak RM200 bilion bagi 2018.

Dalam pengumuman semalam, pencapaian pelaburan langsung baharu yang diluluskan bagi tempoh enam bulan pertama 2018 telah mencecah RM80.2 bilion.

Azman berkata bagi tempoh Januari sehingga Ogos, pelaburan langsung asing yang diluluskan berjumlah RM43.77 bilion iaitu satu pertumbuhan menggalakkan berbanding RM16 bilion yang dicatat bagi tempoh sama, tahun lepas.

Sementara itu, pada majlis sama, MIDA turut melancarkan portal perkhidmatannya, i-Services Portal yang merupakan platform pautan perniagaan bagi menghubungkan penyedia perkhidmatan dengan bakal pelanggan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

SIRIM dekati PKS, tingkat sektor pembuatan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 OKT: Lebih 300 peserta menyertai program ‘Peningkatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui SIRIM Fraunher’, anjuran Institut Penyelidikan Standard dan Industri Malaysia (SIRIM), di Ibu Pejabat SIRIM, di sini, pada 19 Oktober lalu.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, program itu mendedahkan peserta dengan pelbagai topik berkaitan inovasi makanan dan perkilangan bagi meningkatkan daya saing mereka.

Katanya, ia juga menjadi medan mencari penyelesaian menangani permasalahan dan isu dihadapi PKS, melalui sesi jaringan serta perbincangan kumpulan sasaran.

“Sebanyak 640 syarikat menjalani audit teknologi oleh juruaudit berkelayakan terdiri daripada penyelidik dan jurutera SIRIM, sejak ia dilaksanakan pada 2015.

“Audit teknologi ini menyediakan saluran kepada syarikat untuk menilai keupayaan pengurusan teknologi mereka dan memahami kekuatan serta kelemahan masing-masing ke arah penambahbaikan.

“Ekoran itu, 170 projek peningkatan teknologi diluluskan dan lebih daripada 300 syarikat mengambil bahagian dalam projek intervensi teknologi lain seperti audit tenaga, pembungkusan dan pelabelan, bengkel inovasi serta penerimagunaan amalan terbaik,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, program itu menyaksikan seramai 62 usahawan PKS daripada SIRIM meliputi usahawan pelbagai industri termasuk bahan pembungkusan, pemesinan dan kejuruteraan, makanan dan minuman, serta pelabelan dan pembungkusan.

Pada masa sama, katanya, SIRIM turut membangunkan program baharu untuk PKS termasuk tunjuk ajar dalam penggunaan alat inovatif bagi pengurusan teknologi, perdagangan dan pemadanan perniagaan.

Katanya, ia turut membabitkan pembangunan rangka kerja kesediaan penilaian syarikat dalam menggunapakai elemen Industri 4.0 bagi menyokong inisiatif kerajaan ke arah itu.

“SIRIM bekerjasama dengan Fraunhofer Institute, Jerman bagi perkongsian strategik dan penggunaan ekosistem inovasi Jerman kepada industri PKS, di Malaysia.

“Kerjasama ini juga menyasarkan penggembelengan penyelidikan dan pembangunan teknologi tercanggih dari Fraunhofer serta SIRIM kepada PKS tempatan ke arah industri berteknologi tinggi,” katanya.

SIRIM adalah syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia menerusi Menteri Kewangan Diperbadankan dan agensi di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Categories
EKONOMI NASIONAL

Malaysia bakal bangunkan 30 PKS pembuatan aeroangkasa baharu menjelang 2020

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Kerajaan menyasar untuk membangunkan 30 syarikat pembuatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) baharu dalam sektor aeroangkasa menjelang 2020, selain 20 syarikat yang ada sekarang.

Ketua Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO), Shamsul Kamar Abu Samah berkata, segmen pembuatan industri aeroangkasa tempatan menunjukkan pertumbuhan mengkagumkan sejak 1990-an dan baru-baru ini mengatasi segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sebagai penyumbang pendapatan utama dalam sektor aeroangkasa.

“Sudah tentu, sektor MRO telah menyediakan sejumlah pendapatan kepada Malaysia tetapi pada masa ini, (segmen) pembuatan adalah nombor satu. Kami berharap ia (pembuatan) boleh meningkat antara 7.0 dan 15.0 peratus setiap tahun, tetapi ia sangat bergantung kepada bagaimana kita boleh membawa lebih banyak pelaburan.

Shamsul Kamar berkata, kira-kira 48 peratus atau RM6.6 bilion hasil industri aeroangkasa pada 2017 datang daripada segmen pembuatan aeroangkasa, diikuti oleh 46 peratus daripada segmen MRO dan selebihnya daripada segmen perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk.

Beliau berkata, keputusan General Electric, syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat untuk melabur RM200 juta bagi menubuhkan sebuah pusat perkhidmatan LEAP berteknologi tinggi baru di Malaysia akan menghasilkan sehingga 40 syarikat penerbangan baru yang menyelenggara enjin mereka di lapangan terbang Subang.

“Kami berharap dengan pelaburan baru itu lebih banyak enjin akan diservis di Subang,” kata Shamsul kepada pemberita selepas pelancaran Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIABC) ketiga di sini, hari ini.

Pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking.

Shamsul Kamar berkata, NAICO, satu unit di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), akan bekerjasama dengan PKS untuk memastikan penglibatan jangka panjang mereka dalam industri aeroangkasa.

“MITI melalui agensinya seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan SME Corporation (SME Corp), akan menyediakan geran untuk membantu PKS dalam industri aeroangkasa.

“Geran terbabit, bagaimanapun hanya meliputi kira-kira 50 peratus daripada pelaburan yang diperlukan kerana kita mahu melihat komitmen yang sama daripada pemain industri dan untuk menentukan sama ada mereka benar-benar mahu melabur dalam segmen ini,” tambahnya.

Sementara itu, Darell berkata, Pelan Induk Aeroangkasa Malaysia 2030 menyasarkan hasil tahunan sebanyak AS$14.3 bilion atau RM55.2 bilion menjelang 2030 dan penciptaan lebih daripada 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Malaysia berada di barisan hadapan pelbagai aktiviti dalam rantaian nilai aeroangkasa. Syarikat kita meliputi perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk, integrasi sistem dan pembuatan bahagian dan komponen pesawat, termasuk peralatan sokongan darat dan aktiviti MRO.

“Penglibatan PKS dalam industri itu juga menggalakkan. Sebanyak 20 PKS di bawah Program Industri Pembuatan Aeroangkasa Global oleh SME Corp telah menunjukkan pertumbuhan positif dan dijangka menjana lebih daripada RM30 juta pada tahun ini ” katanya.

Pada 2017, eksport aeroangkasa Malaysia melonjak 54 peratus kepada RM8.51 bilion berbanding 2016, dengan eksport utama adalah bahagian dan komponen, terutamanya untuk sayap dan fiuslaj pesawat.

KLIABC selama tiga hari yang bermula hari ini dianjurkan oleh MATRADE dengan kerjasama Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) dan ABE France. Ia akan menyaksikan penyertaan 150 pertubuhan industri aeroangkasa daripada 21 negara.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
EKONOMI NASIONAL

PKS digesa manfaat dana PKS BNM berbaki RM3.9 bilion

PUTRAJAYA, 25 SEPT: Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggesa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk memanfaatkan dana PKS Bank Negara Malaysia (BNM) yang masih berbaki RM3.9 bilion ketika ini.

Mengulas aduan disuarakan PKS mengenai kesukaran mendapatkan pinjaman, katanya, mereka boleh berhubung terus dengan BNM yang sentiasa sedia untuk membantu sekiranya mengalami masalah seperti tiada cagaran dan sebagainya.

“BNM ada Penolong Gabenor yang khas menguruskan dana PKS ini…jadi tiada sebab mengapa susah untuk PKS mendapatkan pinjaman.

“PKS yang ada masalah dengan bank, boleh hubungi BNM untuk membuat aduan dan kita benar-benar hendak bantu PKS dan kita mahu dana ini dipinjamkan kepada PKS,” kata Lim pada satu sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Penolong Gabenor BNM Abu Hassan Alshari Yahaya berkata daripada keseluruhan dana PKS yang berjumlah RM3.9 bilion itu, sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan untuk PKS dalam semua sektor ekonomi, Projek Usahawan Bumiputera Fund-i (RM191.4 juta), Sektor Pertanian Primer (RM97.9 juta) dan perusahaan mikro (RM6.9 juta).

“Kita akan sentiasa cuba permudahkan sebagai satu daripada usaha kita untuk memastikan mereka yang berdaya saing akan terus mendapat pinjaman,” katanya pada sidang media yang sama.

Abu Hassan berkata BNM akan cuba melihat isu-isu yang dihadapi oleh PKS secara terperinci seperti operasi perniagaan dan daya saing menjalankan perniagaan.

Dana PKS BNM yang merupakan dana pusingan mudah dan mampu dimiliki oleh PKS, diperkenalkan pada akhir 1990-an dengan jumlah peruntukan sebanyak RM10.4 bilion.

Dana itu yang disediakan di semua bank perdagangan dan bank Islam, institusi kewangan pembangunan (IKP) dan juga Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menyediakan bantuan kewangan sehingga RM5 juta dan PKS dikehendaki membayar balik dalam tempoh lima tahun.

Bagi PKS yang ingin mendapatkan pinjaman atau membuat aduan boleh menghubungi BNM di talian 03-26988044 (samb 7986) atau 03-26919335, telefon bimbit 019-2821015 atau emel ke [email protected].

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

PKS tempatan diunjur sumbang 37% KDNK

KUALA LUMPUR 18 MAC: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan diunjur menyumbang sekurang-kurangnya 37 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara tahun ini.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Kang Hua Keong, berkata sasaran berkenaan boleh dicapai sekiranya mereka mengambil kesempatan daripada projek pembangunan, seperti inisiatif ‘satu jalur, satu jalan’ (B&R) China dan ekonomi digital di negara ini.

PKS tempatan menyumbang 35.9 peratus daripada KDNK negara pada 2015, dan beliau yakin angkanya akan lebih tinggi pada 2016.

Hua Keong berkata B&R telah mengenal pasti 65 negara yang disambungkan dengan China dan PKS perlu merebut peluang pelaburan di pasaran antarabangsa.

“Sejak pelaksanaan inisiatif B&R pada 2015, China melihat Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN dan Timur Tengah,” katanya ketika Forum Prospek Ekonomi Malaysia 2017 baru-baru ini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata PKS juga akan mendapat manfaat daripada kesan limpahan daripada inisiatif B&R seperti projek Kereta Api Pantai Timur.

Hua Keong berkata langkah tersebut adalah antara cara yang dapat meningkatkan penggunaan produk tempatan dan memacu sumbangan PKS kepada pertumbuhan KDNK.

Katanya, hasrat kerajaan untuk meningkatkan ekonomi digital di negara ini juga pastinya akan menyokong perniagaan tempatan. ”

Pengasas Alibaba Group China, Jack Ma, dijangka tiba di Malaysia tidak lama lagi untuk melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital.

“Akan ada banyak aktiviti perniagaan yang berkaitan e-dagang dan PKS harus memanfaat dan menjadikannya sebagai batu loncatan untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Pada masa ini, beliau berkata, hanya 20 peratus daripada 10,000 anggota Persatuan PKS telah menerima pakai e-dagang.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Lebih 80% pengusaha IKS tak faham GST, patut tangguh

SHAH ALAM 27 JUN: Lebih 80 peratus pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (PKS) tidak tahu dan tidak memahami cukai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)

Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS), Teh Kee Sin berkata beliau menggesa Kerajaan Pusat agar melanjutkan tempoh pelaksanaan itu selama tiga tahun lagi bagi membolehkan pengusaha PKS menyesuaikan diri dengan cukai baharu itu.

GST Grafik Baru“Berilah sedikit masa untuk PKS menyesuaikan diri dengan sistem ini. Janganlah denda kami, sekiranya ada yang belum mengikuti cukai baharu ini apabila ia dilaksanakan kelak.

“Kerajaan sudah berikan dua tahun, tapi kami berharap tiga tahun untuk tempoh penyesuaian diri untuk PKS,” katanya dipetik Bernama.

GST akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 April 2015 pada kadar enam peratus menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

Beliau turut meminta Kerajaan Pusat meningkatkan nilai e-baucar GST untuk perusahaan kecil dan sederhana membeli atau menaik taraf perisian perakaunan pematuhan GST daripada RM1,000 kepada RM2,000 bagi mengurangkan beban pengusaha PKS.

“PKS kadang-kadang buat akaun secara manual. Kami rasa RM1,000 tidak cukup, terutama untuk pengusaha PKS yang langsung tidak ada komputer dan membuat akaun secara manual. Jadi, kalau boleh kami mengharapkan kerajaan menggandakan baucar itu,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

27 kaunseling bertauliah bantu atasi masalah emosi

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 JUN: Pusat Kaunseling Selangor (PKS) akan membantu rakyat mengatasi pelbagai masalah dihadapi dengan khidmat kaunseling percuma disediakan di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Exco Wanita dan Hal Ehwal Masyarakat, Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri menaiktaraf perkhidmatan ‘Talian Sahabat’ kepada PKS dan ditempatkan di Kompleks PKNS bagi kemudahan orang ramai kerana ia kawasan tumpuan awam.

_MG_4187 copy“PKS ini salah satu cara kita memberikan khidmat kebajikan kepada rakyat bagi mengatasi bebanan ditanggung dari segi emosi. Biasanya kaunseling ini diberikan berkaitan dengan perundangan iaitu masalah rumahtangga, keluarga, kerjaya dan sebagainya,”katanya kepada SelangorKini.

Rodziah berkata, dengn cara ini memudahkan rakyat menyalurkan masalah melalui saluran betul.

“Kita akan mengumpulkan semua maklumat diperoleh PKS melalui pengkalan data dan menjalankan kajian terhadap segala isu dibanginkan,” katanya.

Menurut Pegawai Psikologi PKS, Rinatho Nunchi, perkhidmatan PKS merangkumi kaunseling individu, keluarga, kerjaya, kelompok dan perkhidmatan bimbingan, rundingcara serta ujian psikolgi.

“Kaunseling bertujuan membangunkan potensi pengadu kerana ketika itu mereka tidak tahu jalan keluar dari masalah mereka,” katanya.

Rinatho yakin kemampuan PKS dengan 27 tenaga kaunselor bertauliah mampu membantu mereka yang memerlukan.

PKS memegang amanah Kerajaan Negeri yang mahu rakyat sentiasa menikmati kecemerlangan ekonomi, sosial dan agama.

EZY