Categories
AGENDA JENAYAH

Dua sindiket edar dadah tumpas babit rampasan bernilai RM1.11 juta

JOHOR BAHRU, 14 NOV: Polis Johor menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.11 juta menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini dan Kota Tinggi pada 9 dan 10 Nov lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata serbuan pertama di Kota Tinggi pada 9 Nov lepas, antara 1.50 tengah hari hingga 3 petang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun dan seorang lelaki Indonesia berumur 49 tahun yang kedua-duanya dipercayai dalang sindiket berkenaan.

Beliau berkata menerusi penahanan dua individu itu, pihaknya menemukan dadah jenis ganja seberat 14.55 kilogram bernilai RM36,392 yang disembunyikan di dalam sebuah kereta Honda CRV.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyeludup dadah yang dipercayai diambil dari utara Semenanjung ke negara jiran dengan melalui jalan laut dan ia telah beroperasi sejak awal Julai tahun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata pihaknya turut menyita kereta terbabit bersama sebuah motosikal Yamaha LC135 serta wang tunai RM564 dan mata wang Singapura sebanyak S$279.

Beliau berkata kedua-dua individu itu direman selama tujuh hari bermula 10 Nov lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, dua serbuan lagi dilakukan di sekitar daerah ini kira-kira pukul 9 pagi hingga 2 petang, 10 Nov yang membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.07 juta yang dipercayai untuk kegunaan ‘private party’ atau parti persendirian dan pusat hiburan.

Ayob Khan berkata rampasan melibatkan sebanyak 21.18 kilogram serbuk ekstasi, 78.6 gram ketamin, 1.8 gram syabu, 90 biji pil ekstasi dan 170 biji pil Erimin 5.

Beliau berkata seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun dan pasangan suami isteri masing-masing berumur 59 dan 53 tahun yang ketiga-tiganya dipercayai bertindak sebagai dalang sindiket itu, turut ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyewa apartment ‘gated and guarded’ sebagai stor pembungkusan dadah untuk kegunaan ‘private party’ dan pusat hiburan di sekitar daerah ini,” katanya yang turut menjelaskan sindiket berkenaan disyaki telah beroperasi sejak Ogos tahun ini.

Ayob Khan berkata hasil saringan ujian air kencing mendapati seorang daripada mereka yang ditahan positif ketamin, manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata ketiga-tiga individu itu direman selama tujuh hari bermula 11 Nov lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, dadah yang dirampas menerusi kedua-dua sindiket itu boleh digunakan untuk kira-kira 85,882 penagih dadah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tumpas sindiket seludup dadah ke Indonesia, rampas syabu lebih RM1 juta

JOHOR BAHRU, 29 DIS: Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah ke Indonesia dan merampas syabu bernilai RM1.07 juta, menerusi empat serbuan di Muar dan bandar raya ini pada 26 dan 27 Dis.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat lelaki warga tempatan berusia 30 hingga 41 tahun, turut ditahan dalam operasi khas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor Bahru dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor bermula pukul 6.30 petang sehingga 6.30 pagi itu.

Katanya, suspek yang ditahan masing-masing dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ dan penjaga dadah.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah dengan menyembunyikan dadah di tempat penyimpanan tayar dan peralatan membaiki kenderaan.

“Sindiket ini dikesan beroperasi sejak awal Disember ini, yang mana modus operandi sindiket adalah dengan menyembunyikan dadah dalam kenderaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Kemudian, dadah ini dihantar ke Indonesia dengan menggunakan bot melalui jalan laut untuk kegunaan pasaran tempatan di negara itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ayob Khan berkata turut dirampas dalam serbuan itu adalah dua kenderaan, serta tiga liter air ketum dan daun ketum bernilai RM34.80 serta peralatan memproses ketum yang mana ia dikenal pasti untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine, namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 27 Dis untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis Johor lupus dadah lebih RM20 juta

JOHOR BAHRU, 17 APRIL: Polis Johor hari ini melupuskan barang kes dadah yang dirampas dari tahun 2006 sehingga tahun lalu bernilai RM20.61 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, ACP Lukas Anak Aket berkata, pelupusan barang kes itu membabitkan 159.07 kilogram (kg) dan 42.30 liter pelbagai jenis dadah yang selesai diproses analisis kimia dan perundangan.

“Antara barang kes dadah yang dirampas ialah heroin (0.97 kilogram), cannabis (30.95 kilogram), ketamine (116.71 kilogram), MDMA (6.41 kilogram), lain-lain dadah (1.33 kilogram), bahan kimia (2.54 kilogram), codeine (7.60 liter) dan mitragynine (34.76 liter),” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Katanya, jumlah dadah itu hasil daripada 3,874 kes membabitkan tangkapan 5,087 orang.

“Pada 2017, JSJN Johor berjaya melupuskan sebanyak 2,863kg pelbagai jenis dadah manakala tahun lalu, sebanyak 66.43 kg pelbagai jenis dadah dan 60 liter ubat batuk berjaya dilupuskan,” katanya.

Lukas berkata, polis akan melupuskan kesemua bahan itu di pusat pelupusan sisa buangan terjadual di Bukit Pelanduk, Negeri mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.

“Oleh itu, komitmen dan usaha dilaksanakan pihak polis dalam memastikan setiap rampasan dadah berjaya dilupuskan akan diteruskan sehingga tiada ruang bagi penjenayah dadah untuk menjalankan aktiviti haram mereka,” katanya.-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pas Johor Mahu Polis Ambil Tindakan Serius Tangani Provokasi Kaum

KUALA LUMPUR 8 FEB : PAS Johor menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menubuhkan sebuah unit khas bagi menyiasat usaha untuk mengapikan semangat perkauman ekoran beberapa kejadian provokasi yang menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mazlan Aliman berkata, adalah tidak wajar bagi pimpinan negara dan NGO untuk membuat ucapan berbaur perkauman kerana ini akan menyebabkan suasana yang tidak harmoni dalam masyarakat.

“Berdasarkan pengamatan kami tidak ada tindakan susulan yang dibuat oleh pihak polis,” Mazlan berkata, untuk menangani tindakan provokasi tersebut.

Mazlan berkata demikian selepas menyerahkan sebuah memorandum kepada PDRM yang diterima Superitenden Perhubungan Awam Bukit Aman, Norisah Abd Hamid.

Sebelum ini, beberapa kejadian yang menyentuh sentimen keagamaan dan perkauman berlaku seperti pemberian ang pau menggunakan sampul berwarna putih pada majlis makan malam sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh PERKASA.

Mengikut budaya masyarakat Cina, warna putih digunakan untuk upacara kematian. Sambutan meriah seperti Tahun Baru Cina lazimnya menggunakan warna merah yang dikaitkan dengan kemakmuran.

Manakala komuniti Melayu digemparkan dengan penemuan kepala babi di masjid di Johor Bahru, Johor pada Disember lepas dan terbaru, beberapa minggu lepas, di Rawang, Selangor dan Sentul, Kuala Lumpur.

Mazlan berkata, jika perkara-perkara ini terus berlarutan, dikhuatiri kejadian hitam 13 Mei 1969 tercetus kembali.

Beliau juga menggesa agar polis menganjurkan satu taklimat kepada pimpinan politik dan NGO bagi menangani isu-isu keselamatan negara.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pas Negeri, Onn Jaafar berkata beliau difahamkan satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kejadian kebakaran di rumah Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor.

“Kita mengaggap ini merupakan kejadian serius memandangkan bukan sahaja melibatkan harta benda bahkan nyawa mereka sekeluarga.

“Kita mengharapkan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan memandangkan PRU-13 (pilihanraya umum ke-13) semakin dekat dan mungkin provokasi yang lebih teruk akan dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam Kejadian minggu lalu, tingkat bawah rumah dan kereta milik Dzulkefly di Taman Universiti, Johor Bahru, telah hangus terbakar dipercayai akibat sabotaj pihak tertentu.

Ketika kebakaran, beliau sekeluarga berada di dalam rumah tersebut dan berlaku 2 kali letupan yang kuat dari kereta yang terbakar.

Polis menjumpai sebiji tong minyak 5 liter yang terdapat kesan-kesan minyak tanah berhampiran rumah beliau.