Categories
NASIONAL

KEADILAN gesa tolak calon parti amal politik toksik

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Pengundi pilihan raya akan datang digesa menolak calon dan parti yang mengamalkan politik toksik demi memastikan keamanan serta kesejahteraan hidup masyarakat berbilang bangsa di negara ini terus terpelihara.

Politik toksik merujuk kepada perlakuan kotor ahli politik sama ada berunsur keganasan, berbaur hasutan jahat, menimbulkan kebencian antara kaum, memfitnah, korup dan tidak bertanggungjawab bagi kepentingan peribadi atau politik sendiri.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kesilapan memilih akan mengakibatkan rakyat terpaksa membayar dengan harga yang mahal.

IMG_20170910_201832-1024x643“Rakyat negara ini khususnya kaum wanita harus menolak calon parti yang mengamalkan politik toksik kerana golongan ini menggalakkan keganasan, rasuah dan pelbagai perkara lain yang merosakkan negara,” katanya.

Wan Azizah berkata demikian pada perhimpunan aman, Wanita Bantah Politik Toksik di perkarangan bangunan Maju Junction, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, semalam.

Beliau berkata, kini negara semakin diancam golongan yang mengamalkan politik toksik demi mempertahankan kuasa mereka.

“Sebagai ibu, kaum wanita sudah tentu mengimpikan masa hadapan lebih gemilang dan sebuah negara yang baik untuk didiami anak juga cucu mereka. Generasi hari ini jangan sesekali melupakan pengorbanan yang pernah dilakukan pejuang untuk membina negara ini,” katanya.

Wan Azizah turut menyelar golongan yang menganiaya pihak lain semata-mata untuk kekal berkuasa.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 5,000 sertai Himpunan Wanita Bantah Politik Toksik di KL

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Bandar raya Kuala Lumpur hari ini dikejutkan kelantangan suara kira-kira lebih 5,000 wanita berpakaian serba purple dalam Himpunan Wanita Bantah Politik Toksik.

Perhimpunan aman anjuran pelbagai Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) itu bermula kira-kira jam 5.00 petang di hadapan bangunan Maju Junction, Jalan Tunku Abdul Rahman.

Perhimpunan yang dipimpin isteri bekas Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Siti Hasmah Ali itu dimulakan dengan ucapan beberapa pemimpin NGO terlibat.

Ketika menyampaikan ucapan, Siti Hasmah, berkata, perhimpunan itu diadakan bagi menolak golongan yang mengamalkan politik keganasan, rasuah dan tidak bertanggungjawab.

Bantah“Kita lihat wanita dijadikan sasaran dengan dibunuh dalam peperangan, gangguan seksual dan lain-lain.

“Ini terjadi kerana amalan politik toksik dan perlu dihentikan sebelum toksik ini masuk ke dalam darah kita dengan mengadakan perhimpunan aman. Wanita memang cintakan keamanan,” katanya.

Sebaik Siti Hasmah selesai menyampaikan ucapan, perhimpunan itu mula berarak menuju ke Sogo.

Selain pemimpin beberapa NGO, turut hadir Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; isteri Dato’ Menteri Besar Selangor, Shamsida Taharin; Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh; Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Kesihatan, Dr Daroyah Alwi; Ahli Dewan Negeri (ADN)Batu Tiga, Rodziah Ismail dan ADN Rawang, Gan Pei Nei.

Turut kelihatan pada perhimpunan itu Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan ramai lagi.

Selain pemimpin wanita, himpunan itu turut dihadiri Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden, Tian Chua sebagai tanda sokongan kepada gerakan terbabit.

=EZY=