Categories
NASIONAL

KEADILAN gesa tolak calon parti amal politik toksik

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Pengundi pilihan raya akan datang digesa menolak calon dan parti yang mengamalkan politik toksik demi memastikan keamanan serta kesejahteraan hidup masyarakat berbilang bangsa di negara ini terus terpelihara.

Politik toksik merujuk kepada perlakuan kotor ahli politik sama ada berunsur keganasan, berbaur hasutan jahat, menimbulkan kebencian antara kaum, memfitnah, korup dan tidak bertanggungjawab bagi kepentingan peribadi atau politik sendiri.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kesilapan memilih akan mengakibatkan rakyat terpaksa membayar dengan harga yang mahal.

IMG_20170910_201832-1024x643“Rakyat negara ini khususnya kaum wanita harus menolak calon parti yang mengamalkan politik toksik kerana golongan ini menggalakkan keganasan, rasuah dan pelbagai perkara lain yang merosakkan negara,” katanya.

Wan Azizah berkata demikian pada perhimpunan aman, Wanita Bantah Politik Toksik di perkarangan bangunan Maju Junction, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, semalam.

Beliau berkata, kini negara semakin diancam golongan yang mengamalkan politik toksik demi mempertahankan kuasa mereka.

“Sebagai ibu, kaum wanita sudah tentu mengimpikan masa hadapan lebih gemilang dan sebuah negara yang baik untuk didiami anak juga cucu mereka. Generasi hari ini jangan sesekali melupakan pengorbanan yang pernah dilakukan pejuang untuk membina negara ini,” katanya.

Wan Azizah turut menyelar golongan yang menganiaya pihak lain semata-mata untuk kekal berkuasa.