Categories
SELANGOR

MB: “Kini waktu untuk bekerja dan bukan berpolitik”

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 OKT: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menjelaskan, misinya kini adalah untuk menjalankan tanggungjawab diamanahkan serta menerajui Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat.

“Tiadak ada, tidak ada. Sekarang waktu untuk bekerja. Jangan berpolitik. Masa berpolitik sudah selesai,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

MB Azmin lawat tapak banjir di depan Stadium (1)Mohamed Azmin mengulas dan menafikan dakwaan mengatakan terdapat usaha dari dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahukan dirinya diangkat ke jawatan Presiden daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, beliau bersyukur kerana didukung pasukan baru daripada PAS, DAP dan PKR sendiri dengan penuh kerjasama.

“Kini, tanggungjawab saya untuk memenuhi aspirasi rakyat kerana mereka mahu pembangunan di Selangor ini diteruskan dengan baik dan amanah. Fokus kerja,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA

Politik bikini dan erti merdeka

Oleh: Edwin Michael

Politik yang bersifat sempurna di luar tetapi hakikatnya mengamalkan ketidakadilan adalah apa yang sedang dipraktikkan oleh Pakatan Rakyat.

Banyak yang telah dikupas dan dibicarakan berkaitan krisis perebutan kerusi Menteri Besar (MB) Selangor ini dan bagaimana demi survival politik, nepotisme dihalalkan.

PAKATAN RAKYATMalah, apa yang lebih menggerunkan lagi ialah bagaimana percubaan untuk membunuh karakter Tan Sri Khalid Ibrahim melalui penerbitan laporan 91 muka surat turut dihalalkan.

Untuk memahami keseluruhan konteks krisis politik pembangkang daripada sudut sains politik itu sendiri bukannya mudah.

Masakan tidak apabila ada pakar perlembagaan yang gah berbicara bagaimana Wan Azizah Wan Ismail harus dilantik menjadi MB dan bagaimana peranan Sultan Selangor harus dihadkan dalam menyelesaikan krisis di Selangor ini tetapi malangnya pakar perlembagaan itu sendiri gagal untuk takrifkan terma nepotisme dan kronisme daripada konteks ilmu sains politik.

Politik Bikini dan The Blair Witch Project

Pembangkang di Malaysia hanya mempraktikkan politik bikini. Bikini adalah pakaian dalam yang digunakan oleh wanita untuk menutupi bahagian sulit mereka dan pada masa sama mendedahkan bahagian tubuh badan yang lain yang boleh menimbulkan perasaan erotis dan ghairah.

blair-witch-project-galeryLazimnya, wanita berbikini selalunya ditonjolkan sebagai simbol seks. Maka, bikini itu sendiri menjurus kepada satu imaginasi yang bersifat seksual dan memiliki kebebasan untuk mendedahkan tubuh badan tanpa apa-apa sekatan.

Politik bikini adalah satu pendekatan politik yang mencuba untuk menutupi persoalan penting yang barangkali sangat bermasalah (umpama bikini yang menutupi bahagian sulit si pemakai) dan pada masa sama menonjolkan kepada masyarakat hal yang boleh mencapai kejayaan daripada sebuah proses pendemokrasian (menonjolkan bahagian tubuh badan lain).

Begitu juga politik pembangkang yang seawal reformasi dahulu kelihatan amat bersemangat dan idealisme yang subur. Namun kini reformasinya entah hilang kemana tidak tahu sementara idealismenya pula sudah mati.

Politik bikini pembangkang yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim sudah tidak relevan lagi apabila demokrasi dilacurkan dan nepotisme dihalalkan.

Malah, apa yang ditonjolkan oleh pembangkang ini tidak jauh bezanya dengan rahsia filem dokumentari The Blair Witch Project yang pada awalnya didakwa sebagai sebuah filem benar dan kemudiannya baru diketahui bahawa filem berkenaan hanyalah rakaman semata-mata.

Segala gangguan di dalam hutan dilakukan krew filem, malah aspek promosi adalah pembohongan terbesar dalam filem itu apabila menyatakan rakaman dan kehilangan pelakon itu benar-benar berlaku.

Walaupun ia hanya sekadar filem, The Blair Witch Project meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dan mencetuskan fenomena dikenali ‘sindrom kepercayaan sebenar’ sehingga menyebabkan ramai penonton mengunjungi lokasi kejadian. Justeru, The Blair Witch Project digelar misteri paling menipu dalam sejarah.

Begitulah juga dengan sesetengah individu yang pada awalnya menabur segala macam janji dan harapan kepada rakyat bahawasanya merekalah yang terbaik, terunggul dan tiada yang lebih layak selain diri mereka sendiri untuk membela nasib rakyat hinggalah suatu hari individu ini mempamerkan sendiri tahap mentaliti politik mereka kepada umum.

Dengan politik bikininya yang berusaha untuk meyakinkan rakyat dan kemudian menanam ‘sindrom kepercayaan sebenar’ dalam pemikiran rakyat maka individu ini menganggap bahawa tiada mana-mana kuasa kebal yang dapat menandingi mereka sedangkan individu ini terlupa bahawa masih ramai lagi yang sedang memerhatikan tingkah laku dan gerak geri mereka ini.

Roh Merdeka Dan Pakatan Rakyat

Maka tanggal 31 Ogos kita bakal mewarnai negara ini dengan sambutan ke 57 ulang tahun kemerdekaan. Disaat pembangkang berebut-rebut kerusi MB Selangor, disaat politikus pembangkang mempersoal kewajaran istiadat penghormatan terhadap mangsa-mangsa nahas MH17, kita sebagai rakyat hanya akan dapat menjiwai roh merdeka apabila pentas politik bikini pembangkang ini dipulaukan.

Tema dan Logo Kemerdekaan 57 Malaysia Tahun 2014Sesungguhnya pembangkang tidak tahu mengerti apa itu merdeka dan mereka juga nyata tidak menghargai nilai sebenar kemerdekaan yang kita miliki hari ini. Apa yang penting buat setiap politikus pembangkang adalah kuasa dipusatkan pada Wan Azizah Wan Ismail agar Anwar Ibrahim dan sekutu rapatnya DAP berdansa menikmati kekayaan negeri Selangor sementara PAS sekadar menjadi penonton setia mereka.

Hakikatnya, membebaskan diri segenap anak Malaysia daripada kesesatan politik pembangkang ini adalah pengertian merdeka yang sebenar. Kesesatan ini bukan sahaja menjahanamkan negara malah memberikan laluan kepada usaha untuk memesongkan nilai dan definisi kemerdekaan itu sendiri.

Sebaik politik bikini pembangkang lenyap, maka saat itu adalah merdeka yang sebenar buat Malaysia!

Salam Merdeka.

* Edwin Michael adalah Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman, Perak.

Categories
SELANGOR

DYMM Sultan: Rakyat perlu lupakan ideologi politik, kukuhkan silaturrahim

Oleh :LIZAWATI MADFA

HULU LANGAT, 25 JULAI: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya seluruh rakyat melupakan sementara segala ideologi serta fahaman politik.

Baginda bertitah, rakyat perlu menumpukan sepenuhnya perhatian kepada amal ibadat dan bersatu padu serta mengukuhkan silaturrahim antara satu sama lain.

Dengan itu, titah baginda, rakyat akan mendapat faedah serta kebaikan daripada Allah.

sultan“Oleh yang demikian, marilah kita berfikiran positif, bersangka baik, serius dan ikhlas dalam melaksanakan segala kewajipan serta tanggungjawab kepada keluarga, agama juga negara.

“Beta harap kita semua akan dapat menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin,” titah baginda di hadapan hampir 1,000 hadirin ketika majlis berbuka puasa bersama rakyat dan perasmian Masjid Teras Jernang, di sini, semalam.

Turut mengiringi baginda adalah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Selain itu, baginda turut menyampaikan ucapan selamat hari raya aidilfitri bagi tahun 1435 hijrah kepada seluruh rakyat.

sultan“Semoga rakyat beta dapat menyambutnya dengan keadaan yang selamat dan sejahtera. Beta juga berharap seluruh rakyat sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika memandu walau di mana berada,” titah baginda.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 300 orang penerima fakir dan miskin, 150 saudara baru serta 148 anak yatim.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Rafizi : Manifesto BN Tidak Konkrit, Akui Keberkesanan Manifesto PR

rafizi pc white stripes 01

PETALING JAYA 8 APR: Manifesto Umno-BN bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak ada sasaran khusus yang boleh meyakinkan rakyat berbanding Manifesto Pakatan Rakyat yang jelas mekanisme, tempoh masa dan sasarannya.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, sebagai contoh, Umno-BN berjanji untuk menarik pelaburan bernilai RM 1.3 trilion dan mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan baru tetapi tidak dinyatakan bagaimana ia mahu dilaksanakan.

Berbanding dengan Manifesto PR yang jelas menumpukan usaha menambah kemahiran pelajar lepasan SPM yang tidak melanjutkan pelajaran untuk mengambil alih satu juta pekerjaan yang kini diusahakan oleh pekerja asing.

“Semakan ke atas keseluruhan Manifesto BN menunjukkan bahawa tidak ada sebarang perubahan dasar ekonomi, politik dan sosial yang akan dilaksanakan untuk mengotakan janji-janji BN,” katanya dalam sidang media di Ibupejabat PKR di sini hari ini.

Rafizi menambah BN bukan sahaja meniru idea PR untuk menurunkan harga kereta tetapi tidak pula menyatakan secara khusus bila ia akan dilaksanakan.

“PR berjanji menghapuskan terus cukai eksais secara berperingkat supaya harga kereta adalah separuh dari harga sekarang dalam tempoh lima tahun.

“Berbanding BN yang hanya akan memotong cukai sebanyak 20 peratus hingga 30 peratus sahaja secara berperingkat tanpa disebut jangka masanya,” ujarnya lagi.

Rafizi berkata, PR berjanji untuk menghapuskan tol bermula dengan lebuhraya yang sudah mendapat pulangan modal, berbanding dengan BN yang hanya akan menurunkan tol secara berperingkat tanpa disebut jumlah dan tempoh masanya.

Katanya, Manifesto BN adalah kesilapan terbesar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak kerana terpaksa memasukkan dasar yang dijanjikan Pakatan.

“Kalau dulu kamu (BN) kata akan membangkrupkan negara, kenapa sekarang kamu (BN) masukkan dalam manifesto. Akhirnya kamu akur terhadap apa yang telah dijanjikan PR lebih awal,” katanya lagi.