Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tradisi Ponggal diperkenal, suburkan budaya masyarakat India

SHAH ALAM, 12 FEB: Ikatan bunga dan gubahan daun kelapa antara tradisi perayaan Ponggal yang diperkenalkan kepada belia India bagi menyuburkan budaya masyarakat itu.

Ahli Majlis Zon 5 Majlis Bandaraya Shah Alam S Sarawanan berkata usaha itu penting bagi memastikan amalan tersebut tidak lapuk di sebalik arus pemodenan yang pesat.

“Sekarang zaman teknologi, banyak budaya dan tradisi yang mereka (belia) tidak tahu malah tidak pernah ditunjukkan di hadapan mereka.

S Sarawanan

“Jadi, kita sebagai ibu bapa tidak mahu ia terus hilang dan dilupakan. Budaya dan tradisi ini perlu dihidupkan dan kekal sampai bila-bila,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui pada Majlis Malam Irama dan Pertandingan Tradisional India sempena perayaan Hari Ponggal di Kuil Sri Maha Mariamman Ken Rimba di sini hari ini.

Sarawanan menambah majlis yang diusahakan sendiri pihaknya turut memperkenalkan tradisi pecah periuk ponggal, mengopek kelapa dan pakaian tradisional beragam.

Jelasnya, acaran tahunan yang melibatkan kira-kira 100 penyertaan tertangguh selama dua tahun susulan penularan Covid-19 dan kes tinggi.

“Ini kali pertama diadakan sejak wabak menular. Selalunya kita buat di tujuh kuil sekitar bandar raya ini tetapi tahun ini dihadkan bagi menjaga tatacara operasi piawai,” katanya.

Ponggal atau pesta menuai disambut pada 14 hingga 17 Januari lalu sebagai tanda kesyukuran terhadap hidupan dan alam semula jadi yang memberi rezeki.

Peserta mengikat bunga ketika Majlis Malam Irama dan Pertandingan Tradisional India sempena Hari Ponggal di Sri Maha Mariaman Ken Rimba, Padang Jawa, Shah Alam pada 12 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Persiapan sambutan Ponggal, Thaipusam tetap meriah meski terikat SOP

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Little India, Brickfields di sini menjadi tumpuan masyarakat India membuat persiapan untuk menyambut Ponggal atau pesta menuai Jumaat ini dan Thaipusam pada 18 Jan, sambil mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19.

Tinjauan Bernama mendapati penjualan periuk tanah liat, tebu, susu dan daun kunyit agak laris manakala pakaian kuning untuk perayaan Thaipusam juga mendapat permintaan tinggi.

Penjual bunga M. Visakama, 34, berkata kebanyakan gerai menjual bunga mendapat banyak tempahan antaranya untuk kalungan bunga malai.

“Saya banyak menerima tempahan kalungan bunga sepanjang tempoh menjelang sambutan Ponggal dan Thaipusam,” katanya kepada Bernama di Little India di sini semalam.

R. Thanen, 27, berkata susu lembu segar yang dijualnya sering mendapat permintaan tinggi pada musim Ponggal dan Thaipusam, justeru harganya tahun ini meningkat sedikit memandangkan kedua-dua perayaan itu jatuh pada bulan yang sama.

Ponggal diraikan pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil dipanggil ‘Thai’ dan merupakan perayaan utama khususnya bagi komuniti petani.

Pada hari itu, masyarakat Tamil akan menyediakan Ponggal atau nasi manis dan menyampaikan doa kesyukuran kepada Surya Bhagavan (Dewa Matahari), bumi dan lembu.

Sehari selepas ‘Thai Ponggal’ adalah ‘Mattu Ponggal’ yang diraikan khas bagi haiwan lembu manakala hari ketiga sambutan Ponggal dikenali sebagai ‘Kanni Ponggal’ khusus bagi anak dara mendoakan agar dipertemukan dengan jodoh yang baik dan mendapat kehidupan yang bagus.

Thaipusam pula adalah perayaan yang disambut oleh penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’ iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil untuk memperingati peristiwa iaitu Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati, bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hindu Sangam Malaysia Datuk R. S. Mohan Shan berkata tahun ini, waktu yang paling baik untuk menyediakan nasi manis adalah antara 7.30 pagi hingga 10.25 pagi dan dari 6.30 petang ke 9 malam bagi mereka yang tidak dapat melakukan Ponggal pada waktu pagi, namun beliau berkata dinasihatkan mengadakan Ponggal pada sebelah pagi.

Mohan turut menggesa masyarakat Tamil untuk menyambut Ponggal di rumah, terutama ketika negara masih bergelut dengan lonjakan kes Covid-19.

“Para penganut yang menyertai sambutan itu di kuil pula perlu memastikan pentadbiran kuil mematuhi norma SOP semasa,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB ucap Selamat Hari Ponggal kepada masyarakat India

SHAH ALAM, 14 JAN: Dato’ Menteri Besar mengucapkan selamat menyambut perayaan Ponggal kepada seluruh masyarakat India di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perayaan itu menandakan sambutan musim menuai serta merayakan kejayaan dan kemakmuran yang melimpah ruah.

“Perayaan ini adalah simbol masyarakat yang berbilang bangsa dan adat resam di Malaysia.

“Semoga tahun ini Selangor terus dilimpahi kemakmuran dan kejayaan untuk dinikmati segenap rakyat negeri yang bertuah ini,” katanya di Facebook.

Perayaan ini disambut semasa musim menuai oleh masyarakat India di Tamil Nadu sebagai tanda terima kasih kepada alam semula jadi yang disambut pada hari pertama bulan Thai menurut kalendar Tamil.

Ponggal ialah nama nasi manis yang ditanak bersama susu menggunakan periuk tanah. Di Malaysia, perayaan ini dianggap sebagai sebahagian festival melibatkan pelbagai kaum.

Categories
PBT SELANGOR

Pertandingan memasak Ponggal antara sekolah meriah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 FEB: Sebanyak 24 sekolah menyertai Pertandingan Memasak Ponggal Antara Sekolah daerah Gombak dan Hulu Langat anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi memupuk perpaduan kaum.

Setiausahanya, Hasrolnizam Shaari berkata, pertandingan itu antara komited MPAJ mewujudkan masyarakat Ampang Jaya yang harmoni dan mengamalkan pelbagai budaya.

“Selain mendedahkan pengalaman dan memperkenalkan adat resam masyarakat India berkenaan perayaan Ponggal, program tahunan itu juga bertujuan memupuk semangat menghargai, menghormati adat serta kebudayaan masyarakat lain.

“Penyertaan juga meningkat berbanding tahun lalu dengan hanya 10 sekolah bertanding,” katanya dalam kenyataan.

Pertandingan itu menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Ampang dipilih sebagai juara, sementara naib johan dan tempat ketiga dimenangi SMK Dato Ahmad Razali juga SMK Taman Kosas.

Manakala bagi ketegori sekolah rendah dijuarai Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Muda, naib johan dimenangi SK Ampang dan tempat ketiga SK Pandan Indah.