Categories
ADN SELANGOR

JPN disaran atasi isu tunggakan bil air PPR Lembah Subang 2

PETALING JAYA, 26 FEB: Jabatan Perumahan Negara (JPN) digesa menyelesaikan isu tunggakan bil air Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di sini demi kebaikan penduduk.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak boleh dipersalahkan berikutan sudah menyerahkan lima notis peringatan kepada jabatan itu berhubung tunggakan bernilai lebih RM100,000.

“Pemakluman telah diberikan kepada JPN yang berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan namun tidak tahu di mana silapnya, bil berkenaan tidak dibayar sehingga mempunyai hutang lapuk.

“Bagaimanapun difahamkan, mereka sudah membuat bayaran bil terkini tetapi tunggakan itu masih belum selesai sepenuhnya,” kata Halimey Abu Bakar kepada SelangorKini selepas program Jom Kembali ke Sekolah di sini hari ini.

Pada 24 Februari lalu, beliau menggesa JPN menyelesaikan tunggakan itu bagi membolehkan bekalan air disambung semula di PPR Lembah Subang 2 yang dikendalikannya.

Tunggakan berkenaan membabitkan meter pukal yang digunakan untuk kemudahan awam seperti surau dan dewan.

Mengulas lanjut, wakil rakyat Seri Setia memaklumkan JPN akan mengadakan pertemuan bersama Air Selangor dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah berkaitan.

“Saya berharap ADN juga dapat terlibat dalam pertemuan itu memandangkan banyak masalah perlu diselesaikan membabitkan penduduk PPR Lembah Subang 2 antaranya isu lif sudah lama dikemukakan yang perlu diselesai segera,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Perumahan Negara digesa bayar tunggakan bil air PPR Lembah Subang 2

SUBANG JAYA, 24 FEB: Jabatan Perumahan Negara (JPN) digesa menyelesaikan tunggakan bil air Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 berjumlah lebih RM100,000 bagi memboleh bekalan air disambung semula.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia berkata hampir penduduk 5,000 di situ tidak sepatutnya berdepan masalah air memandangkan bil mereka dibayar secara terus kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Tunggakan ini adalah dari meter pukul yang digunakan untuk kemudahan awam seperti surau dan dewan. Pengurusan menerusi JPN bertanggungjawab membayar bil ini.

“Difahamkan pengurusan kawasan ini telah menerima lima notis bayaran namun tidak mengendahkan hingga akhirnya bekalan air dipotong kira-kira jam 1 pagi semalam tanpa makluman awal,” kata Halimey Abu Bakar ketika ditemui di PPR berkenaan malam ini.

Bagi membantu penduduk mendapatkan bekalan air bersih, Halimey mengambil inisiatif meminta bantuan Majlis Bandaraya Petaling Jaya menghantar lima tangki air bermula petang tadi.

“Saya akan berjumpa dan mendesak pihak JPN serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung masalah ini demi memastikan ia tidak akan berulang lagi,” katanya.