Categories
NASIONAL

PR mahu status pekerja kontrak ditukar kepada tetap

sani

KUALA LUMPUR, 24 SEPT – Kerajaan Pusat dibidas kerana tidak menunaikan janji untuk menukar status pekerja kontrak kepada jawatan tetap seperti yang dijanjikan manifesto Barisan Nasional Pilihan Raya Umum Ke-13.

Aktivis kaum pekerja dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani, menggesa Kerajaan Pusat untuk tidak meneruskan apa yang beliau sifatkan sebagai perhambaan moden itu dan memberi status tetap kepada kakitangan kontrak yang telah bekerja selama tiga tahun dan keatas.

Menurut beliau, kakitangan kontrak dianggarkan hampir 49,000 pekerja, manakala jumlah kekosongan jawatan dalam perkhidmatan menjangkau 100,000, katanya memetik kenyataan media Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Osman Omar.

“Saya dimaklumkan Timbalan Pegawai Daerah juga ada yang kontrak. Saya diberitahu ada pekerja-pekerja di Parlimen ini juga kontrak walaupun telah bekerja selama lima tahun,”

“Masalah ini satu penganiayaan. Menteri dakwa mereka (pekerja kontrak) mendapat faedah (seperti pekerja tetap). Setahu saya merika tidak mendapat faedah cuti bersalin, bonus dan sebagainya. Sampai bila mereka ingin menanggung beban hidup?” soalnya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam menyatakan kerajaan tidak berhasrat untuk menukar status pekerja kontrak kepada pekerja tetap.

“Ini menunjukkan manifesto BN hanyalah propaganda untuk meraih undi perkhidmatan awam,” tegas Abdullah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto turut membangkitkan nasib pekerja kontrak yang telah dilanjutkan tempoh perkhidmatan sehingga Disember 2014.

“Perkara ini serius sedangkan terdapat 100,000 kekosongan jawatan. Apa masalahnya menukar status mereka?” katanya.