Categories
AGENDA NASIONAL

Wujud dasar pengurusan stres kepada penjawat awam

KOTA KINABALU, 30 OKT: Kerajaan hari ini digesa mewujudkan dasar pengurusan stres bagi membantu kakitangan awam yang menghadapi stres atau tekanan melampau di tempat kerja.

Menggesa demikian, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, banyak pekerja di negara ini yang mengalami stres sehingga menyebabkan pelbagai masalah seperti kemurungan dan tidak lagi dapat menjalankan tugas sebagai pejawat awam.

“Kita tahu bahawa stres ini sangat berbahaya dan ia juga akan menjejaskan kesihatan mental seseorang itu sehingga tidak waras dan tidak mampu lagi menyara keluarga seperti orang lain. Oleh itu saya berharap dasar pengurusan stres ini dapat digubal oleh kerajaan secapat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Awam Peringkat Zon Sabah dan Labuan 2019, di sini hari ini.

Mengulas mengenai seminar berkenaan, Azih berkata, seminar yang disertai 370 peserta melibatkan penjawat awam dari Sabah dan Labuan itu bertujuan memberi pendedahan mengenai kepentingan pelaksanaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

“Seminar ini diadakan mengikut zon di seluruh Malaysia dan ini adalah kali ketiga selepas di Perlis dan Terengganu.

“Selepas ini iaitu esok seminar ini akan diadakan di Sarawak dan 13 November ini akan diadakan di Melaka,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs: Segera gubal Dasar Pengurusan Stress Negara

MARANG, 23 OKT: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menggubal segera Dasar Pengurusan Stress Negara bagi membela kebajikan kakitangan awam khusus dari aspek kesihatan mental.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, sejak akhir tahun lepas, Cuepacs telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu beberapa kali bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Hasil kajian beberapa universiti serta badan bebas mendapati lebih 400,000 penjawat awam di negara ini berdepan dengan stres yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti persekitaran kerja, arahan majikan, kos kewangan atau beban kerja yang ditanggung.

“Ini akan membawa mudarat kepada sistem perkhidmatan awam itu sendiri…jadi Cuepacs berharap kerajaan segera gubal dasar itu kerana apabila wujudnya kelak, barulah kita tahu bagaimana Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) dan rakan kaunselor akan memastikan pekerja mereka dapat diberi kaunseling dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Awam Peringkat Zon Pantai Timur di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu, Mohd Zahari Hitam dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin.

Seminar tersebut disertai 250 peserta melibatkan penjawat awam dari Terengganu, Kelantan dan Pahang bertujuan memberi pendedahan mengenai kepentingan pelaksanaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Mengulas lanjut, Azih berkata, ketika ini, penjawat awam yang berdepan tekanan perlu membuat aduan kepada kaunselor atau rakan Akrab di agensi masing-masing dan tidak boleh menyembunyikan masalah itu kerana dikhuatiri akan lebih mudarat sehingga ke tahap mendapat kad psikiatri daripada doktor perubatan.

“Manusia tidak boleh berdiam diri. Mereka perlu berkongsi masalah yang dihadapi sama ada kepada ketua di tempat kerja, rakan Akrab atau setidak-tidaknya kepada rakan sekerja agar boleh membantunya dalam pengurusan stres,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

CUEPACS berharap kerajaan beri bonus sebelum Aidilfitri

PASIR MAS, 13 MEI: Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan mempertimbangkan supaya pemberian bonus raya kepada penjawat awam dan pesara kali ini diberikan sebelum sambutan Aidilfitri.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan menghantar surat kepada Perdana Menteri serta Menteri Kewangan agar pemberian bantuan khas itu menjadi kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya memohon agar setiap penjawat awam diberikan bonus RM1,000, manakala bagi pesara RM500, dan menurutnya bantuan khas itu dijangka membabitkan jumlah lebih RM1bilion.

“Sebelum ini hanya mereka yang Gred 41 ke bawah sahaja yang layak dan kali ini kita tidak mahu ada sekatan, semua Gred 54 ke bawah (seharusnya) layak menerimanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Imigresen Kelantan dan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Seluruh Malaysia (KPISM) di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah presiden KPISM, Mohd Fauzi Jamaluddin serta Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Azhar Abd Hamid.

Dalam perkembangan lain Azih berkata, berdasarkan aduan yang diterima, beliau mendapati fasiliti di pintu masuk utama negara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) di Rantau Panjang sudah agak ketinggalan dan perlu pembaharuan.

“Di sini (ICQS) ada 13 agensi dengan jumlah keanggotaan adalah 213 orang dan kita dapati dengan keadaan sekarang di mana jumlah trafik yang keluar masuk semakin banyak memberikan ketidakselesaan kepada anggota yang bertugas di sini.

“Dahulunya keadaan begini mungkin sesuai, namun dengan peredaran masa kita rasakan ia perlu penambahbaikan agar anggota yang bertugas di situ lebih selesa. Di sini kita mahu supaya kerajaan melihat semula soal kebajikan dan keperluan anggota supaya dapat menjalankan tugasan dengan lebih kondusif,” katanya.

Jelasnya, kerajaan perlu melihat anggota yang bertugas ini sebagai “orang penting” kepada negara kerana anggota beruniform bukan sahaja menjaga keselamatan kita tetapi bertanggungjawab memberi keselesaan kepada rakyat.

“Dalam soal ini kita memohon agar gaji kakitangan beruniform perlu lebih tinggi daripada gaji kumpulan yang lain. Kita tahu wujud kekangan di segi kewangan kepada kerajaan namun kita tetap memohon agar ia dipertimbangkan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

CUEPACS harap perubahan drastik bagi sektor perburuhan

PUTRAJAYA, 1 MEI: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat membawa satu perubahan drastik kepada sektor perburuhan terutamanya berkaitan gaji dan kos sara hidup pekerja, kata Presidennya, Datuk Azih Muda.

Beliau berkata, kerajaan sendiri sebagai majikan kepada pekerja sektor awam dapat mempertimbangkan usaha sama ada untuk menurunkan kos sara hidup atau menaikkan gaji pekerja.

Walaupun kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,050 kepada RM1,100, Azih berkata, peningkatan itu masih dianggap rendah berbanding dengan RM1,500 yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.

“Peningkatan itu masih rendah jika dibanding dengan perbelanjaan isu rumah, logistik dan lain-lain, manakala di sektor kerajaan minimum ialah RM1,200.

“CUEPACS harap kerajaan dapat pertimbang gaji minimum di semua peringkat swasta dan kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja bertema ‘Pekerja Amanah, Aspirasi Negara,’ oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini, hari ini.

Azih berkata, CUEPACS menyambut baik saranan Dr Mahathir mengenai hubungan tripartisme yang baik antara kerajaan, pekerja dan majikan menjadi pendorong kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Harapan CUEPACS supaya bukan hanya Hari Pekerja ini disambut untuk mengenang peristiwa berlaku kepada para pekerja tetapi juga disulami oleh kesan kos sara hidup yang amat dirasai oleh kumpulan pekerja khususnya B40 dan M40,” katanya.

Menurut Azih, CUEPACS mendapati golongan pekerja bawahan masih lagi berdepan situasi yang amat sukar dalam mengurus kehidupan mereka kerana kos sara hidup meningkat dan gaji yang tidak berubah.

“Dari segi produktiviti berbanding dengan Jerman, England dan Australia, kita (Malaysia) adalah terendah dari segi gaji walaupun produktivi kita meningkat. Gaji kita hanya 35 peratus kepada produktivi yang kita sumbangkan.

“Walaupun produktivi kita setara dengan negara-negara tersebut, kadar upah masih lagi dibayangi oleh pelbagai kekangan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada keperluan jumpa PM isu pemutihan perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR, 22 APR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bercadang menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan proses pemutihan dalam perkhidmatan awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, ini kerana beliau percaya Perdana Menteri dan kepimpinan lain seperti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berpengalaman dalam menangani perkara itu.

“Tiada keperluan untuk berjumpa Perdana Menteri kerana kita percaya beliau arif mengenai perkara ini. Itu hanyalah satu cadangan dan tidak semestinya cadangan ini dilaksanakan,” katanya ketika sidang media selepas Persidangan Meja Bulat Badan-badan Berkanun Cuepacs, di sini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan masih perlu meneruskan proses pemutihan ke atas penjawat awam di beberapa kementerian kerana terdapat ramai penjawat awam pada masa ini masih berpihak kepada kerajaan lalu.

Azih juga berkata, tiada sebab untuk meragui kesetiaan penjawat awam terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana mereka bekerja dan menjalankan tanggungjawab terhadap kerajaan memerintah dan bukannya parti politik.

Dalam pada itu, Azih berkata, CUEPACS akan menghantar memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia supaya Seksyen 52 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dipinda bagi memberi keadilan kepada pekerja di badan berkanun termasuk badan berkanun yang diasingkan saraan.

Katanya, pindaan itu akan membolehkan mereka merujuk kepada Mahkamah Perusahaan terhadap pertikaian yang berlaku dalam kerja mereka termasuk dalam hal tatatertib dan pembuangan pekerja.

“Ketika ini mereka tidak boleh rujuk kepada Mahkamah Perusahaan terhadap mana-mana kes yang berkaitan tatatertib mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berkata, CUEPACS bersetuju dengan cadangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk mengurangkan masa bekerja doktor pelatih.

Azih berkata, ia bertepatan dengan kenyataannya pada Disember lepas yang menyatakan tahap stress pekerja di Malaysia adalah tinggi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

CuepacsCare bantu ringan kos perubatan penjawat awam

PUTRAJAYA, 28 JAN: Seramai 11,382 penjawat awam dan ahli keluarga mereka yang menyertai Program Takaful CuepacsCare menerima manfaat rawatan di hospital pakar swasta sepanjang 2018.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) , Datuk Azih Muda berkata, semua peserta mendapatkan rawatan perubatan di hospital pakar dengan tuntutan RM42 juta yang ditanggung sepenuhnya di bawah program takaful sekali gus mengurangkan beban penjawat awam.

Beliau berkata, antara jenis penyakit yang paling banyak dirujuk peserta CuepacsCare ketika mendapatkan rawatan penghospitalan sepanjang tahun lalu ialah pneumonia, cirit-birit, influenza, demam denggi, akut pernafasan dan penyakit berkaitan buah pinggang.

“CUEPACS ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Medicare Assistance
yang berjaya mengendalikan CuepacsCare dengan cemerlang.

“Secara purata jumlah tuntutan yang dibayar sebulan untuk penjawat awam yang menyertai ialah sekitar RM3.5 juta.

“Dengan bayaran bulanan serendah RM35 bagi pelan individu dan RM85 pelan keluarga CuepacsCare, penjawat awam di negara ini mampu memiliki kad kesihatan bagi mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta.

“Saya berharap penjawat awam ambil kesempatan ini untuk memiliki CuepacsCare,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azih berkata, selain Takaful CuepacsCare, CUEPACS dan Medicare turut memperkenalkan Program Takaful Kemalangan Diri CuepacsPA pada 2006 bagi memberi perlindungan 24 jam dengan bayaran sumbangan yang begitu rendah dan mampu dimiliki oleh semua peringkat Penjawat Awam.

“Program Perlindungan Kemalangan Diri CuepacsPA merangkumi perlindungan kewangan untuk kematian, kecacatan anggota badan sama ada kecacatan kekal, penuh atau separa pada kadar caruman serendah RM6 sebulan dengan nilai pampasan sehingga RM440,000.

“Lebih istimewa CuepacsPA memberikan perlindungan kepada penjawat awam dan ahli keluarga 24 jam di seluruh dunia sama ada dalam tempoh bekerja atau bercuti.

“Ia membantu apabila ditimpa kemalangan atau musibah tertentu dalam meringankan beban kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, Azih berkata, Medicare telah melaksanakan Progam Latihan Keusahawanan MyCuepacsCare bertujuan untuk meningkatkan aktiviti promosi Takaful CuepacsCare dan CuepacsPA kepada penjawat awam melalui aktiviti pemasaran oleh usahawan berkaliber MyCuepacsCare.

Untuk rekod, sehingga kini, seramai 240 usahawan MycuepacsCare sudah menjalani latihan yang disediakan Medicare.

“Usahawan MyCuepacsCare yang terdiri daripada penjawat awam, pesara, graduan dan orang awam diberikan latihan oleh Medicare untuk mengadakan taklimat dan membuka kaunter bagi mempromosi produk CuepacsCare dan CuepacsPA di agensi atau jabatan kerajaan.

“Adalah menjadi harapan CUEPACS supaya setiap warga penjawat awam mendapat perlindungan takaful tambahan untuk diri dan keluarga,” katanya.

Categories
NASIONAL

PR mahu status pekerja kontrak ditukar kepada tetap

sani

KUALA LUMPUR, 24 SEPT – Kerajaan Pusat dibidas kerana tidak menunaikan janji untuk menukar status pekerja kontrak kepada jawatan tetap seperti yang dijanjikan manifesto Barisan Nasional Pilihan Raya Umum Ke-13.

Aktivis kaum pekerja dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani, menggesa Kerajaan Pusat untuk tidak meneruskan apa yang beliau sifatkan sebagai perhambaan moden itu dan memberi status tetap kepada kakitangan kontrak yang telah bekerja selama tiga tahun dan keatas.

Menurut beliau, kakitangan kontrak dianggarkan hampir 49,000 pekerja, manakala jumlah kekosongan jawatan dalam perkhidmatan menjangkau 100,000, katanya memetik kenyataan media Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Osman Omar.

“Saya dimaklumkan Timbalan Pegawai Daerah juga ada yang kontrak. Saya diberitahu ada pekerja-pekerja di Parlimen ini juga kontrak walaupun telah bekerja selama lima tahun,”

“Masalah ini satu penganiayaan. Menteri dakwa mereka (pekerja kontrak) mendapat faedah (seperti pekerja tetap). Setahu saya merika tidak mendapat faedah cuti bersalin, bonus dan sebagainya. Sampai bila mereka ingin menanggung beban hidup?” soalnya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam menyatakan kerajaan tidak berhasrat untuk menukar status pekerja kontrak kepada pekerja tetap.

“Ini menunjukkan manifesto BN hanyalah propaganda untuk meraih undi perkhidmatan awam,” tegas Abdullah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto turut membangkitkan nasib pekerja kontrak yang telah dilanjutkan tempoh perkhidmatan sehingga Disember 2014.

“Perkara ini serius sedangkan terdapat 100,000 kekosongan jawatan. Apa masalahnya menukar status mereka?” katanya.

Categories
SELANGOR

Turun Faedah Pinjaman Perumahan : Tuntutan CUEPACS Munasabah

SHAH ALAM 4 OGOS : Cadangan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus untuk semua penjawat awam yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) adalah satu tuntutan yang munasabah.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan itu amat munasabah kerana ia berikutan kenaikan kos hidup yang tinggi selain lonjakan harga rumah masa kini.

Katanya, ia perkara yang perlu diberi penekanan oleh Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam selaras dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjanjikan  transformasi di negara ini.

Beliau berkata dengan gaji yang diterima penjawat awam pada masa kini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah disamping tidak dapat menjana ekonomi negara.

“Mereka (Umno-BN) selalu lupa apabila turunkan semua ini, mereka ingat pendapatan kerajaan akan berkurangan tetapi sebaliknya mereka lupa bahawa apabila rakyat mendapat kewangan kukuh mereka mampu berbelanja dan menabung.

“Kesan daripada perbelanjaan isi rumah yang kukuh itu, dapat menambahkan pertumbuhan ekonomi negara dan permintaan perkhidmatan dan domestik. Itu bukan satu perkara yang rugi khususnya masa kini. Begitu juga dengan penurunan cukai mereka,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Dr Dzulkefly secara sinis, sekiranya Umno-BN benar-benar mahu meringankan beban rakyat, turunkan ia kepada harga pengurusan seperti yang dicadangkan dan lakukannya secara konsisten.

“Kita tengok sama ada Kerajaan Pusat betul-betul konsisten atau tidak dalam membantu rakyat bukan hanya pada slogan dan pemberian secara ‘One Off’ sahaja tapi dalam jangka masa panjang.

“Bagi Pakatan Rakyat, kami akan memberi respon yang positif kerana kami tidak mahu melihat perkara ini sebagai satu penambahbaikan secara ‘runcit-runcit’, katanya.

Semalam, Cuepacs mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

Cadangan tersebut antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.