Categories
AGENSI SELANGOR

PREC anjur pelbagai aktiviti sempena Karnival Merdeka Muhibbah

SHAH ALAM, 29 OGOS: Sempena sambutan kemerdekaan ke-62, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mengajak orang ramai untuk memeriahkan Karnival Merdeka Muhibbah di SACC Mall dan SACC Walk, bermula semalam hingga 31 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, pelbagai aktiviti menarik disajikan khas kepada pengunjung sepanjang empat hari karnival itu berlangsung.

“Kami membawakan aktiviti untuk kanak-kanak seperti ‘Beyblade Medeka Battle’ yang menawarkan hadiah RM1,300 dengan pendaftaran RM10 sahaja.

“Penyertaan ini terbuka untuk kategori kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah dari 31 Ogos hingga 1 September, di lot Gedung Harian Kompleks PKNS Shah Alam, mulai 10 pagi hingga 2 petang.

“Selain itu, terdapat juga Upin Ipin Store, Pertandingan Mewarna Upin Ipin Kemerdekaan 2019, permainan kanak-kanak dan jualan produk industri kecil sederhana,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Katanya, mereka yang berada di sekitar Shah Alam juga diseru untuk bersama menyambut kemerdekaan di SACC Walk dan SACC Mall bagi menyemai semangat cinta serta bangga terhadap negara.

“Pengunjung dewasa dapat berhibur dengan persembahan artis tanah air dan buskers daripada 6ixth Sense, Dinamik, Jinbara, Assalambuskers, Klangit, Zamarul Hamzah dan Zara Ali.

“Lebih menarik, pelari duo veteran yang menyertai larian Merdeka Muhibbah dijangka tiba pada malam merdeka selepas melakukan larian sejauh 500kilometer sejak 19 Ogos lalu dari Medan Bandar, Alor Setar dan bakal menempa nama dalam Malaysia Book of Record (MBOR),” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sumpah Naim Daniel gegar SACC Mall petang ini

SHAH ALAM, 3 OGOS: Program Suria Jam X Cool Blog menjanjikan keseronokan buat peminat apabila bakal menampilkan penyanyi Naim Daniel, di Dataran Barat SACC Mall, di sini, jam 5 petang ini.

Selain pelantun lagu Sumpah, acara di bawah kelolaan Suria Jam melalui kerjasama SACC Mall dan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) itu turut digamatkan dengan persembahan selebriti tempatan, Harris Baba serta buskers Sang Hitam.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, pelbagai aktiviti menarik disajikan kepada orang ramai khususnya warga Shah Alam di samping berpeluang memenangi hadiah misteri.

“Orang ramai boleh berbelanja di sepanjang SACC Walk Flea Market yang menjual barangan terpakai, jualan makanan kendera saji (foodtruck) dan terdapat aktiviti untuk kanak-kanak beriadah seperti ‘sand art’ serta ‘giant bubble’.

“Kita menerima sambutan amat menggalakkan sebelum ini di SACC Walk Flea Market dan menjangkakan kali ini dengan adanya artis terkemuka tanah air akan menarik lebih ramai lagi pengunjung.

“Pelancong yang datang ke Selangor untuk singgah ke sini juga sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi di negeri ini khasnya,” katanya dalam kenyataan.

Suria Jam X Cool Blog akan dikendalikan penyampai radio, Issey dan Suraya Borhan.

SACC Walk Flea Market dibuka setiap hari Jumaat hingga Ahad dari 6 petang hingga 12 tengah malam dengan jualan barangan ‘pre-loved’ seperti jam tangan, alat mainan, cakera padat dan pakaian.

Categories
SELANGOR

Peserta berentap rebut RM3,000 di ‘PREC Beyblade Battle’

SHAH ALAM, 20 JULAI: Kira-kira 400 peserta dijangka berentap dalam ‘PREC Beyblade Battle’ yang bakal berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall, esok.

Acara anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dengan tajaan SACC Digital Planet melalui kerjasama Top Blader itu mempertaruhkan hadiah wang tunai dan set beyblade berjumlah hampir RM3,000.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, pertandingan itu diwujudkan bagi menggalakkan ibu bapa dan kanak-kanak melakukan aktiviti riadah bersama keluarga di pusat beli-belah berkenaan.

Katanya, ia juga bertujuan mengasah bakat kanak-kanak untuk bersaing secara sihat selain mengalihkan perhatian mereka daripada menonton televisyen dan bermain telefon pintar.

“Sebelum ini kami pernah mengadakan pertandingan beyblade sewaktu pelancaran SACC Walk Flea Market dan sambutan diterima amat memberangsangkan.

“Kami ingin meneruskan lagi acara beyblade ini bagi memberi peluang kepada kanak-kanak lain untuk mempamerkan aksi mereka di gelanggang,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengurus SACC Digital Planet, Haris Morad berkata, pertandingan itu dilihat sebagai salah satu peluang untuk mempromosi kedainya.

“Kita menyediakan gelanggang terbuka untuk peserta berlatih atau ingin melakukan pra perlawanan di hadapan kedai kami yang terletak di aras LG, SACC Mall,” katanya.

Sebanyak dua kategori dipertandingkan dalam permainan gasing moden berkenaaan iaitu Burst (4 hingga 12 tahun) dan (13 hingga 21 tahun) serta kategori Metal Fury (terbuka untuk semua peringkat umur).

Yuran penyertaan hanya RM5 dan ‘battle’ akan dimulakan pada‪ 11‬ pagi.

Sebarang pertanyaan berhubung program boleh terus menghubungi Rafiq (‪011-5646 2104‬ dan Syafiq (‪017-334 0554‬).

Categories
SELANGOR

SACC Mall terima penarafan Zon Perdagangan Terpilih

SHAH ALAM, 17 JULAI: Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall di bawah kendalian PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menerima penarafan Zon Perdagangan Terpilih (ZPT) peringkat Zon Tengah daripada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, penarafan itu ekoran pusat beli-belah berkenaan mencapai tahap terbaik dalam pematuhan undang-undang yang dikuat kuasakan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, selama tiga tahun berturut-turut.

“Kami sentiasa memastikan peniaga mematuhi undang-undang ditetapkan kerajaan supaya perniagaan di dalam pusat beli-belah milik PREC dapat dijalankan dengan telus dan hak pengguna terpelihara dengan baik daripada disalahguna,” katanya kepada SelangorKini.

Penarafan itu disampaikan Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam majlis yang berlangsung di Sunway Velocity Mall.

Pada masa sama, Fakru Radzi berkata, SACC Mall adalah salah satu daya untuk menggamit perhatian pelancong ke Shah Alam selain Kompleks PKNS Shah Alam yang sentiasa dibanjiri pengunjung terutama ketika bulan puasa.

Katanya, ia juga salah satu faktor penting buat PREC untuk melaksanakan kerja penambahbaikan terhadap aset miliknya supaya mesra pengguna dan terus kekal relevan.

“Pengisian program berimpak tinggi menarik lebih ramai pengunjung ke pusat beli-belah kami seperti ‘PREC Beyblade Battle’ yang akan berlangsung ‪pada 21 Julai‬ ini.

“Selain itu, turut diadakan Pertandingan Teater Peringkat Selangor dengan pembabitan pelajar sekolah rendah dan menengah ‪pada 24 Julai‬ ini,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution menerusi catatan di Facebook berkata, ZPT adalah sistem penarafan yang diwujudkan KPDNHEP bagi memberi pengiktirafan kepada kompleks perniagaan yang menjalankan perniagaan secara beretika selaras akta dan peraturan dikuatkuasakan kementerian.

Antara penerima penarafan peringkat zon tengah di Selangor adalah Aeon Mall Shah Alam dan Gateaway@KLIA 2, manakala penerima di Wilayah Persekutuan adalah Sunway Velocity Mall, Pavilion dan Suria KLCC serta penerima di Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah Alamanda Shopping Centre.

Categories
NASIONAL

PREC cadang buka ruang niaga buat golongan asnaf dan anak yatim

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 MEI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) bercadang mahu membuka ruang perniagaan kepada anak yatim dan golongan asnaf pusat tahfiz atau rumah kebajikan di mana-mana kompleks perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, ia bagi memberi peluang kepada golongan itu untuk mencari sumber pendapatan sendiri selain memperluaskan lagi kemahiran.

Katanya, kebanyakan golongan terbabit mempunyai kemahiran dalam menghasilkan produk seperti kuih-muih dan jahitan yang mampu membawa mereka pergi lebih jauh.

“Kita akan memperhalusi cadangan untuk membantu golongan ini meluaskan lagi kemahiran sedia ada supaya dapat dijadikan sebagai sumber pendapatan.

“Di rumah kebajikan mereka belajar melatih diri untuk berdikari dan mengasah kemahiran manakala apabila mahu berniaga kita akan menyediakan ruang perniagaan buat golongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas Program Kembara Ramadan PREC 2019 di Rumah Amal Limpahan Kasih, di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, PREC memberi sumbangan Aidilfitri kepada 354 anak yatim dan asnaf miskin di enam rumah kebajikan terpilih sekitar Selangor pada program Kembara Ramadan PREC 2019.

Kembara Ramadan PREC 2019 membabitkan hampir semua kakitangan PREC dan anak syarikatnya Park Here Sdn Bhd (PHSB) yang turut turun padang bagi memberikan sumbangan itu.

Antara rumah yang dikunjungi adalah Rumah Amal Limpahan Kasih, Maahad Tahfiz Al Ulum Wal Ghazaly, Pusat Jagaan Nur Sakinah, Rumah Kebajikan Al-Firdaus, Pusat Jagaan Budi Bistari dan Pertubuhan Kebajikan Baitul Islah.

Sementara itu, Pengetua Rumah Amal Limpahan Kasih, Zahid Azhar berkata, beliau menyambut baik di atas jasa pihak PREC dalam menceriakan golongan memerlukan.

“Terima kasih diucapkan kepada PREC kerana komited membantu golongan ini dan ia sedikit sebanyak mampu menceriakan mood Aidilfitri mereka,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Wajah baharu Musolla Al-Kauthar beri keselesaan pengunjung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 MEI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) memberi nafas baharu terhadap surau di salah satu asetnya, Kompleks PKNS Shah Alam dengan nama Musolla Al-Kauthar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakru Radzi berkata, penambahbaikan itu bertujuan memberi keselesaan kepada pengunjung, sekali gus dapat meluangkan masa lebih lama di kompleks beli-belah berkenaan.

Katanya, selain memastikan Kompleks PKNS Shah Alam kekal relevan dan sentiasa dikunjungi orang ramai, inisiatif itu turut mendorong peniaga untuk meraih hasil jualan yang lumayan.

“Ini adalah renovasi kali kedua dibuat dalam tempoh masa lapan tahun dan musolla ini dinaik taraf daripada keadaan sebelum ini bersama luaran bangunan Kompleks PKNS, tandas dan kemudahan penghawa dingin.

“Penaiktarafan ini juga meliputi medan selera di tingkat empat dengan nama Makan@Bumbung yang bakal beroperasi selepas Raya Aidilfitri dari 10 pagi hingga 4 petang.

“Lebih menarik, kami akan membawakan aktiviti rekreasi untuk kanak-kanak dan dewasa seperti futsal, ‘playground’ dan ‘rock climbing’ di tingkat empat,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Perasmian Musolla Al-Kauthar disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek dan Pengerusi merangkap Ahli Lembaga Pengarah PREC, Siti Zubaidah Abd Jabar.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, musolla berkenaan adalah berkonsepkan industrial yang lebih praktikal, selesa, cantik dan kemas dengan ruang wuduk mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) serta mesra warga emas.

“Kemudahan menyiapkan bayi di tandas yang berdekatan dan ruang menunggu lebih banyak menjadi salah satu kelebihan buat pengunjung untuk datang ke sini,” katanya.

Terdahulu, sebanyak RM4.2 juta diperuntukkan PREC bagi menambahbaik kemudahan di salah sebuah kompleks beli-belah yang menjadi mercu tanda di Shah Alam.

Hampir empat dekad kewujudannya, kompleks berkenaan sering menjadi tumpuan penduduk terutama menjelang Ramadan untuk mendapatkan juadah berbuka puasa dan keperluan Hari Raya Aidilfitri sempena Festival Ramadan Selangor 2019 (FESTIRA’19).

Categories
SELANGOR

PKNS edar 12,000 bubur lambuk ‘legend’

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 10 MEI: Sebanyak 12,000 pek bubur lambuk diagihkan secara percuma kepada orang ramai sempena sambutan Ramadan, di Kompleks PKNS di sini, semalam.

Program Agihan Bubur Lambuk Kasih Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang dilaksanakan menerusi PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikat terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, sebanyak RM66,600 diperuntukkan PREC bagi menyediakan bubur lambuk yang didatangkan khas dari Kampung Baru, manakala Koperasi PKNS Berhad bertanggungjawab membungkus semula serta menyelaras agihan bubur.

“Pemberian bubur lambuk secara percuma ini dilakukan di Kompleks PKNS Shah Alam pada 9, 13, 27 dan 30 Mei, manakala 9, 16 dan 23 Mei pula di Kompleks PKNS Bangi serta SACC Mall.

“Sebanyak 2,000 pek diedarkan pada setiap agihan bermula 4.30 petang dan kebiasaannya habis dalam tempoh lebih kurang setengah jam.

“Orang ramai memang sangat menantikan bubur lambuk ini kerana ia seperti menjadi tradisi PKNS sejak hampir 20 tahun lalu,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Mohd Azizi berkata, penduduk di sekitar Shah Alam tidak perlu ke Kampung Baru untuk mendapatkan bubur lambuk ‘legend’ itu kerana ia boleh didapati di lokasi edaran yang ditetapkan PKNS sepanjang Ramadan.

“Edaran bubur lambuk ini juga sebagai tanda penghargaan PKNS kepada masyarakat awam, terutama pengujung Kompleks PKNS dan SACC Mall yang menjadikan pusat membeli-belah ini sebagai lokasi pilihan utama mendapatkan keperluan hari raya,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani, Ahli Pengurusan PKNS, Pengurusan PREC, wakil persatuan peniaga dan wakil Persatuan Teksi Shah Alam.

Categories
SELANGOR

PREC rancang taja bil utiliti rumah kebajikan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 OGOS: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) merancang untuk meneruskan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya menerusi penajaan secara subsidi bil utiliti, di rumah kebajikan yang terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sr Fakru Radzi Ab Ghani berkata, ia membabitkan empat rumah kebajikan antaranya di Beranang, Bukit Raja, Kampung Melayu Subang dan Puncak Alam.

Beliau berkata, pihaknya pernah menyantuni rumah kebajikan terbabit sebelum ini menerusi program Kembara Ramadan PRECsters 2018.

“Kita sudah meminta bil utiliti rumah kebajikan ini untuk diteliti.

“PREC menjangkakan ia akan bermula tidak lama lagi dan menyasarkan ia akan dilakukan dalam tempoh beberapa tahun,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Fakru Radzi berkata, PREC juga merancang untuk menyediakan khidmat kelas tambahan percuma kepada pelajar miskin, di Pusat Tuisyen Sayang, di Seksyen 16.

PREC adalah syarikat pelaburan hartanah dan anak syarikat Kerajaan Negeri yang ditubuhkan sejak 2012.

PREC kini memiliki enam bangunan di kawasan Lembah Klang termasuk SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi.

Dalam tempoh enam tahun, PREC mewujudkan anak syarikatnya PHSB iaitu syarikat pengurusan tempat letak kereta.

PREC dan PHSB adalah syarikat yang aktif melaksanakan aktiviti CSR menerusi pelbagai jenis bantuan antaranya menaik taraf beberapa sekolah khususnya Sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), di Selangor.

Categories
EKONOMI

PREC kerjasama bersama Common Ground buka ruang pejabat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 29 APR: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mengumumkan kerjasama bersama Common Ground membuka ruang pejabat perkongsian baharu dengan kos bernilai RM3 juta di Menara Worlwide, Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, beliau percaya kerjasama itu selari dengan keprihatinan syarikat yang semakin mendalam terhadap pemula niaga dan perniagaan berkenaan teknologi.

“Visi kita untuk merealisasikan manfaat sebenar bagi perkongsian ruang pejabat iaitu memupuk persahabatan yang membina jaringan perhubungan dan perkongsian idea dalam kalangan golongan sependapat.

“Sebagai rakan kongsi bersama Common Ground Menara Worlwide Bukit Bintang dan pemilik bangunan melalui anak syarikat milik penuh, Central Holdings Berhad, PREC menjangka untuk memacu masyarakat yang lebih inovatif dan keusahawanan berjaya di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sidang Media Kolaborasi antara PREC dan Common Ground di sini.

Fakru Radzi berkata, Bukit Bintang merupakan lokasi keempat Common Ground sejak pelancarannya pada tahun lalu.

Katanya, ia diasaskan bersama oleh Juhn Teo dan Erman Akinci, perniagaan ‘game changer’ itu sudah memperoleh lebih 1,200 ahli bermula daripada empat lokasi terawal dengan harapan untuk berkembang di pasaran tempatan dan luar negara iaitu Thailand dan Filipina pada tahun ini.

“Sebagai perniagaan yang mensasarkan mengubah definisi ruang kerja di seluruh Asia Tenggara, Common Ground berkolaborasi dengan pelbagai jenama gaya hidup seperti Fitness First, Happy Fresh dan Pressto untuk memenuhi keperluan tenaga kerja fleksibel dan mudah alih pada hari ini,” katanya.

Di samping itu, katanya, tawaran menarik pulangan pelaburan melalui usaha sama itu, PREC percaya bahawa ruang pejabat Common Ground di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur bakal melonjakkan permintaan dan menggalakkan penerimaan dalam kalangan syarikat di bandar.

Sementara itu, Pengasas Common Ground, Erman Akinci berkata, dalam usaha mengenalpasti peluang baru untuk berkembang dan mempelbagaikan perniagaan, usaha sama seperti itu membantu membentuk kedudukan tempatan sementara masih mengembangkan perniagaan di Malaysia serta beberapa negara sasaran lain.

“Kita bukan hanya penyedia ruang pejabat perkongsian bahkan memberi nilai tambah kepada ahli Common Ground dan komuniti di dalam Menara Wordlwide,” katanya.

Menariknya, lokasinya Menara Worldwide turut terletak di kawasan strategik berdekatan MRT, akses pejalan kaki, pusat membeli-belah, hotel dan bank selain menonjolkan reka bentuk artistik untuk memberi inspirasi kepada kreativiti dan inovasi bersama pemandangan 360 darjah menghadap pusat bandar.

PREC merupakan cabang pelaburan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang kini memiliki enam aset di Lembah Klang dan sedang merancang untuk memperoleh lebih peluang kerjasama meneroka potensi pelaburan dalam industri seperti runcit dan teknologi.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Serlah potensi bakat muda sukan tenis

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OGOS: Penganjuran sulung ‘PKNS Real Estate (PREC) Selangor 1st ATF 14&U Series Tournament’ berjaya menarik kehadiran pemain tenis terkemuka Asia dan Eropah daripada 15 negara sudah mengesahkan penyertaan.

Dianjurkan Persatuan Tenis Negeri Selangor, PREC tampil selaku penaja utama disamping Majlis l Petaling Jaya (MBPJ) dan pengeluar barangan sukan terkemuka Yonex.

Kejohanan yang bakal bermula 4 hingga 10 September di Kompleks Sukan MBPJ, Kelana Jaya menampilkan 96 pemain antaranya daripada Malaysia, Hong Kong, Arab Saudi, Yaman, India Korea, Singapura, Britain dan Norway.

Antara kategori yang dipertandingkan adalah Perseorangan Lelaki dan Wanita serta Beregu Lelaki dan Wanita yang berumur antara 10 hingga 14 tahun.

Pada sidang media di Black Box, SACC Mall, Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, kehadiran pemain daripada pelbagai negara menarik perhatian PREC untuk menjadi utama kejohanan ini.

Menurutnya, kejohanan ini penting bagi mencungkil muda sebagai pelapis negara di masa hadapan.

“Kita juga mahu menilai beberapa infrastruktur yang boleh kita naik taraf untuk kegunaan atlet khususnya pemain tenis di premis milik PREC,” katanya.

Hadir sama Naib Presiden Persatuan Tennis Selangor, YM Tengku Dato’ Mohamed Tengku Harun, Pengarah PREC Selangor 1st ATF 14&U Series Tournament, Mohd Rahizam Abdul Rahim.

Sidang media ini turut dihadiri pemain tenis kebangsaan, Elsa Wan, 13, dan Elysia Wan, 15.

Dalam kejohanan ini juga Yonex bakal memperkenalkan bola tenis pertama keluaran mereka yang akan digunakan sepanjang kejohanan ini.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

7,000 sertai larian PREC Neon Challenge

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 25 MEI: Lebih 7,000 peserta menyertai PREC Neon Challenge anjuran The Bulbs and Battery Asia Sdn Bhd dengan tajaan PKNS Real Estate (PREC).

Pengurus Program, Izrul Hanafiah berkata, program itu adalah larian neon pertama diadakan di tengah bandar raya Shah Alam, pada 13 Mei lalu.

“Acara ini berkonsepkan larian lampu neon berkelipan dan persembahan muzik serta diselitkan senaman berbeza berbanding acara larian yang ada di malaysia.

“Program ini berjaya mengumpulkan seluruh rakyat Malaysia tidak kira umur, kaum mahupun bangsa. Malah kita juga menerima penyertaan luar negara antaranya dari China, Afrika, Taiwan, Singapura dan Filipina,” katanya kepada SelangorKini.

Program dirasmikan Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari itu berlangsung di hadapan pintu masuk pusat membeli-belah SACC.

Izrul berkata, melihat kepada sambutan menggalakkan, pihaknya akan meneruskan acara itu, pada tahun hadapan.

Categories
SELANGOR

Menara PKNS PJ terima pengiktirafan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 APRIL: Menara PKNS PJ menerima pengiktirafan ‘Special Mention’ bagi Kategori Bukan Strata sempena Majlis Anugerah ‘Malaysia’s Best Managed Property Awards 2017, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Fakru Radzi Ab Ghani berkata, menara menjangkau usia 20 tahun itu adalah antara bangunan dikendalikan PREC.

Katanya, bangunan lain termasuk Menara Worldwide Jalan Bukit Bintang, Wisma Yakin Kuala Lumpur, SACC Mall Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, dan Kompleks PKNS Shah Alam.

“Semua bangunan milik PREC dikendalikan pasukan profesional yang juga kakitangan PREC.

“Ini membuktikan kualiti pengurusan bangunan ini adalah setanding dengan bangunan gah yang ada di pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Fakru RadziMenara PKNS PJ mencapai tahap penghunian 97 peratus seperti Malaysian Qualification Agency (MQA), TNT Express, TNBES Careline, Celcom dan Selangor Business School.

Anugerah itu julung kali dianjurkan TheEdgeProperty.com bagi tiga kategori utama iaitu kediaman, perdagangan dan pembangunan bercampur berstrata serta bukan strata.

Antara kriteria penghakiman ialah kualiti penyelenggaraan, pentadbiran jawatankuasa kerja, kutipan sewaan, kemampanan kewangan, keselamatan, masyarakat dan komunikasi serta nilai pembangunan atau hasil.

Untuk makumat lanjut berkenaan Menara PKNS PJ bagi sewaan atau aktiviti, hubungi Aiman atau Syafik di talian 03-7954 1732 atau layari laman sesawang https://pknsre.com/menara-pkns-pj.

Segala maklumat berkenaan PREC juga boleh didapati di laman sesawang www.pknsre.com.

-AA-