Categories
SELANGOR

PRK Seri Setia: PAKATAN menang, pembangkang gigit jari lagi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SERI SETIA, 8 SEPT: Walaupun peratusan keluar mengundi rendah, namun pembangkang di Selangor sekali lagi menggigit jari apabila calon mereka daripada PAS, Dr Halimah Ali tewas di tangan calon muda Pakatan Harapan (PAKATAN), Halimey Abu Bakar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia.

Halimey menewaskan Halimah dengan majoriti 4,027 undi apabila Halimey meraih 13,725 undi berbanding Halimah yang hanya memperolehi 9,698 undi.

Keputusan itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Seri Setia, Dato Mohd Azizi Mohd Zain kira-kira jam 9.00 malam tadi.

DUN yang mempunyai 52,650 pengundi berdaftar itu menyaksikan hanya seramai 23,423 orang atau 44 peratus sahaja pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK kali ini berbanding PRU14 lalu sebanyak 84.18 peratus.

Sementara itu PRK kali ini turut menyaksikan sebanyak 164 undi rosak.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Calon KEADILAN, Allahyarham Profesor Shaharuddin Badaruddin menang dengan majoriti 19,372 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yusoff HM Haniff (9,878), calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas Dr S Vignes (217).

Shaharuddin memperolehi 29,250 undi berbanding Yusoff (9,878), Mohd Ghazali (4,563) dan Vignes (217).

 

Categories
SELANGOR

2,801 pengundi awal PRK Balakong, Seri Setia mengundi Selasa ini

PETALING JAYA, 2 SEPT: Seramai 2,801 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia akan mengundi pada Selasa ini.

Anggota Suruhanjaya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Md Yusop Mansor berkata bagi PRK DUN Balakong, seramai 31 pengundi awal terdiri daripada anggota polis akan mengundi di Ruang Legar Kuarters Balai Polis Seri Kembangan.

Pusat pengundian awal itu akan dibuka mulai 8 pagi hingga 12 tengah hari, katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Bagi proses pengundian awal PRK DUN Seri Setia pula, Md Yusop berkata seramai 2,770 pengundi awal terlibat, merangkumi 2,597 anggota tentera serta pasangan mereka dan 173 anggota polis.

Menurut beliau, anggota tentera serta pasangan akan mengundi di Dewan Serba guna Ababil, Pangkalan Udara Subang manakala anggota polis pula akan menunaikan tanggungjawab mereka di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia, Shah Alam.

“Pusat pengundian awal itu akan dibuka mulai 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Md Yusop berkata proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan.

Di samping itu katanya, pemerhati-pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik oleh SPR juga akan turut menyaksikan proses pengundian awal tersebut.

“Untuk makluman, kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi (saluran) pada 4 Sept ini, sebaliknya akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.

“Pengiraan kertas-kertas undi awal tersebut hanya akan dijalankan pada 8 Sept ini secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing,” katanya.

PRK DUN Balakong dan Seri Setia masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki berdepan calon MCA Tan Chee Teong di Balakong sementara di Seri Setia calon PH Halimey Abu Bakar bertembung dengan calon PAS Dr Halimah Ali.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas manakala PRK DUN Seri Setia susulan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus.

Kedua-dua kawasan tersebut sebelum ini dimenangi oleh PH.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Halimey jangka 80 peratus keluar mengundi

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 1 SEPT: Calon Pakatan Harapan (Pakatan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menjangkakan peratusan 60 peratus pengundi akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 8 September depan.

Halimey Abu Bakar berkata, selain berkempen seperti biasa, beliau dan jenteranya sentiasa mengingatkan supaya pengundi turun pada tarikh itu.

“Selepas PRK DUN Sungai Kandis 4 Ogos lalu, PH memperbaiki kelemahan bagi memastikan lebih ramai menunaikan tanggungjawab mereka.

“Saya dan jentera turun berkempen dan sentiasa mengingatkan pengundi mengenai tarikh 8 September ini,”katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini.

Beliau berkata, kira-kira 80 peratus kawasan DUN yang ditandingi itu kini sudah dilawatinya.

Halimey menganggap sambutan itu menggalakkan dan kebanyakan daripada mereka menyatakan sokongan bagi mengekalkan kemenangan Pakatan.

“Kita juga memberi komitmen dalam memastikan semua program khususnya Inisiatif Peduli Rakyat berjalan lancar.

“Saya juga akan pastikan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seri Setia dapat digembleng secara aktif supaya lebih ramai dapat menikmati faedah yang ditawarkan,” katanya.

PRK DUN Seri Setia dilaksanakan 8 September ini susulan penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia 2 Ogos lalu akibat kanser usus.

 

Categories
SELANGOR

Halimey: Langkah Kerajaan Negeri perkasakan anak muda tepat

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 26 OGOS: Pendirian Kerajaan Negeri memperkasakan generasi muda negeri itu dengan mewujudkan pelbagai insentif disifatkan sebagai langkah tepat.

Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, antara insentif terbabit adalah Biasiswa SelangorKu, Skim Peduli Siswa, Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Insentif Perkahwinan Belia dan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS).

“Pemerkasaan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) juga salah satu usaha bijak Kerajaan PAKATAN sebagai menghargai sumbangan golongan itu khususnya dalam pembangunan komuniti di Selangor.

“Perhatian serius terhadap kelompok belia terutama dalam menerapkan nilai-nilai kepimpinan yang baik adalah perlu untuk memastikan komuniti, negara dan bangsa terus cemerlang,” katanya pada Sidang Media Harian PAKATAN di Bilik Gerakan Utama DUN Seri Setia di sini, hari ini.

Beliau berkata, program yang dijalankan seperti kem kepimpinan misalnya mampu melahirkan kelompok belia berwibawa dan boleh digilap sebagai bakal pemimpin masa hadapan negara.

Kata Halimey, beliau percaya usaha memperkasakan PeBT mampu menjadikan golongan belia sebagai ejen perubahan atau ikon di kalangan belia lain.

“Malah mereka juga boleh diharapkan berfungsi sebagai mata dan telinga komuniti setempat kepada pihak berkuasa,” katanya lagi.

Halimey turut memuji langkah PAKATAN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu yang meletakkan lebih ramai calon muda bertanding di peringkat DUN dan Parlimen sekaligus memenangi kerusi berbanding PRU sebelumnya.

Categories
SELANGOR

PRK Seri Setia: Penambahan Pusat Kaunseling Komuniti langkah pengurangan masalah sosial

OLEH AFIX REDZUAN

DAMANSARA, 25 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar mencadangkan penubuhan Pusat Kaunseling Komuniti di seluruh kawasan DUN Seri Setia bagi mengurangkan potensi masalah sosial khususnya dalam kalangan masyarakat penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Katanya, latar belakang kehidupan dari kelompok masyarakat berpendapatan rendah antara faktor menyebabkan mereka mudah terdedah ke kancah masalah sosial.

“Walaupun setakat ini ada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) menawarkan khidmatnya di PPR Lembah Subang, saya dapati ia masih belum mencukupi memenuhi keperluan masyarakat setempat.

“Bagi tujuan menyebarluaskan ilmu dan pengetahuan berkaitan kaunseling, saya juga sedang merangka Program Latihan Kaunseling kepada pemimpin masyarakat seperti ahli jawatankuasa (AJK) masjid, ketua komuniti bukan Islam dan AJK persatuan penduduk.

“Usaha ini saya anggap dapat membantu di peringkat awal bagi mengatasi masalah dihadapi masyarakat terutama meredakan tekanan emosi yang mereka hadapi,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Daerah Mengundi Ara Damansara.

Katanya, masyarakat tidak boleh memandang ringan masalah membabitkan emosi kerana ia boleh mencetuskan pelbagai masalah sampingan lain jika tidak ditangani dengan segera.

“Program Pembangunan Komuniti bagi melahirkan masyarakat lebih sejahtera juga melibatkan peranan Pusat Khidmat Masyarakat. Melaluinya, Pusat Khidmat Masyarakat ini akan menyedia dan menawarkan khidmat kaunselor bertauliah, sekurang-kurangnya sekali seminggu.

“Kita juga berusaha bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) dengan agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Pembangunan Penduduk Keluarga Negara (LPPKN), juga Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) serta beberapa Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi merangka dan menjalankan program-program ini,” katanya.

Selain itu, Halimey turut bercadang menyediakan Talian Khas bagi mengendalikan masalah yang dihadapi penduduk, terutama berkaitan kecemasan dan perkara memerlukan tindakan segera.

Categories
SELANGOR

Halimey fokus atasi cabaran dihadapi golongan B40

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 20 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Seri Setia, Halimey Abu Bakar menetapkan fokus utama untuk memberi perhatian khusus menyelami dan menangani cabaran dihadapi golongan B40.

Beliau berkata, kelompok yang rata-ratanya berpendapatan bawah RM3,000 sebulan itu sebahagian besarnya tinggal di beberapa kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) terutama di pangsapuri kos rendah.

“Isu utama yang sering dihadapi mereka adalah berkaitan kemudahan lif dan pam air yang sering terganggu berpunca daripada vandalisme.

“Lif yang gagal berfungsi sering menyebabkan warga emas, ibu mengandung dan pesakit kronik berdepan kesulitan,” katanya pada Sidang Media di Bilik Gerakan Utama, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, langkah proaktif bakal diambil bagi memastikan masalah yang sekian lama membelenggu penduduk terbabit dapat diselesaikan secara komrehensif.

“Salah satu tindakan segera yang akan saya cadangkan kepada pihak berkuasa adalah pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV).

“Sistem CCTV ini mempunyai skin khas yang mampu merakam pelaku vandalisme dan amat berkesan dalam usaha membendung perbuatan salah laku, terutama perbuatan merosakkan kemudahan awam seperti lif dan pam air,” katanya.

Pada masa sama, Halimey optimis, usaha membantu golongan terbabit khususnya di DUN Sri Setia bakal menjadi kenyataan dan bukan sekadar retorik kempen pilihan raya semata-mata.