Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: SPR keluar 177 kertas undi pos

SANDAKAN, 28 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan 177 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pengeluaran kertas undi pos bermula pada jam 11 pagi dan dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Dewan Persidangan Tingkat 1, Wisma Perbandaran Sandakan meliputi kategori undi pos yang membabitkan lima Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Katanya, mereka ini terdiri daripada penjawat awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangannya serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangannya di New Zealand, Nepal dan Korea Selatan.

“Seramai 172 orang pengundi yang terdiri daripada petugas pilihan raya (Borang 1A)”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya tiada permohonan diterima bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan).

Azhar berkata proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran wakil-wakil calon daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Bebas.

“SPR juga telah menjemput pemerhati-pemerhati pilihan raya yang dilantik untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos itu. Pemerhati daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Institut Darul Ehsan (IDE) turut hadir semasa proses tersebut,” katanya.

Proses pengeluaran kertas undi pos bagi PRK Parlimen Sandakan itu juga telah disiarkan secara langsung di Facebook SPR bagi menunjukkan proses berkenaan dilakukan secara telus dan adil, katanya.

Selain itu, beliau berkata ia juga bertujuan untuk meningkatkan lagi kefahaman masyarakat awam mengenai proses pilihan raya.

Azhar berkata, sampul keutamaan undi pos PTH luar negara telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia pada hari yang sama untuk dihantar kepada pengundi terbabit.

Katanya, sampul keutamaan undi pos bagi petugas SPR akan diserahkan oleh Pegawai Pengurus mulai esok.

Beliau berkata SPR mengingatkan semua pengundi pos, supaya mengisi dengan lengkap dan betul serta segera mengembalikannya semula kepada Pegawai Pengurus PRK Parlimen Sandakan sebelum 5 petang pada hari mengundi, 11 Mei ini.

Pengundi juga diingatkan agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

Sekiranya perbuatan itu dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sewajarnya, kata Azhar.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pertembungan lima penjuru di PRK Sandakan

SANDAKAN, 27 APR: DAP berhadapan empat saingan dari calon Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas untuk mempertahankan Parlimen Sandakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen itu.

DAP mempertaruhkan Vivian Wong Shir Yee, 30, yang dicabar oleh Datuk Linda Tsen Thau Lin (PBS) serta tiga calon Bebas iaitu Chia Siew Yung, Sulaiman Samat dan Hamzah Abdullah.

Pegawai Pengurus PRK Sandakan, Mohd Hamsan Awang Supain mengumumkan nama calon yang bertanding untuk PRK Sandakan pada jam 10.30 pagi.

Sebelum itu, pusat penamaan calon di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua Sandakan dibuka pada pukul 9 pagi dan proses mengemukakan borang pencalonan berjalan lancar selama sejam.

Sulaiman merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.05 pagi, diikuti Tsen (9.06 pagi), manakala Hamzah (9.08 pagi), Chia (9.09 pagi) dan Wong (9.14 pagi).

PRK Parlimen Sandakan diadakan selepas penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, dari DAP, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 28 Mac lepas.

Vivian Wong merupakan anak mendiang, berkelulusan Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dari Universiti Murdoch, Australia, terlibat dalam arena politik sejak 2012 menerusi DAP.

Anak kelahiran Sandakan itu, yang pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sung Siew di sini, menjadi pegawai khas mendiang bapanya ketika menjawat jawatan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah serta aktif dalam aktiviti sosial.

Tsen, 63, naib presiden PBS merupakan bekas anggota Parlimen Batu Sapi selama dua penggal selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kepada Datuk Liew Vui Keong, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Chia pula merupakan seorang ahli perniagaan, manakala Sulaiman merupakan bekas pembantu tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan dan Hamzah adalah bekas pengasas Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK Parlimen Sandakan pada hari ini dan hari mengundi pada 11 Mei dengan hari pengundian awal pada 7 Mei.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan jumlah 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Daripada jumlah pengundi itu, 20, 274 orang adalah wanita, manakala 19,857 lelaki.

Mendiang Wong dipilih sebagai anggota Parlimen Sandakan selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila berjaya mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Leong Vui Keong dengan majoriti 1,088 undi.

Pada PRU-14 lepas, mendiang Wong berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 10,098 undi untuk mengalahkan calon BN Datuk Lim Ming Hoo.

-BERNAMA

Foto Kredit: FB DAP Sandakan

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: Semua pihak digesa patuhi etika kempen

SANDAKAN, 26 APRIL: Semua pihak yang terbabit dalam aktiviti berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan diingatkan agar sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya sepanjang tempoh kempen pilihan raya mulai esok (27 April) hingga 11.59 malam 10 Mei.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata SPR ingin mengingatkan bahawa sebarang aktiviti kempen seperti penjamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah, sama ada dalam bentuk barangan atau wang untuk secara rasuah mempengaruhi pengundi untuk memberikan atau tidak memberikan undi merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Perlu juga diingatkan bahawa apa-apa tindakan ataupun pernyataan yang mengganggu mana-mana pengundi daripada menjalankan hak pemilihannya secara bebas juga merupakan satu kesalahan di bawah akta yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azhar berkata antara kesalahan yang menjadi perhatian ialah tindakan atau pernyataan yang bertujuan ataupun cenderung untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati ataupun permusuhan antara kaum, dan yang mengancam dengan menggunakan kekerasan, keganasan ataupun halangan ke atas pengundi.

Menurutnya, kesalahan lain seperti tindakan atau pernyataan yang mengancam hendak mengenakan apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan atau kerugian keduniaan ataupun kerohanian ke atas pengundi; dan yang mendorong mana-mana pengundi supaya mempercayai mana-mana individu akan menjadi seorang yang dimurkai Tuhan atau yang dicela kerohaniannya.

“SPR juga ingin memperingatkan calon ataupun parti yang diwakili calon agar tidak menyalahgunakan aset kerajaan ataupun menyalahgunakan kuasa kerajaan untuk meraih undi.

“Calon-calon dan juga pihak-pihak yang terlibat di dalam aktiviti berkempen hendaklah berkempen secara berhemah dan mengikut etika kempen yang menjamin keharmonian masyarakat,” katanya.

Azhar juga menegaskan agar semua arahan pihak berkuasa, terutamanya daripada SPR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah sentiasa dipatuhi.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau keterangan mengenai sebarang pelanggaran undang-undang oleh mereka yang terlibat di dalam aktiviti kempen disarankan untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

“Sehubungan dengan ini, apa-apa perbuatan yang melibatkan amalan rasuah haruslah dilaporkan kepada SPRM, manakala bagi kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM,” katanya.

Azhar juga mengingatkan sebarang bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang pada hari mengundi, termasuk melalui saluran media sosial, serta semua parti dilarang untuk membuka, membina atau menyenggarakan pejabat atau barung semasa hari mengundi.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.

PRK Sandakan diadakan berikutan penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Hari penamaan calon ditetapkan pada esok (27 April) dan hari pengundian awal pada 7 Mei, manakala hari mengundi pada 11 Mei.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: Lebih 600 pegawai, polis bertugas

TAWAU, 25 APR: Lebih 600 pegawai serta anggota polis akan ditugaskan sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan berlangsung bermula hari penamaan calon sehingga penjumlahan undi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata penempatan anggota itu sebagai memastikan proses demokrasi berkenaan berjalan lancar.

“Anggota yang bertugas akan ditempatkan di lokasi strategik selain pusat pengundian dan penjumlahan undi,” katanya kepada pemberita selepas program Town Hall Discussion: Komuniti Sejahtera, Mencegah Jenayah Tanggungjawab Bersama di sini, hari ini.

Omar bersama Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye menjadi panel jemputan bagi Town Hall Discussion itu.

Omar dalam pada itu menasihatkan semua pihak termasuk anggota parti bertanding agar mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang tempoh PRK berjalan.

“Masa penamaan calon dan sehingga penjumlahan undi, elak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan provokasi, bertindak agresif atau mengeluarkan hasutan sehingga mengundang perbalahan antara penyokong parti lawan,” katanya lagi.

Beliau turut menasihatkan agar calon bertanding tidak membawa penyokong ramai semasa penamaan calon.

“Jangan bawa penyokong yang begitu ramai sebab kalau begitu ramai berlaku limpahan penyokong dan bercampur dengan penyokong parti lawan, sekali gus dikhuatiri berlaku provokasi sehingga menimbulkan pergaduhan,” katanya.

Omar turut menasihatkan semua pihak menghormati antara satu sama lain bagi melancarkan perjalanan PRK ini.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPR hantar kad kepada 39,349 pengundi berdaftar di Sandakan

SANDAKAN, 24 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil inisiatif untuk menghantar kad pengundi kepada 39,349 orang pengundi yang meliputi 270 orang pengundi awal dan 39,079 orang pengundi biasa dalam usaha menggalak serta memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, kad pengundi itu mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi yang akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal iaitu 7 Mei dan hari mengundi biasa pada 11 Mei depan.

“Pengundi yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut.

“SPR telah mengedarkan kad pengundi mulai 19 April lepas kepada semua pengundi bagi PRK Parlimen P.186 Sandakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azhar juga berkata, SPR menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

Katanya lagi, mana-mana pengundi yang tidak menerima kad pengundi berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan di portal SPR www.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak.

Beliau berkata pengundi juga boleh menyemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR SEMAK NOMBOR KAD PENGENALAN) dan hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan 11 Mei, penamaan calon 27 April

PUTRAJAYA, 5 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Sandakan pada 11 Mei dengan hari penamaan calon pada 27 April serta pengundian awal pada 7 Mei.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam sidang media di sini hari ini berkata PRK berkenaan, yang dijangka membabitkan kos RM3.1 juta, akan melibatkan 39,856 pengundi biasa, 270 pengundi awal dan lima orang pengundi tidak hadir luar negara.

Beliau berkata seramai 770 petugas dilantik bagi mengendalikan PRK itu dan 21 buah pusat mengundi dengan 92 saluran akan digunakan pada PRK berkenaan.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, pada 28 Mac lalu di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Wong memenangi kerusi P186 Sandakan itu dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk Lim Ming Ho yang mendapat 8,996 undi.

PRK Sandakan merupakan PRK kelapan selepas PRU-14.

Azhar berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan untuk PRK Sandakan adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam 10 Mei.

Beliau berkata, SPR melantik Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Mohamad Hamsan Awang Supain sebagai pegawai pengurus PRK Sandakan dan beliau akan dibantu oleh lima orang penolong pegawai pengurus.

“SPR menubuhkan empat pasukan penguat kuasa Kempen Pilihan Raya untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen,” katanya.

Azhar berkata, SPR akan menggunakan dewan aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Katanya borang penamaan calon boleh dibeli mulai 8 April di pejabat pegawai pengurus pilihan raya di Majlis Perbandaran Sandakan atau pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah atau di ibu pejabat SPR Putrajaya.

Bakal calon PRK Sandakan dinasihatkan supaya mengisi borang penamaan calon dan membuat semakan awal dengan pihak pejabat pengawai pengurus atau pejabat pilihan raya negeri Sabah sebelum hari penamaan calon, katanya.

Mengenai penambaikan yang dilakukan SPR pada PRK Sandakan, Azhar berkata dua saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas disediakan di pusat mengundi.

“Tempoh masa pengundian turut dipanjangkan dari 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding 5 petang sebelum ini,” katanya.

Azhar berkata, sebanyak 17 saluran baharu ditambah menjadikan jumlah keseluruhan saluran mengundi kepada 92 berbanding 75 pada PRU-14 lepas.

Ditanya mengenai pengundian awal PRK Dewan Undangan Negeri Rantau, Negeri Sembilan pada 9 April ini, Azhar berkata seramai 118 pengundi awal dan dua pusat mengundi akan terlibat.

“Setakat ini persiapan untuk pengundian awal PRK DUN Rantau berjalan lancar,” katanya.

PRK DUN Rantau pada 13 April menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional) dan dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

– BERNAMA