Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: Shafie yakin rakyat pilih Vivian Wong

SANDAKAN, 9 MEI: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin rakyat di Sandakan mahu Vivian Wong Shir Yee sebagai wakil rakyat mereka.

Katanya, sejak hampir dua minggu berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, wanita muda berumur 30 tahun yang bertanding sebagai calon DAP itu sering mendapat sambutan hebat daripada rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.

“Tarikh 11 Mei (hari mengundi PRK Sandakan) ini cukup penting bagi kita kerana ia akan menentukan siapa calon yang akan menang dan menjadi wakil rakyat di Sandakan.

“Saya sangat pasti semua rakyat di Sandakan akan menyokong Vivian Wong kerana saya nampak, setiap kali beliau berucap, sambutan daripada rakyat di sini cukup hebat,” katanya pada majlis ramah mesra pemimpin bersama rakyat, di sini malam tadi.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri memahami harapan Wong untuk merancakkan pembangunan di Sandakan dengan memastikan peluang pekerjaan mencukupi untuk rakyat di sini.

“Kerajaan akan pastikan kita semua akan membangunkan Sabah kerana kita ada ‘resepi’ untuk pergi jauh dalam pembangunan ekonomi negeri.

“Kita ada minyak, kita ada pelancongan…jadi kita akan pastikan, kalau ada orang hendak melabur di Sabah, mereka akan menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat di Sabah,” katanya, sambil menyatakan harapan agar rakyat kelahiran Sabah yang berada di luar negeri dapat kembali membangunkan Sabah.

Mohd Shafie berkata, Sabah berupaya untuk lebih maju daripada negeri-negeri maju di Semenanjung.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan negeri kini sedang mengubah cara bekerja dalam mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri.

“Kerajaan mahu menyebarkan kekayaan negeri kepada rakyat, bukan orang tertentu sahaja yang mendapat kekayaan.

“Sebab itulah banyak kedai tutup, terutama di Sandakan, kerana ramai rakyat kita tidak ada duit. Ini tidak baik untuk kesihatan ekonomi negeri,” katanya.

Mohd Shafie turut menjelaskan usaha berterusan kerajaan dalam tempoh setahun sejak memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas untuk kebaikan rakyat.

Katanya, usaha mentransformasi negeri dan negara dalam tempoh singkat bukan mudah selepas ditadbir selama 60 tahun oleh sebuah kerajaan yang didapati telah melakukan kesilapan.

Apatah lagi mengambil alih kerajaan dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak baik, katanya.

“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa sedar ada peluang dalam memajukan ekonomi Sabah.

“Oleh itu, kita mesti mempunyai minda yang betul untuk melakukan apa yang betul, walaupun kita melaksanakannya (pembangunan) pada kadar perlahan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: Polis terima 11 laporan, buka lima kertas siasatan

KOTA KINABALU, 8 MEI: Polis menerima 11 laporan dan membuka lima kertas siasatan berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan setakat ini sejak kempen bermula 27 April lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 427 Kanun Keseksaan (dua siasatan), Seksyen 426 Kanun Keseksaan (satu siasatan), dan satu lagi kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Namun secara keseluruhannya perjalanan proses PRK Parlimen Sandakan berjalan lancar dan pihak polis dapat mengawal keadaan dengan baik. Saya harap keadaan ini berterusan dan tiada sebarang insiden yang diingini terjadi sehingga PRK berkenaan selesai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, lebih 1,000 anggota telah ditugaskan untuk memastikan proses PRK berjalan lancar sehingga hari mengundi Sabtu ini (11 Mei).

PRK Sandakan diadakan selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: SPR seru keluar mengundi

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 8 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyeru kepada semua pengundi di Parlimen P186 Sandakan supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing, pada Sabtu ini.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pengundi dinasihatkan merancang masa dan keluar awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi, pada saat akhir.

“Bagi pengundi yang menerima Kad Pengundi (Voter’s Card) atau mengetahui maklumat pengundian, boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu membuat semakan di barung semakan SPR.

“Bagi yang tidak menerima Kad Pengundi atau belum mengetahui maklumat pengundian, disarankan membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPR turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan Kad Pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Ia bertujuan memudahkan semakan dibuat serta melancarkan proses pengundian pada hari terbabit. Pengundi juga dinasihatkan tidak menyerahkan kad pengenalan kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.

Semakan berkaitan maklumat pengundian boleh dibuat melalui portal rasmi SPR (www.spr.gov.my), telefon ke talian 03-88927018, aplikasi MySPR Semak dan SMS ke 15888 (taip SPR<jarak>SEMAK<jarak>NO.KAD PENGENALAN).

Semasa membuat semakan, pengundi disaran mencatat dan menyimpan maklumat berikut, iaitu pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

Seramai 39,856 pengundi biasa layak mengundi pada Sabtu (11 Mei 2019) ini daripada 39,684 jumlah keseluruhan pengundi, manakala 172 daripadanya mengundi secara pos.

Waktu mengundi bermula 7 pagi sehingga 5 petang.

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: SPR sasar lebih 90 peratus pengundi awal mengundi

SANDAKAN, 7 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan lebih 90 peratus pengundi awal keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, hari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, suruhanjaya itu menyasarkan peratusan yang tinggi berdasarkan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang mencatatkan jumlah pengundi awal yang keluar mengundi iaitu sekitar 96 peratus.

“Kita galakkan semua pengundi awal yang berdaftar supaya keluar mengundi dan kita mengharapkan peratusan juga tinggi di sini,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat mengundi di Rumah Kelab Ibu Pejabat Daerah Polis di sini hari ini.

Mohamed Elias berkata proses pengundian awal di dua pusat mengundi iaitu Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjalan lancar.

Mengulas berkenaan kempen pilihan raya itu, beliau berkata masih terdapat pelanggaran peraturan perjalanan pilihan raya termasuk berceramah tanpa permit dan poster calon ditampal dengan tampalan lain.

“Kita minta mana-mana pihak pemerhati yang melihat kesalahan pilihan raya supaya melaporkan kepada polis berserta maklumat lengkap supaya siasatan lanjut dapat dijalankan oleh pihak polis,” katanya.

Proses pengundian awal bermula dengan dua pusat pengundian dibuka pada 8 pagi melibatkan seramai 270 pengundi awal terdiri daripada anggota polis.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, yang akan menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

SPR menetapkan tarikh pengundian pada 11 Mei ini.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: 61 peratus keluar mengundi awal setakat 10 pagi

SANDAKAN, 7 MEI: Sebanyak 61 peratus pengundi awal keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, sehingga 10 pagi ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, proses pengundian masih berjalan di dua pusat mengundi iaitu Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan.

“Pengundian awal bermula pukul 8 pagi tadi dan akan tamat di IPD Sandakan pukul 12 tengah hari, manakala pusat mengundi di PPM Sandakan akan tutup pukul 2 petang memandangkan jumlah pengundi di PPM lebih ramai.

“Di IPD ada 78 pengundi, manakala di PPM seramai 192 pengundi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPM Sandakan di sini.

Mohamed Elias turut mengingatkan semua calon supaya mematuhi peraturan SPR semasa berkempen bagi mengelak kesalahan yang boleh diambil tindakan mahkamah.

Proses undi berjalan lancar dengan kehadiran anggota pemerhati SPR, pihak polis dan pemerhati daripada setiap calon.

Mohamed Elias turut melawat pusat mengundi awal di Rumah Kelab IPD Sandakan sebelum ke Mes Pegawai Kanan PPM Sandakan.

Calon yang bertanding dalam PRK itu juga hadir memerhati proses pengundian yang dijalankan dan rata-rata memuji SPR mengendalikan proses pengundian secara baik.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, yang akan menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Hari pengundian biasa ditetapkan pada Sabtu ini bermula 7.30 pagi hingga 5 petang.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: Proses undi awal bermula

SANDAKAN, 7 MEI: Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan membabitkan seramai 270 pengundi awal terdiri daripada anggota polis bermula 8 pagi ini selepas dua pusat pengundian dibuka.

Pusat pengundian itu ialah Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin Sandakan membabitkan 170 pengundi, yang dibuka sehingga 2 petang, manakala proses pengundian di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan membabitkan 100 pengundi berlangsung sehingga 12 tengah hari.

Proses pengundian awal ini disaksikan oleh setiap ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya terdiri daripada wakil organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan yang telah dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di samping SPR menyiarkan proses pengundian secara langsung menerusi laman media sosial Facebook SPR.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan 40,131 jumlah pemilih berdaftar terdiri daripada 39,856 pengundi biasa, lima orang pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara dan selebihnya pengundi awal.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 51 peratus merangkumi pengundi Cina dan 45 peratus pengundi bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Seramai 19,857 pengundi atau 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita berjumlah 20,274 orang atau 50.52 peratus.

PRK Parlimen Sandakan merupakan PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lepas, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April).

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, yang akan menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis Sabah kerah 1,000 anggota hari mengundi

KOTA KINABALU, 6 MEI: Polis Sabah mengerahkan sehingga 1,000 anggota bagi memastikan hari mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan Sabtu ini berjalan lancar.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata setakat ini, lebih kurang 600 anggota bertugas sepanjang PRK itu, dan jumlah tersebut akan ditambah sehingga 1,000 anggota semasa proses pengundian dijalankan.

“Kita akan menambah keanggotaan, penugasan polis di tempat saluran mengundi dan daerah mengundi bagi memastikan keadaan keselamatan terjamin,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Agama Negeri (SAN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass, Ketua Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Sabah ACP M. Chandra dan Guru Besar SAN Kepayan, IPK Sabah, Badrussamad Laitak.

Omar berkata perjalanan kempen PRK Parlimen Sandakan berlangsung dalam keadaan baik meskipun ada beberapa insiden kecil berlaku seperti poster kempen dikoyak pihak tidak bertanggungjawab.

Polis telah membuka kertas siasatan untuk menyiasat kes terbabit sebelum dirujuk kepada pihak berkaitan untuk arahan selanjutnya, katanya.

Mengenai majlis itu, Omar berkata seramai 398 murid SAN Kepayan IPK Sabah menerima beg sekolah sumbangan Petronas Gas Berhad selain sekolah itu turut menerima sumbangan dana RM10,000 daripada Syarikat Pembinaan Rastamas Sdn Bhd bagi kerja-kerja menaik taraf sekolah berkenaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Beliau berkata sekolah itu, yang sebahagian besar muridnya terdiri daripada anak-anak warga IPK Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah berhampiran, telah beroperasi sejak 43 tahun dulu dan bangunan sekolah berkenaan perlu diselenggara demi keselesaan murid.

“Ini satu usaha baik dan saya percaya ia akan memberi kemudahan pendidikan kepada anak-anak Sabah yang belajar di sini. Kita berharap bantuan daripada swasta, syarikat berkaitan kerajaan ini menjadi contoh kepada syarikat lain kerana pentingnya CSR untuk membantu pihak memerlukan,” katanya.

IPK Sabah juga antara lain mengambil inisiatif memberi dan mendapat peruntukan menerusi Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Sabah sebanyak RM17,000 bagi bekalan bahan binaan selain sumbangan RM10,000 daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking yang juga Anggota Parlimen Penampang bagi menambah baik lagi fasiliti sekolah itu, katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wan Azizah yakin Vivian Wong dapat sokongan daripada pengundi

SANDAKAN, 5 MEI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin calon DAP, Vivian Wong Shir Yee bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan akan mendapat sokongan daripada pengundi di kawasan parlimen itu.

Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Wong (Vivian), calon nombor tiga dalam PRK Sandakan akan menggantikan mendiang bapanya (Datuk Stephen Wong Tien Fatt).

“Insya Allah..kita akan mendapat sokongan untuk calon nombor tiga (Vivian Wong) yang akan menggantikan mendiang ayahnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan Tinjauan Mesra di Tamu Mingguan Bandar Sandakan di sini, hari ini.

Beliau yang diiringi Wong memulakan program seharinya di daerah ini sempena PRK Sandakan dengan berjumpa orang ramai pada program tinjauan mesra di Bandar Sandakan.

Mengenai tinjauan mesra itu, Wan Azizah berkata, pihaknya tahu 60 peratus orang ramai yang berkunjung ke tamu mingguan itu adalah pengundi tempatan (Sandakan) dan 40 peratus lagi merupakan pengunjung.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri menghadiri lima acara sebelum berlepas balik ke Kuala Lumpur pada petang ini.

Selepas program tinjauan mesra di Tamu Mingguan, Wan Azizah menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Bersama PKR dianjurkan PKR Libaran.

Ini disusuli program tinjauan mesra di Kampung Melayu Bumiputera Sim-Sim, Majlis Ramah Mesra Bersama Ibu Tunggal di Rumah Murah Sim-Sim dan menghadiri Ceramah di Gelanggang Futsal Kampung Melayu Bumiputera Sim-Sim.

PRK Sandakan diadakan susulan kematian Anggota Parlimen Sandakan yang juga Pengerusi DAP Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt pada 28 Mac lepas.

Suruhanjaya PIlihan Raya menetapkan hari pengundian awal pada Selasa ini dan hari mengundi pada 11 Mei.

Seramai lima calon bertanding pada PRK Sandakan membabitkan calon dari DAP, Parti Bersatu Sabah dan tiga calon bebas.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengundi PRK Sandakan diminta buat semakan awal

SANDAKAN, 5 MEI: Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan yang tidak menerima kad pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian mereka lebih awal sebelum hari pengundian pada 11 Mei ini.

Pengundi terbabit boleh membuat semakan melalui saluran dengan melayari portal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di www.spr.gov.my, menelefon ke talian 03-88927018, menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak atau SMS ke 15888 (taip SPRSEMAKNo Kad Pengenalan).

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagi pengundi yang telah menerima kad pengundi atau telah mengetahui maklumat pengundian, mereka tidak lagi perlu membuat semakan di barung semakan SPR.

Sebaliknya, boleh terus ke saluran mengundi manakala bagi pengundi yang baru membuat semakan, mereka disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih, katanya.

Menurutnya para pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

Beliau berkata catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: Shafie yakin Vivian mampu raih majoriti besar

SANDAKAN, 3 MEI: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin calon DAP Vivian Wong Shir Yee akan meraih majoriti lebih 10,000 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui usaha untuk memenangi hati dan sokongan pengundi bukan mudah dan memerlukan kerja gigih daripada DAP dan parti sekutunya.

“Kita tak mahu cakap besar, tetapi kita akan mengusahakannya.

“Kita sedar dan tahu ada pengundi berada di luar negara. Tetapi jika kita dapat meramaikan (pengundi) sedia ada di sini, jumlah (undi) akan mencukupi dan kita boleh mencapainya (majoriti lebih 10,000),” katanya.

Mohd Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas majlis kenduri bersama penduduk Kampung Sim-Sim, di sini hari ini.

PRK Sandakan diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas, mendiang Wong mendapat majoriti 10,098 undi untuk mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lim Ming Hoo.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan jumlah 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: Kit Siang yakin pengundi kekalkan kerusi DAP

SANDAKAN, 2 MEI: Penasihat DAP, Lim Kit Siang yakin pengundi di Parlimen Sandakan akan membuat pilihan terbaik untuk mengekalkan kerusi DAP menerusi calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.

Kit Siang berkata, kemenangan Wong dalam PRK itu amat penting apatah lagi dalam usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pindaan itu tidak berjaya apabila gagal mendapat undian dua pertiga majoriti atau 148 undi tetapi hanya mendapat 138 undi sahaja.

“Jika Wong dipilih sebagai ahli Parlimen, undi akan menjadi 139 dan harap akan mendapat sembilan undi lagi,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum DAP di Kampung Mangkalinau, di sini semalam.

Hadir sama, Wong, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong dan wakil daripada parti Warisan.

Kit Siang yang juga anggota Parlimen Iskandar Puteri berkata, kerajaan di bawah Pakatan Harapan berusaha menjadikan Sandakan sebagai Sandakan Baharu bagi menghidupkan ekonomi masyarakat daerah itu melalui usaha pembangunan yang dijalankan seperti menaik taraf landasan Lapangan Terbang Sandakan.

Beliau berkata, usaha menarik lebih ramai pelancong ke Sandakan memerlukan lapangan terbang bertaraf antarabangsa selain kemudahan lain.

Sementara itu, Chong berkata usaha untuk membaiki jambatan di Kampung Mangkalinau juga akan dibuat dalam tempoh terdekat ini selain membuat penyambungan bekalan elektrik bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Beliau berkata kawasan itu merupakan antara kawasan yang sering berlaku penyambungan haram sehingga menyebabkan masalah kepada kilang berhampiran.

Sementara itu, Ketua Kampung Mangkalinau, Mohamad Idris, 51, berharap kampung yang wujud sejak 30 tahun lalu itu akan diwartakan sebagai kampung yang sah bagi memudahkan mendapat kemudahan asas lain.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: Vivian Wong mahu tunai janji mendiang bapa

SANDAKAN, 29 APRIL: Calon DAP bagi Pilihan Paya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, mahu menunaikan janji yang tidak sempat diselesaikan mendiang bapanya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt kepada rakyat, di Parlimen itu.

Wong, 30, berkata beliau berpegang kepada prinsip mendiang bapanya, iaitu harus menyelesaikan apa yang sudah dimulakan.

“Sebagai anak yang mengikut perjuangan politik dan bekerja di bawah bapa ketika mendiang sebagai wakil rakyat dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, saya mahu menyelesaikan janji kepada rakyat yang belum ditunaikan,” katanya pada ceramah umum di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra di sini, malam tadi.

Anak bongsu daripada empat adik-beradik itu berkata, semangat dan keyakinan bapanya menjadi pendorong penting kepadanya dalam perjuangan politik terutama membantu golongan yang memerlukan perhatian.

Beliau juga sudah bersedia dan nekad meneruskan perjuangan mendiang bapanya dalam politik untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya sedar setiap hari rakyat perlukan kami dan sebab itu konsep sentiasa turun padang yang menjadi pendekatan penting mendiang bapa akan saya teruskan terutama jika menerima aduan daripada rakyat,” katanya.

Seperti mendiang bapanya, Wong yang mula bergiat dalam arena politik sejak 2012 menerusi DAP mahu menumpukan kepada aspek pembangunan yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada generasi muda.

Justeru, katanya, keputusan Kerajaan Persekutuan meneruskan projek naik taraf landasan Lapangan Terbang Sandakan tepat pada masanya.

Katanya, ia akan meningkatkan jumlah pesawat mendarat di lapangan terbang itu dan seterusnya meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke daerah ini.

“Jika industri pelancongan di daerah ini meningkat, sudah tentu akan meningkatkan peluang pekerjaan kepada pencari kerja khususnya golongan muda dan tidak perlu mencari kerja di tempat lain.

“Saya menyedari kekurangan peluang pekerjaan di daerah ini kerana selepas pengajian di Australia, saya juga bekerja di Kuala Lumpur disebabkan kurangnya peluang dan bidang yang sesuai di sini,” kata graduan Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dari Universiti Murdoch, Australia.

PRK Sandakan menyaksikan Wong ditentang empat calon iaitu Datuk Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas, iaitu Chia Siew Yung, Sulaiman Samat dan Hamzah Abdullah.

Hari pengundian awal diadakan pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei ini.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

-BERNAMA