Categories
AGENDA NASIONAL

Umur bukan penghalang Karmaine untuk terus berkhidmat

PONTIAN, 30 OKT: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) Karmaine Sardini menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pencetus semangatnya untuk terus berkhidmat kepada rakyat meskipun pihak pembangkang mempersendakan usianya.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai itu sebaliknya menganggap semua “usikan” itu sebagai cabarannya untuk lebih bekerja keras memenangi hati pengundi seterusnya menjalankan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat setempat.

Karmaine, 66, diumumkan sebagai calon PH-Bersatu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu majlis pada Isnin.

“Dalam politik, umur bukan penghalang. Di mana-mana, pemimpin dunia pun, kalau tengok bukan muda-muda.

“(Malah) lagi mendorong saya untuk menjadi lebih kuat. Itu (usia 66) tak jadi apa dan tidak melemahkan semangat saya untuk berjuang, pasal bos saya (Tun Dr Mahathir Mohamad) pun 94 tahun, jadi saya rasa tidak mustahillah…saya boleh lakukan,” kata beliau ketika ditemui di Pusat Khidmat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kukup, Pontian, di sini, hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN bagi PRK berkenaan pada Isnin berkata beliau berharap tiada lagi PRK perlu diadakan selepas ini.

“Calon mereka, saya kira (berusia) 66 tahun, tahun depan 67 tahun. Saya harap kita tiada PRK lagi,” katanya yang juga Pengerusi UMNO Johor pada majlis berkenaan yang dirasmikan oleh Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Meskipun dipersenda mengenai umurnya oleh “rakan lama”, Karmaine mengganggap sindiran itu sebagai satu cabaran untuk membuktikan keupayaan beliau untuk menggalas harapan parti serta membantu masyarakat setempat.

“Saya rasa ini adalah satu cabaranlah kepada saya kerana faktor umur yang dipertikaikan oleh rakan sendiri sebenarnya (Hasni).

“Hasni pernah jadi ketua bahagian saya masa dalam Umno…kalau dia pertikaikan umur saya tidak boleh jalankan tanggungjawab, insya Allah saya akan buktikan, saya boleh jalankan tugas dengan sebaiknya,” kata Karmaine, yang juga seorang imam bertauliah dan bertugas di Masjid Al-Muttaqin di Taman Sutera, dekat Perling, Johor.

Mengenai dakwaan miliki sijil palsu, Karmaine berkata beliau memperolehi Diploma Lanjutan Seni Bina itu pada tahun 80an, sewaktu Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika itu dikenali sebagai Institut Teknologi Mara (ITM).

Kelulusan berkenaan yang setaraf dengan Sarjana Muda (Ijazah) yang membolehkan beliau menjadi arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selepas itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR hantar kad kepada 52,978 pengundi Tanjung Piai

PUTRAJAYA, 30 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengedarkan kad pengundi kepada 52,978 pengundi Parlimen Tanjung Piai, Johor sejak 16 Oktober lepas bagi menggalak dan memudahkan mereka keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah itu meliputi 52,698 pengundi biasa dan 280 pengundi awal.

“Pengundi yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut,” katanya.

Pengundi bagaimanapun masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa bersama kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan, katanya.

Mana-mana pengundi yang tidak menerima kad berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian melalui portal SPR di www.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak, katanya.

Semakan juga boleh dibuat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR (jarak) SEMAK (jarak) NOMBOR KAD PENGENALAN dan hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BN umum calon PRK Tanjung Piai hari ini

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari inin.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pengumuman akan dibuat di Pusat Gerakan BN selepas solat isyak.

“Tadi saya bermesyuarat bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran menerusi Skype bagi memuktamadkan calon,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Semalam, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai Karmaine Sardini sebagai calon parti itu pada PRK Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari Bersatu, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 Sept lepas, akibat komplikasi jantung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BN masih berteka teki calon bertanding PRK Tanjung Piai

PONTIAN, 28 OKT: Barisan Nasional (BN) masih berteka-teki mengenai calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagaimanapun berkata calon parti itu adalah anak tempatan.

“InsyaAllah, anak tempatan. Tetapi Datuk Hasni (Pengerusi BN Johor Datuk Ir Hasni Mohammad) mengarahkan saya jangan umum calon hari ini,” Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian berucap pada majlis pelancaran jentera BN PRK Parlimen Tanjung Piai di sini, hari ini.

Beliau secara berseloroh turut berkata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut ‘meminta’ beliau tidak mengumumkan nama calon BN pada hari ini.

“Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong juga tidak mengalah, bisik pada saya… jangan umum dulu,” katanya.

Ahmad Zahid, sehubungan itu, memaklumkan beliau menyerahkan tugas bagi mengumumkan calon BN berkenaan kepada Hasni, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor pada waktu yang difikirkan sesuai.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Allahyarham, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai, memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi, pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai ditetapkan pada 2 Nov ini di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian manakala hari mengundi pada 16 Nov.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima fokus calon PAKATAN di Tanjung Piai – Muhyiddin

PONTIAN, 28 OKT: Menangani kos sara hidup dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama untuk golongan muda merupakan antara lima perkara utama yang perlu ditumpukan calon Pakatan Harapan (PAKATAN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan perkara itu berkata lima perkara utama yang dilihat melibatkan masyarakat tempatan, yang harus diambil perhatian.

“Saya mahu cadangkan wakil rakyat yang akan dipilih (pengundi) dari PAKATAN ini akan tumpukan lima perkara utama iaitu satu, mencari jalan bantu tangani isu kos sara hidup yang merupakan bukan masalah baru.

Kedua, meningkatkan keselesaan hidup, isu-isu berkenaan pencemaran alam dan sungai dan sebagainya mesti kita bantu supaya kehidupan penduduk di Tanjung Piai terpelihara,” katanya ketika berucap pada Majlis Memperkenalkan Calon dan Pelancaran Jentera PAKATAN di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jentera PAKATAN PRK Tanjung Piai yang juga Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Muhyiddin berkata, perkara ketiga dan keempat yang perlu ditumpukan adalah memperbanyakkan rumah mampu milik dan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan.

“Syarikat swasta juga elok digalakkan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan Tanjung Piai.

Keempat, antara program yang harus wakil rakyat kita tumpukan adalah meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan supaya penduduk sentiasa sihat,” katanya.

Manakala yang kelima, Muhyiddin berkata meningkatkan peluang pekerjaan terutama kepada anak-anak muda dan mereka yang mempunyai pendapatan yang kecil juga perlu diambil perhatian.

“Kalau mereka tidak ada latihan, kita akan beri. Tiada peluang pekerjaan, kita akan wujudkan industri dan kilang-kilang lebih banyak supaya mereka dapat bekerja, jadi mereka tidak perlu keluar kawasan dan ke Singapura.

Kalau kita wujudkan industri pelancongan juga, akan ada banyak peluang pekerjaan (kepada golongan muda),” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini yang diumumkan sebagai sebagai calon PH PRK Parlimen Tanjung Piai berkata beliau akan melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya dengan sebaik mungkin.

Mengulas mengenai lima perkara utama yang dibangkitkan oleh Muhyiddin, beliau berkata sudah mengenal pasti masa depan pembangunan di Tanjung Piai yang kini sudah pun mula kelihatan.

“Saya rasa selain lima isu yang dibangkitkan, kita sudah kenal pasti masa depan pembangunan di Tanjung Piai seperti jambatan baru yang akan merentasi Sungai Pulai akan menjadi penghubung baru dari Johor Bahru ke Tanjung Piai dan ambil masa 20 minit.

“Ini juga adalah satu faktor untuk menaikkan ekonomi dalam industri pelancongan, selain mengambil kira tiga sektor penting (di Tanjung Piai) iaitu dari segi ekonomi pertanian, perikanan dan industri,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Karmaine diumum calon PH untuk PRK Tanjung Piai

PONTIAN, 28 OKT: Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis mengumumkan calon dan pelancaran jentera PH PRK di Dewan Hai Kee, di sini, petang ini.

Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata meskipun ramai calon yang berkelayakan untuk bertanding di kerusi parlimen itu, pemilihan Karmaine sebagai calon adalah satu pilihan yang tepat bersesuaian dengan kriteria-kriteria yang digariskan oleh PAKATAN.

“Memang ramai nama yang diberikan tetapi pihak pimpinan berpendapat Karmaine calon yang sesuai berdasarkan beberapa ciri iaitu dia anak tempatan, dilahirkan di sini dan berkelayakan.

“Ini kriteria yang difikirkan oleh pimpinan sesuai untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik di Tanjung Piai, kerana kawasan ini masih memerlukan pembangunan dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain lagi,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis itu, di sini, hari ini.

Muhyiddin turut menyifatkan tanggungjawab Karmaine amat berat memandangkan beliau bukan sahaja akan meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh Allahyarham Dr Md Farid tetapi pada masa sama memberi layanan yang adil dan saksama kepada masyarakat berbilang kaum di situ sekiranya dipilih.

“Saya yakin bahawa apabila beliau dipilih selepas 16hb, Insya-Allah, kerja-kerja untuk melaksanakan tugas akan mudah. Kenapa?

“Kerana sebagai wakil rakyat PAKATAN, kalau isu berkaitan negeri, dia boleh berjumpa Menteri Besar Johor dan jika berkaitan urusan Kerajaan Negeri, akan jadi lebih mudah, bantuan dan peruntukan disalurkan kepada beliau bagi membangunkan Tanjung Piai,” kata Muhyiddin.

Ketika ditanya mengenai persediaan PAKATAN, Muhyiddin berkata jentera PAKATAN telah bergerak dan beliau berpuas hati dengan persiapan jentera sejak sebulan lepas.

“Kita juga tahu apa isu dan masalah yang dihadapi masyarakat tempatan. Sebahagian besar telah diselesaikan, bukan sebab pilihan raya tetapi secara kebetulan pilihan raya diadakan… seperti projek-projek pembangunan yang sedang dijalankan,” kata Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri.

Beliau berkata usaha jentera turut akan difokuskan bukan sahaja kepada 16 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi juga dalam mempertahankan PDM yang menang pada PRU berkenaan.

Terdahulu, dalam ucapan, Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung peruntukan tambahan sebanyak RM7 juta bagi pembangunan Parlimen Tanjung Piai.

Sebelum ini, parlimen itu menerima peruntukan RM14.7 juta melibatkan 17 projek pembangunan hasil usaha Dr Md Farid.

Dr Md Farid, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Beliau, yang juga seorang pakar bius, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Seri Wee Jeck Seng dan Nordin Othman dari PAS dengan majoriti 524 undi pada PRU14.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua PPBM Tanjung Piai calon PRK P165

SHAH ALAM, 28 OKT: Pakatan Harapan (PH) meletakkan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tanjung Piai, Karmaine Sardini sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen (P165) Tanjung Piai yang bakal berlangsung 16 November ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Hai Kee Hall, Pontian hari ini.

Muhyidin yang juga Menetri Dalam Negeri meminta calon PH itu fokus menangani isu kos sara hidup, pencemaran sungai, menambahkan bilangan rumah mampu milik, tingkatkan mutu rawatan kesihatan dan cipta lebih peluang pekerjaan buat penduduk di Tanjung Piai.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Categories
AGENDA NASIONAL

Gerakan umum calon PRK Tanjung Piai esok

PONTIAN, 28 OKT: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan mengumumkan calon yang akan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Kuala Lumpur, esok.

Mengesahkan perkara itu, Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, calon itu adalah kelahiran negeri ini.

“Esok kita akan adakan satu pengumuman calon di Ibu Pejabat Kuala Lumpur, memandangkan hari ini banyak calon akan diumumkan oleh parti lain.

“Tumpuan kita adalah esok, calon pula adalah orang Johor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan (PRK) Tanjung Piai di Jalan Utama dekat Pekan Nenas, di sini, hari ini.

Lau berkata, Gerakan komited untuk bertanding di Tanjung Piai dan berharap agar pengundi memberikan peluang dan mandat kepada partinya itu.

“Inilah masanya untuk pilihan alternatif bagi rakyat. Jadi, kami benar-benar berharap… tenaga Gerakan akan bermula di sini di Tanjung Piai,” katanya.

Ketika ditanya keyakinan Gerakan untuk menang PRK ini, beliau percaya parti itu mampu meraih kemenangan sendiri.

“Kenapa tidak, jika anda masih ingat bila kita memulakan Gerakan pada 1968 dan 1969, kami bertanding dalam Pilihan Raya di bawah bendera Gerakan dan menang di Pulau Pinang.

“Jadi jika sejarah berulang sekali lagi, ia boleh berlaku terutama apabila anda melihat kepada situasi dan prestasi semasa Pakatan Harapan dan BN,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: Amanah siap siaga pastikan kemenangan PH

PONTIAN, 27 OKT: Parti Amanah Negara (AMANAH) akan memastikan jenteranya bersiap siaga untuk bekerja dan bergerak bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, AMANAH sudah memulakan gerak kerja jenteranya dari peringkat awal dan sentiasa akan memberikan komitmen yang tinggi bagi membantu kemenangan PAKATAN dalam PRK kali ini.

“Saya telah bergerak dan membantu jentera dari peringkat awal lagi dari bilik gerakan dan sebagainya dan kita telah menjadi anggota parti yang benar-benar komited untuk beri komitmen bagi memastikan kemenangan calon PH.

“Saya sendiri telah menghadiri perbincangan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan apa lagi yang Amanah perlu bantu dan sumbang dan semuanya untuk kukuhkan jentera.

“(Dan) dari segi calon kita telah adakan perbincangan dan akhirnya kita bersetuju siapapun yang diumumkan esok. Amanah tidak ada apa apa masalah dan kita akan bekerja kuat untuk kemenangan PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Perikanan:Road To HPPNK 2019 di Pusat Perdagangan Pontian di sini hari ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: Jentera PH siap siaga pastikan kemenangan PH

PONTIAN, 26 OKT: Pakatan Harapan (PH) akan memastikan jenteranya bersiap siaga untuk bekerja dan bergerak bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kesiapsiagaan jentera antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PRK Tanjung Piai bersama Pengarah Pilihanraya PH Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

“Malam tadi ada pertemuan dengan Pengarah Utama PRK Tanjung Piai bertemu dengan semua ketua-ketua portfolio, ketua Pusat Daerah Mengundi dan ketua-ketua jentera Pakatan Harapan.

“Pertemuan ini bertujuan memastikan jentera PH telah bersiap sedia 100 peratus bekerja dan bergerak untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan di Tanjung Piai,” kata Dr Sahruddin, yang juga Pengarah Jentera PH untuk PRK kali ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Pelancaran Program Kampungku Sihat Peringkat Daerah Pontian, di sini hari.

Dalam mesyuarat yang diadakan malam tadi, turut hadir Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang, Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai Karmaine Sardini dan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam Datuk Osman Sapian.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peruntukan RM7 juta untuk Tanjung Piai bukan raih undi – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan peruntukan berjumlah RM7 juta yang diberikan oleh kerajaan untuk kawasan Tanjung Piai adalah bagi meraih sokongan pengundi kawasan itu.

Dr Mahathir menegaskan kerajaan hanya menjalankan tugas seperti biasa dan pemberian peruntukan itu secara kebetulan hampir dengan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

“Semasa kita beri peruntukan ini secara kebetulan ada pilihan raya di situ,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Ditanya mengapa peruntukan itu tidak diumumkan selepas PRK, Dr Mahathir berkata memang kebiasaannya ada perancangan untuk kawasan-kawasan tertentu.

“Kalau kita dah umum dan sedang ada kempen, itu tidak baik kalau tawarkan apa-apa bantuan tetapi pada kebiasaannya, memang ada rancangan tapi sebolehnya kita (kerajaan) tidak gunakan rancangan ini sebagai umpan untuk menarik sokongan,” katanya.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk projek naik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai, manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub turut memperuntukkan RM3 juta bagi projek naik taraf tiga jeti nelayan dalam Parlimen Tanjung Piai.

Sementara itu Dr Mahathir berkata penasihat media dan komunikasi Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin bebas untuk mengkritik kerajaan.

“Boleh dia (A. Kadir) nak hentam kerajaan, kita bagi…orang kita dalam Parlimen pun dia hentam juga, kerajaan kalau kita buat tak betul hentamlah,” katanya.

Dalam catatan di laman Facebooknya, A. Kadir berkata: “17 bulan sudah berlalu. Masa menasihat sudah tamat. Sekarang hantam sajalah”.

Mengulas tentang isu ketidakhadiran ramai ahli parlimen kerajaan semasa persidangan Dewan Rakyat kali ini, Dr Mahathir berkata kabinet telah mengeluarkan amaran supaya ahli parlimen kerajaan menghadirinya.

Katanya, ada antara menteri kabinet tidak dapat hadir pada persidangan itu kerana berkemungkinan bertugas di luar negara memandangkan terdapat banyak mesyuarat antarabangsa yang perlu dihadiri pada masa ini.

“Bagi ahli biasa, mereka kadang-kadang ada masalah lain, kadang-kadang mereka tiada dalam dewan tetapi ada dalam bangunan ini (parlimen), jadi mereka boleh dipanggil menerusi bunyi loceng,” katanya.

Ditanya sama ada ia merupakan masalah disiplin dalam kalangan ahli parlimen kerajaan, Dr Mahathir berkata : “Ini berlaku pada mana-mana kerajaan. Saya pergi sekali di kongres Amerika (Syarikat) saya dapati orang tu cakap seorang je, cuma ada dua orang lain dalam tu tetapi mereka tak bangkit soal korum, soal korum ni bangkit kadang-kadang pasal politik”.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: Srikandi Bersatu serah empat nama

PUTRAJAYA, 21 OKT: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan empat nama untuk dipertimbang sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ketuanya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kesemua nama yang diserahkan kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin itu merupakan anak tempatan yang mempunyai latar belakang menarik dan berpotensi menjadi pilihan pengundi.

“Pasukan kita telah berkampung di sana sejak dua minggu lalu, antara lain bagi menilai situasi semasa sokongan termasuk potensi calon yang diinginkan pengundi bagi mempertahankan kerusi berkenaan,” katanya ketika ditemui media pada hari terakhir Karnival Usahawan Desa 2019 (KUD@KPLB) di sini hari ini.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Calon Pakatan Harapan (PH) yang bakal bertanding pada PRK itu dijangka diumum pada 30 Oktober ini.

Dalam pada itu, Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mengakui PRK itu akan berlangsung sengit dengan isu-isu terkini namun yakin Bersatu yang akan mewakili PH dapat mempertahankan kerusi tersebut.

Rina berkata, jentera Srikandi bersama wanita PH lain telah mula bergerak dan berdasarkan culaan awal sikap pengundi wanita, kaum yang boleh mempengaruhi undian dalam sesebuah keluarga itu masih bersama PH.

“Fokus Srikandi sekarang ialah membantu calon yang dipilih kepimpinan PH untuk mengalahkan wakil pembangkang sama ada dari UMNO atau MCA,” katanya.

-BERNAMA