Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: PAKATAN bakal guna pengalaman Norma

PONTIAN, 14 OKT: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menggunakan pengalaman ibu mantan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, dalam mengatur gerak kerja jentera wanita bagi memastikan kemenangan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan itu.

Ketua Wanita PAKATAN, Zuraida Kamarudin berkata beliau sempat bertemu ibu Allahyarham, Norma Mohamed, 67, yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini, semalam.

“Beliau (Norma) juga ada berkongsikan pandangan berhubung gerak kerja PRK. Beliau bukan calang-calang kerana adalah bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai selama 30 tahun.

“Beliau berpengalaman sebagai penggerak dan menjalankan tugas pilihan raya bagi sayap Wanita. Jadi, beliau akan mainkan peranan untuk kerusi Parlimen Tanjung Piai dikekalkan kemenangan kepada PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, di sini, yang turut dihadiri Pengarah Bomba Johor Datuk Yahaya Madis.

Ditanya jika Norma ataupun terdapat wanita lain bakal dicalonkan bertanding PRK itu, Zuraida yang juga Naib Presiden KEADILAN mengalu-alukannya kerana Johor memerlukan ramai wakil rakyat wanita dari PAKATAN.

“Kerusi ini (Parlimen Tanjung Piai) milik Bersatu. Saya serahkan kepada Bersatu untuk mereka memikirkan calon yang layak.

“Kalau ada ruang dan peluang, saya alukan (calon wanita) dan akan jadi faktor tambahan untuk kemenangan,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 2 November.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gerakan umum bertanding PRK Tanjung Piai

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai hari ini mengumumkan parti itu akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor bulan depan.

“Jawatankuasa pusat Gerakan juga telah memutuskan supaya timbalan presiden parti Oh Tong Keong dilantik sebagai Pengarah Jentera Gerakan PRK itu, manakala Senator Teo Kok Chee akan mengetuai bilik gerakan parti itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil Tanjung Piai di Johor diadakan pada 16 November manakala hari penamaan calon ditetapkan para 2 November.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lalu, akibat mengalami komplikasi jantung.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BN umum calon PRK Tanjung Piai lepas PH

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sekurang-kurangnya seminggu sebelum hari penamaan calon pada 2 November ini.

Setiausaha Aguna UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kepimpinan BN dalam proses menyenarai pendek senarai calon dari parti-parti komponen.

“Mungkin 26 atau 27 Oktober atau kita tunggu Pakatan Harapan (PH) umumkan calonnya terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, semalam.

Semasa ditanya parti komponen mana yang akan bertanding di kerusi parlimen yang sebelum ini ditandingi oleh parti MCA, Annuar berkata, pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membuat keputusan muktamad nanti.

Pilihan raya kecil Tanjung Piai di Johor akan diadakan pada 16 November manakala hari penamaan calon ditetapkan para 2 November.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lepas, akibat mengalami komplikasi jantung.

Sementara itu, Annuar berkata, pihak pembangkang tidak akan membentangkan bajet alternatif pada tahun ini.

“Pembangkang tidak perlu bentang bajet tiap-tiap tahun, tetapi kita cuma bentang dasar tahun lepas dan dasar itu kekal, tetapi jika ada keperluan kita akan bentang tahun depan,” katanya.

Belanjawan 2020 dijadual dibentang di Parlimen hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahmad Zahid bayang letak calon UMNO di Tanjung Piai

JOHOR BAHRU, 5 OKT: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, memberi bayangan parti itu bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November depan.

Berucap merasmikan Konvensyen UMNO Johor, di sini, hari ini, Ahmad Zahid berkata, pengundi Melayu di kawasan berkenaan mahukan perubahan di kawasan tersebut.

“Ya, kerusi tradisi adalah kerusi MCA. Kita tahu bahawa 56.9 peratus atau hampir 57 peratus daripada pengundi Tanjung Piai adalah orang Melayu.

“UMNO dan orang Melayu di Tanjung Piai mahukan perubahan. Namun, MCA juga mahu mengekalkan tradisinya. Tidak ada sesuatu yang mustahil, jika MCA dapat berbesar hati, MCA dapat berlapang dada kan,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ditanya pemberita maksud di sebalik MCA perlu berlapang dada itu selepas majlis perasmian berkenaan, Ahmad Zahid berkata: “MCA sentiasa berlapang dada sama seperti MIC di PRK Cameron Highlands,”

Ahmad Zahid dalam ucapannya, turut mengumumkan Hasni sebagai Pengarah Pilihan Raya PRK Tanjung Piai manakala Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai Datuk Jefridin Atan sebagai Pengarah Operasi.

PRK Parlimen Tanjung Piai yang merupakan PRK kesembilan selepas PRU-14 diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas, berikutan komplikasi jantung.

Pada PRU-14, Dr Md Farid yang merupakan seorang pakar bius dan Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak main isu perkauman pada PRK Tanjung Piai

POKOK SENA, 3 OKT: Semua pihak diminta mengelak daripada memainkan isu perkauman dalam kempen Pilihanraya Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan bulan depan, bagi memelihara kesejahteraan rakyat berbilang kaum negara ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar berkata, politik yang berteraskan perkauman akan meretakkan teras perpaduan nasional yang telah dibina selama ini.

“Bagi saya tidak ada masalah kalau memihak kepada pembangkang sebab masih kekal kerajaan yang ada untuk memerintah, apa yang penting bagi saya ialah semua pihak harus menghindarkan isu-isu yang akan merosakkan hubungan antara kaum.

“Kita kena memperlihatkan kematangan dalam kita berpolitik, memainkan isu-isu yang boleh membawa kerenggangan hubungan antara kaum adalah tidak baik dalam pertumbuhan ekonomi negara kita.

“Ini juga akan menjejaskan penghormatan dunia kepada Malaysia yang dilihat mempunyai keunikan kerana kepelbagaian latar belakang agama, bangsa, warna kulit yang boleh hidup dalam suasana harmoni dan ini satu keunikan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Newspaper-in-Education (NiE) anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Star Media Group di Sekolah Menengah Kebangsaan Jabi di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mahfuz yang juga Anggota Parlimen Pokok Sena turut mengakui Pakatan Harapan (PH) akan menerima cabaran yang sengit pihak pembangkang dalam usaha menawan semula Parlimen Tanjung Piai.

“Kita akan terus bekerja walaupun sukar dan kita perlu bergerak memberikan input atau maklumat yang lebih jelas kepada masyarakat dan saya percaya rakyat mahukan kelangsungan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov ini manakala tarikh penamaan calon ditetapkan 2 Nov serta pengundian awal akan diadakan pada 12 Nov.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Calon mesra rakyat antara faktor menang PRK Tanjung Piai

KULAI, 29 SEPT: Faktor calon yang sesuai disifatkan antara faktor yang boleh menentukan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai, kata Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Beliau berkata, siapapun calon yang dipilih, PKR Johor bersedia memberi kerjasama dan sokongan penuh kepada calon daripada Pakatan Harapan (PH) yang dipilih untuk bertanding di Tanjung Piai nanti.

“Saya tidak tahu siapa yang akan mengisi kerusi itu sehingga PH bermesyuarat. Tunggu apa akan berlaku dan siapa juga yang akan mengisi kerusi itu daripada mana-mana parti, kita sedia membantu. Kita tunggu PH bermesyuarat nanti baru kita tahu, saya pasti akan ada sidang akhbar selepas itu.

“Saya tidak mahu cakap sama ada ada keyakinan atau tidak untuk menang kerana itu terletak kepada pengundi dan calon.

“Lagipun calon pun tidak ada lagi dan terlalu awal tetapi yang penting kita kena buktikan kepada rakyat kita bersedia untuk bekerja dan tunjuk report card (prestasi) kita selama setahun,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Bantuan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam 2019 di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, satu mesyuarat melibatkan semua ketua cabang PKR Johor bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berlangsung esok di Kuala Lumpur manakala mesyuarat bersama semua pemimpin Pakatan Harapan Johor yang diketuai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dijadual berlangsung Jumaat hadapan di Pagoh.

Puah turut menyifatkan Ahli Parlimen Tanjung Piai iaitu Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik telah meletakkan satu aras yang tinggi memandangkan Dr Md Farid seorang yang profesional dan muda, justeru calon yang akan bertanding nanti harus setanding dengan calon sebelumnya.

“Arwah sudah letak aras yang tinggi jadi calon untuk PH kena cari orang yang mesra rakyat dan sedia berkhidmat dan kalau boleh, seorang yang dalam golongan muda serta calon tempatan yang boleh faham isu rakyat,” katanya ketika ditanya mengenai keyakinan PH untuk mengekalkan kerusi Parlimen itu.

Mengulas mengenai calon Barisan Nasional (BN), beliau berkata ia sesuatu yang ditunggu memandangkan beliau percaya BN akan meletakkan calon dari gabungan UMNO-PAS untuk bertanding dalam PRK itu nanti.

“Ia amat menarik mengenai siapa akan mewakili BN kerana sehingga sekarang, Presiden MCA Wee Ka Siong tidak pula berkata kerusi itu milik MCA, suatu yang amat pelik. Dalam sejarah hanya MCA selalu bertanding di sana tetapi beliau tidak pernah berkata kita akan pertahankan, MCA Johor tak sebut, BN pun tak sebut.

“MCA Tanjung Piai cuma kata kalau saya bersedia tetapi di pihak lain UMNO Tanjung Piai kata sedia bertanding dan Presiden UMNO kata bersedia nak bertanding jadi ada sesuatu yang tidak kena jadi pada pandangan saya MCA tak akan bertanding,” kata beliau.

“UMNO akan gunakan muafakat dengan PAS untuk menguji keadaan jadi kemungkinan besar ia calon daripada UMNO kerana cara mereka (MCA) mengendalikan isu ini nampak mereka tidak akan letak calon,” katanya.

Kerusi Parlimen berkenaan kosong setelah kematian mengejut Dr Md Farid pada 21 September berikutan komplikasi jantung.

Dalam perkembangan berlainan, Puah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan & Utiliti negeri yakin projek Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS) yang ditangguh sebulan lagi akan diteruskan.

Katanya, beliau percaya penangguhan RTS selama sebulan hanya untuk menyelesaikan isu teknikal.

“Saya masih yakin RTS akan diteruskan, saya beranggapan positif susulan penangguhan itu kerana ia hanya sebulan dan bukannya enam bulan lagi. Saya percaya mereka sedang berusaha menyelesaikan beberapa isu teknikal jika tidak sudah tentu mereka akan menamatkannya dan mungkin ini berhubung kadar tambang, apakah kadar ideal itu, jadi saya lihat secara positif dan orang awam juga patut lihat secara positif.

“Kita masih ambil pandangan RTS amat-amat diperlukan di Johor dan berharap Kerajaan Persekutuan boleh faham dengan sentimen ini dan bekerjasama dengan kita,” katanya yang menambah isu RTS mungkin akan dibangkitkan ketika PRK Tanjung Piai memandangkan sebahagian masyarakat di sana bekerja di Singapura.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: PAKATAN fokus perkasa rakyat, tolak kempen perkauman

KOTA BHARU, 26 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan memberi fokus kepada usaha menaikkan taraf hidup masyarakat sebagai teras kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salehuddin Ayub berkata, dalam masa yang sama PAKATAN juga akan menolak sebarang kempen berteraskan idelogi perkauman dan agama yang sempit.

“Kita akan terangkan kepada rakyat mengenai dasar-dasar yang dibuat PAKATAN terutama mengenai program-program untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

“Kita sesekali tidak akan membawa politik perkauman dan agama yang semput dan dalam masa yang sama kita menggalakkan rakyat bersederhana (dalam bermain politik),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi dan memberi sumbangan peralatan kepada peserta Rezeki Tani, Nor Asiah Ali, 48, di Sungai Keladi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Salehuddin berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal pada Ahad ini bagi membincangkan strategi yang akan digunakan PAKATAN pada PRK berkenaan.

“Semalam juga telah diadakan mesyuarat di peringkat Amanah untuk membincangkan perkara berkenaan dan saya telah mengarahkan Amanah Johor untuk bersiap-siaga bagi menghadapi PRK Tanjung Piai,” katanya.

Ditanya adakah PAKATAN bakal menerima cabaran selepas UMNO dan PAS menandatangani piagam pada 14 September lalu, Salahuddin berkata Amanah sedia berhadapan dengan gabungan baharu itu.

Penyandang Parlimen Tanjung Piai yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia pada Sabtu lepas akibat serangan jantung.

Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 524 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan bahawa mesyuarat khas akan diadakan pada 1 Oktober ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK Parlimen Tanjung Piai.
— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR tinjau pusat mengundi, penamaan PRK Tanjung Piai

JOHOR BAHRU, 24 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini meninjau beberapa sekolah dan pusat untuk dijadikan pusat pengundian dan penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai akan datang.

Pengarah SPR negeri Shafie Taib berkata, ia sebahagian daripada persediaan awal suruhanjaya itu menjelang satu Mesyuarat Khas SPR Selasa depan.

“Kita meninjau beberapa sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Serkat, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Kukup dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bin Chong iaitu tiga daripada 27 sekolah yang terlibat sebagai pusat pengundian.

“Kita juga meninjau Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian, iaitu antara tempat cadangan untuk diwartakan sebagai pusat penamaan calon,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Terdahulu, tinjauan hari ini turut disertai Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, Pegawai Daerah Pontian Zulkifly Mohd Tahir, Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mustafa Bakri Salleh dan Pegawai Pendidikan Daerah Pontian Shaharudin Basri Ibrahim.

Menurut Shafie, aspek keselamatan, kemudahan dan keselesaan pengundi serta logistik ialah antara aspek penting dalam persiapan menghadapi PRK Tanjung Piai, melibatkan 125 saluran mengundi.

Semalam, Mohamed Elias dilaporkan sebagai berkata Mesyuarat Khas pada 1 Okt itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting bagi pelaksanaan PRK Tanjung Piai.

Mesyuarat Khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun pada pukul 10 pagi di Ibu Pejabat SPR, Menara SPR, Putrajaya.

Kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai adalah berikutan kematian ahli parlimennya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada Sabtu lepas berikutan komplikasi jantung.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang meninggal dunia pada umur 42 tahun, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Md Farid yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai, memenangi kerusi berkenaan dengan menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (Barisan Nasional) dan Nordin Othman (PAS).

Dr Md Farid memperoleh 21,255 undi diikuti Wee dengan 20,731 undi dan Nordin dengan 2,962 undi.

-BERNAMA