Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Kuis rancang pengajian secara maya, jimat kos pelajar

SHAH ALAM, 7 JAN: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) merancang memperkenalkan konsep pembelajaran terbuka dan secara jarak jauh (ODL) yang membolehkan pelajar mengikuti sepenuhnya pengajian tanpa hadir ke kampus.

Rektornya Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata langkah menerokai kaedah baharu itu susulan kecanggihan teknologi pada masa kini yang membolehkan sesi pengajian dapat diikuti di mana sahaja seperti terbukti ketika penularan Covid-19.

Jelasnya, menerusi ODL segala proses dijalankan sepenuhnya secara dalam talian bermula dari pendaftaran, menghantar tugasan serta menyiapkan projek akhir untuk menamatkan pengajian.

“Contohnya ada pelajar Kemboja minat belajar di Kuis tetapi ada kekangan seperti tidak mampu membayar kos sara hidup di sini, mereka boleh ikuti pembelajaran dalam talian.

“Kita turut sasar kaedah baharu itu membabitkan pelajar dalam Malaysia dan Selangor, dapat jimatkan kos seperti sewa rumah yang perlu dibayar pelajar jika mereka datang ke sini,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Farid berkata pihaknya juga merancang untuk mewujudkan tabung amanah untuk membantu mengubah kehidupan asnaf dari dalam dan luar negara dengan belajar di Kuis.

Bagi tujuan itu, beliau berkata Kuis menjemput syarikat berkaitan kerajaan milik Kerajaan Selangor dan pusat untuk membantunya sebagai satu amal jariah.

“Bayangkan amal jariah kita lakukan itu dapat membantu asnaf contohnya dari Burma (Myanmar) belajar di Kuis dan akhirnya memajukan negaranya,” katanya.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Dr Mohd Farid Ravi dilantik rektor baharu, mahu Kuis jadi universiti penuh

SHAH ALAM, 7 JAN: Membantu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) mendapat pengiktirafan sebagai universiti penuh, antara visi Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah yang dilantik sebagai rektor kolej tersebut berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Mohd Farid berkata pihaknya menyasarkan untuk menerima status berkenaan pada tahun ini yang bakal memanfaatkan institut pengajian tinggi Islam milik Majlis Agama Islam Selangor (Mais) itu terutama dalam menarik lebih ramai pelajar antarabangsa.

Jelasnya, status itu juga akan membolehkan aktiviti akademik meliputi pengajian, penyelidikan, penulisan, penerbitan jurnal dan artikel berimpak tinggi dapat dilaksanakan termasuk dengan kerjasama penyelidik dari luar negara.

“Kakitangan akademik Kuis juga berpeluang untuk meningkatkan diri dan naik pangkat kepada Prof Madya.

“Pengiktirafan Kuis sebagai universiti penuh ini akan mengangkat martabat bidang pengajian tinggi Islam di Selangor dan dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi di sini.

Penerima Anugerah Khas Imam Al-Ghazali peringkat Selangor 2015 itu memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Kuis pada 2000 dan memegang pelbagai jawatan antaranya eksekutif pusat Islam, pengarah pusat pengurusan penyelidikan, timbalan rektor hal ehwal pelajar dan alumni dan pemangku rektor.

Mohd Farid turut menyatakan penghargaan terhadap perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan sokongan Mais terhadap pelantikannya sebagai rektor Kuis menggantikan Prof Dato’ Ab Halim Tamuri.