Categories
AGENDA NASIONAL

Polis guna khidmat profesional kenal pasti suspek conteng mural

SEPANG, 4 OGOS: Polis akan menggunakan khidmat profesional bagi mengenal pasti suspek yang dirakam dalam insiden menconteng mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata kualiti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang rendah di tempat kejadian, menyukarkan pihak polis untuk mengenal pasti suspek.

Beliau berkata kes itu masih dalam siasatan, dan ia mengambil masa yang agak lama kerana rakaman CCTV di kawasan itu tidak banyak, selain keadaan persekitaran semasa insiden itu yang gelap.

“Bila kita zoom (rakaman CCTV), gambar tu pecah, jadi kita akan hantar (rakaman) kepada pihak profesional untuk mendapatkan imej yang lebih jelas,” katanya kepada media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA dan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Selangor, hari ini.

Majlis hari ini menyaksikan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Selangor ACP Imran Abdul Rahman kini diberi tanggungjawab menggalas jawatan Ketua Polis KLIA, manakala penyandang ACP Zulkifli Adamshah berpindah mengisi jawatan yang ditinggalkan Imran, berkuat kuasa hari ini.

Pada 20 Julai lepas, satu rakaman CCTV yang memaparkan kelibat dua wanita dipercayai dalang merosakkan mural berkenaan, menjadi tular di media sosial.

Susulan perbuatan vandalisme itu, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam mengambil tindakan memadamkan semua mural dengan mengecat semula dinding itu.

Dalam perkembangan lain, Noor Azam berkata semalam polis Selangor mengeluarkan 29 kompaun berkaitan kegagalan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 18 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak mematuhi penjarakan fizikal serta melakukan aktiviti terlarang, manakala 11 kompaun atas kesalahan tidak menggunakan pelitup muka di tempat tumpuan awam,” katanya.

“Antara aktiviti terlarang yang dikesan adalah seperti aktiviti di pusat hiburan, selain restoran yang tidak mematuhi SOP,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Abdul Khalid profesional, kepentingan rakyat jadi keutamaan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 JUL: Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan semua pihak asalkan membawa manfaat dan kebaikan kepada Selangor dan rakyat di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri juga tidak keberatan menjalin kerjasama baik dengan Barisan Nasional (BN) demi rakyat negeri itu atas prinsip berkenaan.

MB di Konvensyen Migrasi Air 5aKatanya, perbezaan politik tidak wajar dijadikan halangan seterusnya membantutkan peluang rakyat mendapat manfaat dengan latar belakang korporat dan profesional yang beliau miliki.

“Saya akan bekerjsama dengan orang Jepun, Korea, BN dan sesiapa sahaja untuk kebaikan negeri. Dalam kerjasama itu, ada perkara yang kita akan setuju, ada perkara tidak setuju, semuanya berasaskan kepada kepentingan rakyat,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Konvensyen Migrasi Meter Individu di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK, di sini, yang turut dihadiri Exco Perumahan, Iskandar Abdul Samad.

Beliau ditanya kritikan rakannya dalam Paarti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat (PR) yang tidak senang dengan pendekatannya yang disifatkan mesra BN.

MB di Konvensyen Migrasi Air 2aMengulas lanjut, Abdul Khalid bagaimanapun berkata, beliau tidak akan membuta tuli mengikut rentak pihak lain dan akan sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat.

“Sama seperti pemberian bonus baru-baru ini, saya beri sebulan gaji, BN beri RM 500 sahaja. Kalau saya ikut dia, saya pun akan beri RM500 tetapi saya mengikut keputusan sendiri berdasarkan kemampuan negeri,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

EKSKLUSIF SIRI 1 – Malaysia paling ramai pembunuh ‘semi-profesional’

siri 1SHAH ALAM 5 NOV : Kejadiaan pembunuhan menggunakan senjata api dilihat semakin menjadi tren dan pilihan masyarakat masa kini sama ada sebagai kerjaya atau sekadar meraih kepuasan diri.

Hampir setiap hari, negara dikejutkan dengan pelbagai insiden tembakan yang menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat berkenaan tahap keselamatan mereka.

Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar, berkata terdapat tiga jenis pembunuh upahan yang dikenalpasti di negara ini antaranya tidak matang (kes perbalahan, cemburu), semi-profesional (dendam, dengki) dan profesional (bunuh tanpa kesan).

Katanya, kebanyakan pembunuh upahan di Malaysia adalah di kalangan semi-profesional yang banyak dilakukan di kawasan awam seperti di lampu isyarat atau kedai makan.

“Pembunuh upahan golongan ini biasanya dapat dikesan pihak polis. Kalau pihak berkuasa tidak ambil tindakan drastik, mereka boleh bertukar kepada penembak profesional yang bertindak membunuh mangsa tanpa kesan dan hal ini yang kita bimbang,” katanya kepada Portal Selangor Kini, di sini, semalam.

Katanya, kejadian pembunuhan menggunakan senjata api dipercayai berleluasa disebabkan perebutan kuasa kongsi gelap untuk mengawal kawasan dan tidak terkecuali didorong sifat dendam.

Beliau berkata, undang-undang sedia ada juga tidak dijamin keberkesanannya jika penguatkuasaan kerajaan tidak diperketatkan.

“Setiap undang-undang adalah baik tetapi penguatkuasaan dan kerjasama orang ramai diperlukan untuk membanteras kes jenayah seperti ini. Orang ramai perlu membantu polis dengan melaporkan kegiatan atau sesiapa yang disyaki terbabit dalam kes jenayah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen, berkata masalah jenayah harus ditangani secara holistik dan bukan tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang sahaja.

Beliau berkata, aspek ekonomi juga harus diberi perhatian serius seperti penguatkuasaan undang-undang dalam mengekang kes jenayah di negara ini.

“Andaikan seorang penjenayah melakukan rompakan bersenjata setiap hari, negara bakal menyaksikan 365 kes jenayah sepanjang tahun. Bayangkan kalau 10,000 penjenayah dengan komitmen sama, jadi berapa banyak anggota polis diperlukan untuk tangani masalah ini,” katanya.

Wong Chen berkata, beliau menggesa kerajaan pusat bersikap lebih prihatin dengan pengurusan pentadbiran lebih cekap dalam memberi suasana ekonomi yang lebih baik kepada rakyat dengan mengambil kira desakan ekonomi semakin merunsingkan.

“Penjenayah di negara ini seakan komited menjadikan jenayah sebagai satu kerjaya tetap sehingga sanggup menyeludup senjata api dari negara jiran,” katanya.

-NFN-

*Siri 2 bakal menyusul esok, 6 Novemmber 2013*