TANJUNG SEPAT, 1 NOV: Aktiviti membersihkan kawasan Pantai Batu Laut di sini daripada sampah sarap menjadi sebahagian inisiatif bagi mengindahkan kawasan pelancongan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat Borhan Aman Shah berkata pembersihan kawasan tepi pantai juga penting dalam memelihara alam sekitar.
“Alhamdulillah, walaupun ditangguh tahun lalu kita berjaya melaksanakan Program Batik Plogging atau pembersihan pantai tahun ini dengan menguar-uarkan menerusi masjid dan juga poster.
“Terima kasih kepada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dan penduduk setempat serta luar yang menjayakan program ini,”katanya ketika ditemui selepas program semalam.
Sementara itu, Borhan yang juga EXCO Kebudayaan dan Warisan berkata pemilihan batik sebagai konsep program ini adalah bertujuan menaikkan elemen pakaian tradisional.
“Kita minta peserta memakai kain batik mengikut kreativiti masing-masing sebagai lambang mengagumi seni pengeluaran fabrik itu,”katanya.
Terdahulu program yang disertai lebih 100 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat itu turut disertai Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.