Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA perkenal program kucing angkat, tingkat kesedaran pelihara haiwan terbiar

SHAH ALAM, 14 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Program Kucing Angkat membabitkan 15 ekor haiwan itu bersempena dengan Hari Tanpa Kenderaan edisi bulan ini, bertempat di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 di sini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata daripada jumlah itu, sebanyak empat ekor kucing menerima pemilik baharu pada Ahad lalu.

“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran penduduk setempat dan menggalakkan kerjasama secara berterusan daripada semua pihak untuk bersikap lebih bertanggungjawab kepada haiwan peliharaan demi untuk persekitaran yang bersih dan selamat.

“Selain itu, ia juga merupakan platform untuk meningkatkan kesedaran terhadap pemilikan haiwan secara bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua kucing terbabit ditangkap oleh pihak MBSA di beberapa kawasan seperti pasar dan gerai.

“Sebelum diserahkan kepada pemilik baharu, semua kucing itu sudah divaksin dan menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Katanya, MBSA turut mendapat kerjasama daripada iVET Medical Centre Shah Alam (iVET Petcare) dan tajaan makanan dari Nazwan Resources Sdn. Bhd bagi menjayakan program itu.

Categories
PBT SELANGOR

Program Kucing Angkat MBSA Ahad ini

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 6 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjemput orang ramai khususnya di bandar raya ini hadir ke Program Kucing Angkat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, Ahad ini.

MBSA dalam kenyataan di media sosial memaklumkan, program diadakan sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan bermula jam 8.30 hingga 11 pagi.

“Program ini menawarkan 20 ekor kucing untuk diambil sebagai kucing angkat.

“Semua kucing ini telah dimandul serta divaksin dan pengunjung hanya perlu membawa ‘carrier’ sendiri,” katanya.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata, bayaran dikenakan bagi seekor kucing hanya RM30 sahaja.