Categories
SELANGOR

MBPJ Bantu Golongan Kurang Berkemampuan Beli Barangan Sekolah

SUBANG JAYA, 13 DIS : Riak kegembiraan jelas terpancar pada wajah golongan kurang berkemampuan apabila terpilih menerima baucer membeli belah barangan persekolahan berjumlah RM200 setiap seorang.

Dikesempatan ini dimanfaatkan sepenuhnya penerima dan ibu bapa bagi membuat persediaan sesi persekolahan 2013 yang bakal bermula Januari depan.

Fatimah Abdul Mulup, 41, berkata pemberian ini nyata meringankan bebanan beliau berhadapan sesi persekolahan kali ini.

“Semua lengkap di sini. Peralatan persekolahan banyak. Senang untuk kita membuat pilihan. Terima kasih juga kepada MBPJ diatas keprihatinan mereka,” katanya yang merupakan ibu kepada Nurzulaiha Sarudin.

Bagi Norsham Mat Sani, 49, ibu kepada Nurul Shuffira Ezurin Azmi, 15, pemberian ini nyata meringankan bebanan beliau yang mempunyai pendapatan sekitar RM700 sebulan dan bekerja sebagai pembantu kebersihan

“Alhamdulillah pemberian ini dapat membeli barangan sekolah. Ayah dia (Shuffira) pun sakit. Kita berterima kasih kepada MBPJ,” katanya.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meneruskan keprihatinan terhadap nasib golongan yang kurang berkemampuan menerusi program Pembasmian Kemiskinan Bandar ‘Jom Shopping’ Peralatan Sekolah.

Dengan sumbangan berjumlah RM14,000, seramai 70 orang penerima bantuan ini berpeluang membelanjakan baucer tersebut untuk membeli peralatan sekolah seperti uniform sekolah, kasut dan alat tulis.

Sementara itu, menurut Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria, antara objektif pemberian sumbangan ini ialah untuk meringankan bebanan penduduk yang tidak berkemampuan dengan pendapatan RM1,500 kebawah serta mempunyai tanggungan anak bersekolah dan masih kecil melebihi empat orang.

Bertempat di Hypermarket Mydin USJ Subang Jaya program ini dianjurkan untuk kali kedua dan dijadikan program tahunan MBPJ.

“Di samping itu juga, ia merupakan salah satu tanggungjawab dan sumbangan khidmat sosial daripada MBPJ kepada komuniti setempat di bawah pentadbirannya,” katanya.

Jelasnya, kesemua penerima sumbangan ini merupakan penduduk yang berdaftar di bawah. Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang berada di kawasan pentadbiran MBPJ iaitu PPR Kota Damansara, PPR Lembah Subang, Petaling Jaya Selatan (PJS), Desa Mentari dan Impian Baiduri.

Categories
SELANGOR

MB : Pembenihan Awan Sekiranya Air Surut Di Empangan

SUBANG JAYA, 7 OKT : Kerajaan Negeri akan melakukan pembenihan awan bagi mengalakkan hujan sekiranya bacaan air di empangan Sungai Selangor berada di bawah tahap 50 peratus.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya akan menjalankan kajian dan keputusan untuk pembenihan awam
akan dibuat selepas tempoh 22 hari bermula Okt 4.

Menurutnya, pemantauan berhubung perkara itu akan dilakukan oleh Lembaga Urusan Air Selangor (Luas) dan Jabatan Meteorologi.

“Kita sudah tahu keadaan itu dan kita sudah buat beberapa program dan kajian bagi mengatasinya. Sebelum ini pernah dibuat di Johor yang mana empangan sungai menghadapi keadaan air surut.

“Kita belum tetapkan tetapi dari kajian kita dalam keadaan ini tidak perlu lagi berasa cemas. Ada lebih kurang 75 ke 90 hari kalau tiada hujan baru kita perlukan untuk melakukan tindakan itu.

?Bagaimanapun keputusan exco negeri ialah untuk melakukan dalam masa 22 hari,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) 2012 MPSJ di sini hari ini.

Baru-baru ini laporan media menyatakan paras air di empangan Sungai Selangor berada pada tahap bawah 50 peratus.

Bagaimanapun, Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu yang hadir dalam sidang media itu menyatakan bacaan yang dicatatkan di empangan tersebut tiga hari lalu ialah 56 peratus.