Categories
AGENDA NASIONAL

Timbalan menteri saran pekerja diberi cuti tujuh hari hadir program belia

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Golongan belia yang bekerja di agensi kerajaan atau syarikat swasta di dalam negara wajar diberi peruntukan cuti tujuh hari supaya dapat menghadiri program dan kursus kebeliaan terutama yang bersifat kenegaraan, patriotisme dan perpaduan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata ini disebabkan kurang galakan kepada golongan belia masa kini untuk menghadiri program, berbanding pada masa dahulu apabila golongan itu mudah mendapat peruntukan cuti.

“Sebab itu kalau kita lihat dahulu program belia diberi ruang cuti oleh kerajaan tetapi hari ini makin kurang. Begitu juga kesusahan belia untuk mencari peruntukan kewangan.

“Jadi kalau boleh kita kembalikan seperti cuti tujuh hari kepada belia yang bekerja dengan kerajaan atau swasta tanpa potong gaji supaya dapat menghadiri aktiviti belia terutama berkaitan program kenegaraan, patriotik dan dapat menyemarakkan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Malam Deklamasi Puisi Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2020 malam tadi.

Terdahulu, Zahidi dalam ucapan perasmiannya berkata banyak pengorbanan dan sumbangan daripada golongan belia kepada negara terutamanya ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Apabila kita lihat golongan belia ini, kerajaan boleh bergantung harap, contoh apabila Covid-19, maka ramai belia (berada) di barisan hadapan. Bukan sahaja (pasukan) polis, tentera kesihatan dan barisan media, tetapi juga golongan belia,” katanya.

Program itu menyaksikan persembahan deklamasi oleh 14 pemuisi daripada ahli MAYC di seluruh negara. Turut hadir ialah sasterawan negara Prof Dr Lim Swee Tin yang turut mempersembahkan puisi beliau.

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

DUN Sentosa anjur program kesihatan payudara

SHAH ALAM, 18 OGOS: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menganjurkan program Pemeriksaan Ujian Payudara (i-Breast Exam Screening) secara percuma Sabtu ini.

Ahli dewan negerinya, Dr G Gunaraj berkata program dengan kerjasama UE LifeSciences dan APBio itu terhad kepada 50 wanita berusia 21 tahun ke atas.

“Kita mengalu-alukan semua wanita di DUN Sentosa daftar dan sertai program bermanfaat ini. Taklimat kesedaran mengenai penjagaan dan kesihatan payudara turut diadakan sebelum mereka melakukan ujian saringan,” katanya kepada SelangorKini.

G Gunaraj berkata program tersebut diadakan dua sesi (9 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 1 tengah hari hingga 4 petang) demi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pandemik Covid-19.

Mereka yang berminat masih boleh mendaftar dengan hubungi 012-293 6667 atau mengisi maklumat diri secara dalam talian menerusi pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSfTIuqTErLTbURVtWPO9wMe5A2nXTWczos8C2nmjBPyEf5OEw/closedform.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PEKAWANIS komited laksana program manfaat untuk rakyat 2017

OLEH SYASYA SUFIAN

GOMBAK, 16 DIS: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) terus komited membantu golongan sasaran menerusi pelbagai program dianjurkan bagi tahun hadapan.

img_20161216_115532_011Pengerusinya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, pihaknya terus merangka pelbagai program kebajikan khususnya bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Awal tahun depan kita merancang untuk menjalankan program sumbangan sempena Tahun Baru Cina dan ia akan diteruskan untuk perayaan ain tanpa mengira bangsa dan agama.

“Objektif utama PEKAWANIS adalah untuk membantu semua kaum di Selangor dengan memberi bantuan yang dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Kembali Ke Sekolah 2017 bagi Parlimen Gombak, DUN Bukit Antarabangsa dan Batu Caves di Pusat Khidmat Rakyat YAB DS Mohamed Azmin Ali, Taman Melawati, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, PEKAWANIS juga akan menganjurkan pelbagai program untuk wanita, remaja dan program kesihatan.

“Paling penting, setiap program yang dirangka harus bermanfaat untuk semua rakyat Selangor khususnya,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Program menarik sekitar PJ erat silaturrahim

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 18 SEP: Penuhi aktiviti hujung minggu dengan menyertai pelbagai program menarik yang dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi mengeratkan silaturrahim masyarakat.

Atas inisiatif itu, MBPJ akan menganjurkan Pertandingan Renang Pesta Makanan dan Permainan dengan kerjasama Kelab Renang Stingray bertempat di Kolam Renang MBPJ, Kelana Jaya, pada 19 September ini

12032048_903513063017198_4770661608181697636_nPertandingan akan bermula jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang terbuka kepada semua orang khususnya warga Petaling Jaya.

Sementara itu, Program Semarak Malaysiaku pula akan berlangsung di Pusat Generasi Muda, Kompleks Arena Petaling Jaya, bermula seawal jam 7.00 pagi, pada 20 September ini.

Antara aktiviti menarik yang ditawarkan adalah Walkathon 4km, program masak ‘Cut & Cook’, permainan rakyat, bengkel kretiviti grafiti, wall climbing, kreativiti seni reka cipta, floor ball dan first run skate.

-NFN-