SHAH ALAM, 5 JULAI: Pusat pemberian vaksin (PPV) yang melibatkan pengamal perubatan swasta dibuka di Sabak Bernam hari ini, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menerusi Facebook, kementerian memaklumkan pusat vaksin yang dikendalikan anak syarikatnya, ProtectHealth Corporation berusaha mempercepatkan imuniti kelompok di negara ini.
“PPV Daerah Sabak Bernam mula beroperasi hari ini dengan kapasiti harian 1,000 dos. Ia bagi memanfaatkan penduduk sekitar dan tambahan kepada PPV sedia ada kendalian KKM,” katanya.
Di bawah kerjasama awam dan swasta, KKM membuka beberapa PPV di kawasan luar bandar termasuk di Selangor.
Pada 30 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 1,254 PPV terlibat menjayakan program Vaksin Selangor (Selvax).
Katanya, jumlah itu merangkumi pembukaan PPV mega (lima), PPV dewan komuniti (enam), PPV Klinik Selcare (15) dan PPV klinik panel (1,228) akan mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok.