Categories
AGENDA NASIONAL

Proton gesa pemilik Perdana 2012-2018 tukar beg udara

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Proton Holdings Bhd (Proton) memohon kerjasama pemilik kereta Perdana yang dibina pada 2012-2018 untuk menukar beg udara Takata di pusat servis berhampirannya dengan seberapa segera.

Bagaimanapun, arahan itu tidak membabitkan kereta Perdana yang dikeluarkan selepas 31 Ogos 2018.

Dalam kenyataan hari ini, pengeluar kereta nasional itu berkata servis baik pulih berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif global untuk kereta-kereta yang dilengkapi dengan beg udara Takata.

Semua tindakan yang diambil itu adalah selaras dengan Laporan Maklumat Kerosakan (DIR) dikeluarkan oleh Pentadbiran Keselamatan dan Traffik Lebuh Raya Kebangsaan Amerika (NHTSA) mengenai penggantian inflator beg udara bukan kering.

Berikutan itu, pihak Proton telah memulakan proses penggantian berkenaan sejak Januari 2019.

“Sebanyak 6,342 kereta terjejas dan setakat 18 Ogos 2020, pusat servis kami telah melakukan penggantian untuk sejumlah 5,625 unit atau 87.5 peratus daripada jumlah keseluruhannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah.

Menurutnya, Proton juga menegaskan bahawa proses itu tidak melibatkan mana-mana model lain keluarannya berikutan pembekal beg udara yang berbeza.

“Keselamatan pelanggan amat penting untuk Proton. Bagaimanapun, kami tidak dapat menghubungi semua pemilik Perdana terbabit berikutan maklumat pemilik yang tidak lengkap.

“Oleh itu, kami ingin menyeru semua pemilik yang belum mengganti inflator beg udara mereka untuk menghubungi pusat servis kami untuk membuat janji temu segera dan penukaran ini hanya mengambil masa kira-kira satu jam dan tiada bayaran dikenakan,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi talian khidmat pelanggan Proton di 1-800-888-398 atau e-mel [email protected].

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kementerian Pengangkutan serius tangani isu beg udara Takata

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Kementerian Pengangkutan memandang serius isu beg udara Takata dan akan menghantar surat peringatan kepada pemilik kenderaan berkaitan bagi tujuan penukarannya.

Jurucakapnya berkata, kementerian berasa dukacita dengan reaksi orang ramai tidak memandang serius inisiatif diambil dalam usaha mencegah daripada kejadian maut beg udara Takata berulang kembali.

“Dari 26 Jun hingga 4 September lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghantar 408,551 pucuk surat peringatan kepada semua pemilik kenderaan berkaitan dan sepanjang tempoh surat peringatan sehingga ke hari ini, sebanyak 70,853 bilangan kenderaan dihantar ke bengkel syarikat pengeluar dan selesai urusan penukaran beg udara.

“Ini menunjukkan peratus orang ramai mengambil tindakan terhadap surat peringatan ini adalah sebanyak 17.43 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, pihak industri automotif terbabit dikehendaki mewujudkan Pelan Komprehensif Panggilan Semula Dan Stok Beg Udara.

“Pengeluar perlu meningkatkan keupayaan Pusat Servis dan penyediaan stok untuk memudahkan pemilik kenderaan memerlukan penukaran beg udara.

“Pihak industri juga dikehendaki untuk mewujudkan pelan promosi lebih efisien di mana syarikat pengeluar perlu memastikan komunikasi serta maklumat mengenai usaha ini sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Sementara itu, JPJ akan meneruskan ‘task force’ selama dua bulan lagi dengan membuat pemantauan terhadap status panggilan semula dan kesediaan stok.

“Bagi melancarkan tindakan gerak kerja ini, pengeluar dikehendaki menyediakan stok mencukupi dalam tempoh dua dan Honda bersetuju akan menghantar peringatan akhir kepada pelanggannya dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tukar beg udara, pengeluar kereta diberi tempoh setahun

PUTRAJAYA 6 JUN: Kerajaan memberi tempoh setahun kepada semua pengeluar kereta untuk membantu pemilik kenderaan yang masih belum menukar beg udara jenama Takata yang bermasalah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, terdapat 358,233 kereta dari lapan pengeluar dikenal pasti yang masih belum membuat pertukaran beg udara membabitkan 49 model kereta.

“Jumlah ini lebih tinggi daripada jumlah yang dianggarkan selepas saya membuat pertemuan dengan semua syarikat pengeluar kereta awal hari ini.

“Kami juga akan membuat integrasi maklumat antara JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) bersama syarikat pengeluar kereta bagi memastikan semua kereta yang mempunyai masalah beg udara diganti untuk mengelak kemalangan maut pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media di pejabatnya pada Selasa, lapor ASTRO AWANI.

Beliau pada masa sama menegaskan, tindakan notis dan saman yang bakal dikeluarkan kepada pemilik kenderaan adalah sebagai langkah drastik kerajaan untuk mengubah cara berfikir pengguna jalan raya di Malaysia.

“Kita nak orang sayang nyawa. Saman dan tidak boleh perbaharui cukai jalan merupakan langkah terakhir memandangkan isu ini amat serius,” tegasnya.

Sejak 2014, sebanyak 799,963 kereta telah dikenal pasti dan dipanggil pengeluar akibat mengalami masalah fungsi beg udara Takata, dan hanya 55.2 peratus daripadanya sahaja yang telah diganti.

SUMBER: ASTRO AWANI