Categories
AGENDA NASIONAL

Tarik lesen operasi, penjara pemilik pub ingkar arahan PKPP

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) disyor mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik pub dan kelab malam yang beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk mengheret mereka ke mahkamah dan menarik balik lesen operasi.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini memandangkan kesalahan ingkar PKPP melibatkan aktiviti di pub dan kelab malam terus merekodkan kesalahan tertinggi meskipun premis ini masih dalam senarai larangan beroperasi.

“Setiap hari tangkapan melibatkan aktiviti di kelab malam dan pub tinggi kerana premis-premis ini masih tersenarai dalam senarai yang dilarang beroperasi disebabkan sukar untuk mengawal penjarakan fizikal dan tatacara operasi piawai (SOP) yang lain.

“Saya sudah minta PBT kalau premis ini ada lesen kita minta agar lesen mereka ditarik dan tutup perniagaan… mungkin tindakan lebih keras boleh diambil dengan hadapkan mereka ke mahkamah untuk hukuman lebih berat seperti penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Kad Aku Janji Pematuhan SOP Covid-19 sempena Kempen Bulan Kebangsaan Perbadanan Nasional di sini hari ini.

Katanya, setakat ini belum ada perbincangan untuk membenarkan kelab malam dan pub kembali beroperasi.

Mengenai pemeriksaan pematuhan SOP premis perniagaan, Ismail Sabri berkata berdasarkan laporan harian yang diterima didapati tiada tangkapan dilakukan terhadap premis perniagaan berhubung pelanggaran SOP.

“Setakat hari ini, tidak banyak premis perniagaan diambil tindakan cuma ada yang berniaga lebih masa tetapi tiada tangkapan dilakukan maka saya anggap tiada tangkapan tentulah pematuhan dilaksanakan.

Bagaimanapun ramai yang masih keliru dari segi kedudukan di meja makan, setiap individu yang duduk di meja makan itu mesti ada penjarakan fizikal tidak kiralah besar mana meja tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri sekali lagi menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mengenakan kuarantin terhadap mereka yang pulang dari Sabah.

“Ia hanya akan dilakukan sekiranya negeri itu diisyiharkan sebagai Zon Merah… selagi seluruh Sabah tidak diisytiharkan sebagai Zon Merah selagi itu kita tidak perlu adakan kuarantin bagaimanapun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia akan buat kajian dari semasa ke semasa ikut pada jumlah kes berlaku,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tindakan mahkamah, batal lesen pemilik pub ingkar PKPP

PUTRAJAYA, 1 SEPT: Pemilik kelab malam dan pub yang beroperasi tanpa kebenaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bakal berdepan tindakan tegas termasuk dihadapkan ke mahkamah dan pembatalan lesen operasi, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata subsektor itu masih dikategorikan sebagai aktiviti yang dilarang sepanjang PKPP dan tindakan boleh diambil menurut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Susulan tangkapan individu ingkar PKPP bagi kesalahan aktiviti di kelab malam dan pub meningkat, Polis Diraja Malaysia akan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam semua serbuan dan pemeriksaan ke atas premis berkenaan, katanya dalam sidang media perkembangan PKPP di sini, hari ini.

“Sekiranya ada tangkapan dalam serbuan di kelab malam dan pub tanpa penglibatan PBT, senarai premis terbabit akan diserahkan kepada PBT,” katanya lagi.

Beliau berkata tindakan itu bagi membolehkan pembatalan lesen operasi premis terbabit.

Langkah ini dilihat perlu kerana masih ada pemilik pub dan kelab malam yang berdegil dan beroperasi tanpa kebenaran sekalipun tahu aktiviti perniagaan tersebut masih dilarang, katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan daripada 778 individu yang ditahan kerana ingkar PKPP semalam, 600 adalah bagi kesalahan aktiviti di kelab malam dan pub.

-BERNAMA