Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Dua wanita warganegara asing pulih, satu kes baharu dikesan

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Dua wanita warganegara asing masing-masing seorang rakyat China dan Amerika Syarikat yang disahkan positif Covid-19 pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar daripada wad hari ini, menjadikan jumlah kumulatif yang pulih sehingga kini, 22 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua-dua wanita berkenaan masing-masing dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan Sungai Buloh.

“Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan dua kes iaitu kes ke-16 dan kes ke-22 yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini pulih sepenuhnya.

“Kes ke-16 merupakan wanita warganegara China berumur 67 tahun manakala kes ke-22 ialah seorang wanita warganegara Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata seorang wanita tempatan berusia 53 tahun, yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Jepun disahkan positif, menjadikan ia kes yang ke-23.

Katanya, pesakit itu pulang dari negara berkenaan pada 23 Februari lepas dan mula mempunyai gejala deman keesokan harinya dan telah mendapat rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

“Sehingga hari ini, seramai 1,570 individu telah diambil sampel bagi pengesanan Covid-19 yang terdiri daripada pesakit dalam siasatan (PUI), kontak rapat, Misi Bantuan Kemanusian dan kapal persiaran Dream World.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 23 kes disahkan positif Covid-19, sebanyak 1,523 adalah negatif dan 23 masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata keputusan makmal kepada 66 individu yang telah dibawa pulang dari Wuhan, China semalam dan telah menjalani tapisan kesihatan pengesanan Covid-19 menunjukkan tiada individu yang bergejala dan didapati negatif.

Mereka ditempatkan di pusat pemantauan bagi menjalani pemantauan kesihatan selama 14 hari, kata Dr Noor Hisham.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Wanita warga tempatan pulih, dibenarkan pulang

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Seorang wanita warga Malaysia berusia 40 tahun yang disahkan positif Covid-19 pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang petang semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan wanita berkenaan adalah kes ke-13 yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan disahkan positif COVID-19 pada 5 Februari lepas.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang pulih sepenuhnya dan discaj sehingga hari ini 18 dengan empat masih dirawat di wad dan kesemua mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan setakat 23 Februari lalu, secara kumulatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 22 kes Covid-19 termasuk 20 kes import atau dari luar iaitu kes yang mempunyai sejarah perjalanan dari atau tinggal di luar negara, khususnya dari China.

Baki dua kes lagi adalah dalam kalangan ahli keluarga kepada satu daripada kes Covid-19 yang merupakan warga Malaysia.

“Mengambil kira dapatan ini, KKM telah bertindak proaktif dengan memperkukuhkan Survelan Covid-19 bagi mengesan kes dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Sistem survelan ini mengguna pakai konsep yang sedia dilaksanakan bagi Sistem Survelan Influenza – iaitu melalui pengesanan kes jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan pengesanan kes influenza-like illness (ILI) yang memenuhi kriteria, masing-masing di peringkat hospital serta Klinik Kesihatan yang telah dikenal pasti,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini tiada sampel dikesan positif Covid-19 daripada sejumlah sampel diambil dan diuji melalui sistem survelan tersebut.

— BERNAMA