Categories
AGENDA NASIONAL

PDN: Darah kumpulan A dan B dikehendaki segera

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Pusat Darah Negara (PDN) hari ini meminta orang ramai, khususnya yang mempunyai darah kumpulan A dan B, agar tampil menderma darah bagi meningkatkan stok darah kumpulan itu di PDN.

PDN dalam kenyataan hari ini berkata selaras dengan perkembangan situasi Covid 19 dalam negara ketika ini, bekalan darah semakin diperlukan, dan derma darah secara berkala amat penting bagi menampung keperluan darah setiap hari.

“Jalankan tanggungjawab sosial anda bagi membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan. Mereka yang berminat boleh memeriksa lokasi pendermaan darah yang dianjurkan PDN melalui pautan http://pdn.gov.my/index.php?option=com_jevents&v atau ke pusat kutipan darah statik di kawasan Lembah Klang dan Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

PDN di Jalan Tun Razak beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 8 malam manakala Sabtu dan Ahad pada 8 pagi hingga 6 petang.

Waktu operasi di Midvalley Donation Suite, Mid Valley Mega Mall pula adalah dari hari Isnin hingga Ahad (10 pagi hingga 9 malam dan Suite Derma Darah Puspanita, Puspanitapuri (Isnin hingga Ahad bermula dari pukul 10 pagi hingga 6 petang).

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

KKM sasar peningkatan tiga peratus penderma darah

KUALA TERENGGANU, 15 JUL: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan jumlah penderma darah tetap di negara ini meningkat kepada tiga peratus dalam tempoh lima tahun berbanding 2.2 peratus ketika ini.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementerian akan memperkasakan usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai supaya tampil menderma darah bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi di seluruh negara.

“Kita akui jumlah penderma darah tetap di Malaysia ini masih tidak setara dengan negara-negara maju yang lain. Ia disebabkan banyak faktor antaranya (rakyat Malaysia) masih belum lagi sampai ke tahap kesedaran, keinsafan bahawa ini adalah amalan yang murni dari sisi agama dan moral.

“Program pendidikan kesihatan dan penerangan perlu dipertingkatkan dan saya yakin sasaran itu akan dicapai kurang dari lima tahun lagi, khususnya peningkatan di Terengganu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis malam penghargaan dan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat kebangsaan, di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Amin dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar.

Statistik kementerian menunjukkan jumlah pendermaan darah di seluruh Malaysia pada tahun lepas ialah sebanyak 694,473 beg darah dan daripada jumlah itu 228,145 beg darah adalah daripada penderma baharu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada golongan muda yang menyumbang sebanyak 139,070 beg darah sepanjang tahun lalu dan berharap mereka akan menjadi penderma darah tetap pada masa akan datang.

Ditanya sama ada kementerian akan memberikan imbuhan kepada penderma darah sebagai langkah menarik lebih ramai orang berbuat demikian, Dzulkefly berkata Malaysia adalah antara negara yang mengamalkan sistem pendermaan darah secara sukarela dan tidak akan dikomersilkan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

SILK anjur program derma darah, tingkat kesedaran awam

OLEH NAEEM RAFFI

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Sistem Lingkaran Lebuhraya-Kajang Sdn Bhd, pemegang konsesi Lebuhraya Kajang SILK (SILK) dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) menganjurkan Program Derma Darah SILK di Pejabat Operasi Lebuhraya Kajang SILK, Plaza Tol Sungai Balak, hari ini.

Pengurus Besar SILK, Adzmi Shafie berkata, program tahunan sejak 2014 yang terbuka kepada orang awam dan kakitangan SILK itu menyasarkan 200 pain darah untuk dikumpulkan sepanjang tahun ini.

“Penderma yang datang juga berpeluang memenangi cabutan nombor bertuah dan mengambil bahagian dalam pertandingan swafoto di laman media sosial Facebook kami dengan menggunakan hashtag #SILKjomdermadarah.

“Tiga gambar paling kreatif dan mendapat jumlah like dan share terbanyak dipilih sebagai pemenang,” katanya dalam kenyataan.

Adzmi berkata, program itu adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam tentang kepentingan menderma darah yang mampu menyelamatkan nyawa individu memerlukan selain membantu menangani masalah kekurangan bekalan darah.

“Semenjak program ini dianjurkan, kami juga menerima penderma setia yang datang ke program kami setiap kali ia dianjurkan.

“Sebagai menghargai sumbangan mereka, SILK telah menyediakan cenderahati khas kepada lapan penderma setia tersebut,” katanya.