Categories
AGENSI SELANGOR

Yide: Pek makanan bantu ringan beban 260 pesakit dialisis

SHAH ALAM, 22 JUN: Seramai 260 pesakit dialisis menerima bantuan makanan keperluan harian sumbangan daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Pengurus Besar Yide berkata pihaknya memperuntukkan RM13,000 kepada pesakit di enam pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Shah Alam, Kapar, Bukit Jelutong, Kuala Selangor, Sungai Besar dan Taman Melawati.

“Sumbangan sebagai tanda prihatin kepada kesemua pesakit dialisis yang sedang menjalani rawatan selain rentetan daripada program Kaunter Pek Prihatin Yide.

“Setiap pesakit dialisis menerima pek bantuan keperluan makanan seperti beras, kicap, tepung gandum, minyak masak bernilai RM50,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Sumbangan ke Tabung Infaq Musibah Yide boleh dibuat melalui kaedah billplz https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/ atau pindahan terus ke Akaun Korporat Bank Islam (M) Berhad ; 1223 40100 07330.

Pada 10 Jun lalu seramai 1,500 daripada 2,000 individu yang merupakan golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 layak mendapat bantuan makanan asas melalui Pek Prihatin Yide.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide teruskan operasi Pusat Dialisis Mais rawat pesakit

SHAH ALAM, 18 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) meneruskan operasi Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di enam cawangan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac ini, kata pengurus besarnya.

Nur Mohd Razali Abdullah berkata pusat tersebut di Shah Alam, Bukit Jelutong, Kapar, Kuala Selangor, Sungai Besar dan Taman Melawati, Gombak dengan pihaknya menyediakan langkah awal pencegahan kepada pesakit.

“Operasi perlu diteruskan untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit dialisis meneruskan rawatan secara berkala.

“Mereka disarankan untuk sentiasa mengekalkan kebersihan dengan penggunaan cecair pembasmi kuman, memeriksa suhu badan dan tidak mengadakan perjumpaan atau menghadiri perhimpunan berskala besar,” katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas pada 16 Mac lalu menjelaskan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Penutupan meliputi semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Categories
SELANGOR

Warga emas puji pelaksanaan YIDE sedia pusat dialisis

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 26 APRIL: Inisiatif Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menubuhkan Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mendapat pujian warga emas yang mendapatkan rawatan di situ.

Mohd Sidek Mokthar, 65, berkata pusat dialisis itu banyak memberi kemudahan terutama kepada golongan asnaf sepertinya.

“Saya mula mendapatkan rawatan di sini sejak empat bulan lalu apabila dikesan mempunyai sakit buah pinggang, pada masa itu.

“Bagaimanapun, saya berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada YIDE dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana menubuhkan pusat dialisis ini, sekali gus meringankan beban pesakit daripada perlu menanggung kos rawatan yang agak tinggi di luar sana,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Napsiah Lebai Muhammad, 73, berkata beliau sebelum ini mendapatkan rawatan di salah sebuah pusat rawatan di Kuala Lumpur dan terpaksa berulang alik dengan jarak yang jauh.

Katanya, apabila mengetahui YIDE menubuhkan pusat dialisis berhampiran rumahnya, beliau dan keluarga mengambil keputusan untuk bertukar melakukan rawatan di situ.

“Di sini mudah kerana ada van pusat dialisis ambil dan hantar kami (pesakit) dan kita tidak perlu fikir soal pengangkutan lagi memandangkan saya perlu melakukan rawatan di sini hampir setiap hari.

“Terima kasih kepada YIDE dan LZS kerana banyak membantu memudahkan urusan pesakit,” katanya yang sudah 21 tahun menghidap sakit buah pinggang.

YIDE kini mengurus selia enam cawangan Pusat Dialisis MAIS di Shah Alam, Kapar, Kuala Selangor, Sungai Besar, Taman Melawati dan Bukit Jelutong.

Kesemua pusat dialisis itu menyediakan 43 mesin hemodialisis bagi menampung kapasiti pesakit daripada pelbagai peringkat usia.

Rawatan hemodialisis adalah salah satu peranan YIDE dalam memberi khidmat sokongan kebajikan khususnya dalam bidang kesihatan dan perubatan.

Categories
SELANGOR

YIDE-SELGATE kolaborasi tubuh pusat dialisis

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 16 APR: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) berkunjung ke Selgate Corporation Sdn Bhd (SELGATE) bagi membincangkan kerjasama penubuhan pusat dialisis di daerah yang masih belum terdapat Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Komitmen memperluaskan Pusat Dialisis MAIS di setiap daerah itu diambil setelah melihat kepada bilangan pesakit buah pinggang yang semakin meningkat.

Pertemuan antara Pengurus Operasi YIDE, Mohd Arifin Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif SELGATE, Noor Hisham Mohd Ghouth itu antara lain turut membincangkan hal ehwal penajaan untuk anak-anak yatim dibawah seliaan YIDE pada Ramadan kelak.

Untuk rekod, YIDE adalah sebuah yayasan yang memberi khidmat sokongan kebajikan dalam bidang kesihatan dan perubatan seperti rawatan Hemodialisis yang dikawal selia Pusat Dialisis MAIS.

Setakat ini, YIDE sudah mengurus selia enam cawangan Pusat Dialisis MAIS membabitkan Pusat Dialisis MAIS Shah Alam, Kapar, Kuala Selangor, Sungai Besar, Taman Melawati dan Bukit Jelutong.

Kesemua pusat Dialisis itu menyediakan 43 mesin Hemodialisis bagi menampung kapasiti 258 pesakit daripada pelbagai peringkat umur.

Malah, YIDE turut berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim di Selangor dengan melaksanakan program agihan sumbangan kewangan dan bantuan pendidikan.

Terdahulu, YIDE menyalurkan bantuan kesihatan dengan mengagihkan Kad Peduli Sihat kepada anak yatim dan penjaga melalui SELGATE.