Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Peruntukan besar jadikan Selangor pusat simpanan makanan negara

CHERAS, 30 OGOS: Kerajaan Negeri dijangka memperuntuk sejumlah besar wang dalam Belanjawan 2021 untuk menjadikan negeri ini pusat simpanan makanan pada masa depan.

EXCO Asas Tani Ir Izham Hashim berkata pihaknya memohon sekurang-kurangnya RM100 juta bagi tujuan itu berbanding hanya RM30 juta yang dilulus dalam belanjawan terdahulu.

“Penularan Covid-19 mengajar kita pentingnya ada sumber makanan sendiri tanpa bergantung bekalan import dan kerjasama semua pihak penting untuk merealisasikannya.

“Perkara ini melibatkan seluruh rantaian, jadi kita tidak mahu ada pihak tertinggal sekaligus menggagalkan usaha ini, kita jangka hasilnya dapat dilihat dalam tempoh dua tahun iaitu kurangkan sedikit kos import makanan,” katanya selepas menghadiri Program Agro Bandar Selangor di Amerin Mall semalam.

Izham berkata Kerajaan Negeri mengorak langkah menjayakan misi tersebut menerusi pembangunan di tanah seluas 5,000 ekar yang berpotensi sebagai gedung simpanan dan pengeluaran makanan.

“Selain itu kita turut laksanakan program bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi peruntukan RM50 juta untuk projek pertanian makanan dan penternakan dengan mengoptimumkan penggunaan tanah seluas 300 ekar.”

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor sasar jadi pusat simpanan makanan negara

SHAH ALAM, 6 JUN: Selangor mensasarkan untuk menjadi pusat simpanan makanan negara pada masa depan, kata EXCO pemodenan pertanian dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata walaupun terkenal sebagai negeri perindustrian tetapi teknologi moden membolehkan sektor pertanian dibangunkan di Selangor dalam ruang terhad tanpa menjejaskan kualiti dan kutipan hasil.

“Sasaran adalah mewujudkan simpanan makanan untuk keselamatan bukan sahaja untuk negeri ini tetapi seluruh negara dan Kerajaan Negeri sedar betapa penting memastikan bekalannya sentiasa berada pada paras selamat serta mengurangkan kebergantungan kepada makanan import,” katanya.

Izham berkata Kerajaan Negeri mengenal pasti 12 jenis tanaman bernilai tinggi antaranya buah tin, pisang, nanas dan padi yang akan diusahakan mengikut zon.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya dalam peringkat akhir untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Selangor yang menghimpunkan pakar dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan.

“Penubuhan pusat kecemerlangan ini selaras dengan Pelan Transformasi Agro Selangor yang bermatlamat memulakan amalan pertanian pintar berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta internet untuk segalanya (IoT).

“Pertanian pintar membolehkan kita menilai kesesuaian tanah, air, baca serta peralatan bagi meningkatkan hasil, kualiti dan produktiviti tanaman sekali gus mengelak pembaziran dan menjimatkan masa,” katanya.