Categories
AGENSI SELANGOR

Putra Business School bakal latih kakitangan Air Selangor

SHAH ALAM, 19 OGOS: Air Selangor dan Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalinkan kerjasama untuk melahirkan pemimpin lebih cekap pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata menerusi kerjasama itu, kakitangannya akan menerima latihan daripada PBS termasuk berkaitan industri air dan kemahiran pengurusan.

“Program pembangunan kepimpinan Air Selangor telah dirangka sejak 2018 bagi memastikan proses peralihan kepimpinan bagi jawatan-jawatan kritikal dilaksanakan lebih sistematik, serta pada masa sama memberi peluang kerjaya kepada pemimpin muda berkaliber.

“Ini adalah selari dengan seruan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pemimpin yang cekap di masa depan. Kami juga mahu warga kerja meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dari masa ke semasa mengikut peredaran terutama pada era Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Air Selangor dan PBS di Pusat Konvensyen Setia City hari ini.

Hadir menyaksikan MoU itu ialah Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.