Categories
SELANGOR

Setiausaha FAS Baru Sasar Selangor Juarai Piala Malaysia 2013

rosman ibrahim FAS Selangor 01

SHAH ALAM 25 JULAI : Menjuarai Piala Malaysia 2013 adalah sasaran Setiausaha Agung baru Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim.

Rosman dilantik Setiausaha Agung baru persatuan itu bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin yang dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru pada 1 Julai lalu.

Beliau juga akan bekerjasama dengan Exco Belia Dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi untuk perancangan masa jangka panjang bola sepak Selangor.

Pengumuman perlantikan Rosman dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media di Dewan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini.

Abdul Khalid yang juga Presiden FAS berkata, beliau mengharapkan Rosman dapat melaksanakan tugas dengan baik untuk memajukan bola sepak di Selangor.

“Kita memilih seorang yang boleh melaksanakan tugas FAS dengan efisien dan efektif.

“Harapan seluruh jawatankuasa FAS dan rakyat Selangor untuk melihat keupayaan Selangor dalam kejohanan bola sepak dan usaha memajukan sukan ini,” kata Abdul Khalid.

Rosman,50, pernah menjadi Penolong Setiausaha Agung FAS dari 2000 hingga 2004 sebelum dilantik sebagai Pengurus Perniagaan FAS untuk mengendalikan stesen minyak Petronas milik persatuan itu sehingga ke hari ini.

Sebelum ini, tiga calon yang disebut-sebut mengisi kerusi panas yang disandang Hamidin sejak 1998 itu ialah dua Penolong Setiausaha Agung FAS ketika ini, Hamdan Hashim dan Raja Restam Azhar Raja Jaafar serta seorang EXCO FAS, Rosman Mohd Ibrahim.