Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kaitan antara isu suntikan picagari kosong, sindiket jual vaksin

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin menegaskan tiada sebarang kaitan antara isu picagari kosong dengan sindiket penjualan vaksin Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata pihaknya berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang sedang membuat siasatan berhubung penjualan vaksin, dan mendapati ia tiada sebarang kaitan langsung dengan isu suntikan vaksin mengunakan picagari kosong.

“Daripada 16 juta dos yang telah kita beri secara kumulatif, hanya 13 laporan polis dibuat berkaitan isu suntikan picagari kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV),” katanya pada sidang media harian PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Khairy berkata daripada 13 laporan polis yang dibuat, hanya satu kes disebabkan kecuaian oleh petugas kesihatan manakala selebihnya tiada bukti kukuh seperti yang didakwa dan tular dalam media sosial.

Mengulas lanjut, beliau berkata hanya satu kes di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah yang mendapati jururawat mengaku memberikan suntikan kosong akibat keletihan dan jururawat itu diberikan amaran serta menjalani proses tatatertib di bawah Kementerian Kesihatan.

Mengenai dua lagi kes melibatkan PPV di Banting dan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), beliau berkata suntikan dos tambahan akan diberikan kepada penerima kerana ketidakpastian daripada petugas kesihatan sama ada wujud kecuaian atau tidak.

Selain itu, Khairy berkata wujud salah faham kerana terdapat pengadu membuat laporan polis kerana tidak mempunyai kesan sampingan seperti tangan tidak kebas, sekali gus mendapati tiada bukti bagi menyokong dakwaan suntikan vaksin kosong itu.

Khairy, yang mengakui terdapat kesilapan atas kecuaian, menegaskan kerajaan sentiasa memelihara integriti PICK dan ribuan petugas barisan hadapan yang berisiko menyuntik rakyat Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu meminta maaf atas kesilapan yang berlaku berkaitan vaksin sejak beberapa hari lepas dan meminta semua rakyat Malaysia agar terus memberi semangat kepada petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus memberikan vaksin, sekali gus memerangi pandemik Covid-19.

Bagi memastikan isu suntikan vaksin kosong tidak berulang, Khairy berkata penerima vaksin dibenarkan untuk merakam video ketika suntikan vaksinasi mereka di PPV selain memastikan tatacara operasi piawai (SOP) yang sedia ada iaitu meminta petugas kesihatan menunjukkan picagari yang diisi kuantiti vaksin kepada penerima sebelum suntikan.

“Anda boleh rakamkan video diri anda terima vaksin, jadi anda dan kami (kerajaan) mempunyai bukti kukuh bahawa vaksin yang sempurna telah diberikan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu rakam video, ambil gambar polis bertugas boleh disiasat

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Individu yang sengaja merakam video atau mengambil gambar anggota polis yang sedang bertugas sehingga menganggu siasatan, merupakan satu kesalahan dan boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata perbuatan itu jika ditularkan dengan apa jua cara sekalipun dilihat tidak bertanggungjawab selain boleh menggangu ketenteraman awam.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin mengingatkan bahawa setiap siasatan dijalankan adalah sulit dan tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya apatah lagi ia ditularkan di media sosial.

“PDRM juga menegaskan tindakan merakam video atau gambar bukanlah satu kesalahan jenayah namun demi kepentingan siasatan jika ia dikongsi, disebar dan ditularkan boleh menggangu proses siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Huzir mengulas berhubung penahanan seorang individu lelaki yang ditahan kerana disyaki menghalang tugas polis dengan merakam operasi serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu lepas.

“Lelaki berkenaan membuat rakaman secara langsung melalui Facebook Live dengan menggunakan telefon bimbitnya. Amaran diberi supaya tindakan itu dihentikan namun individu itu berdegil dan polis terpaksa menahannya kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.

Dalam pada itu, Huzir memaklumkan sebanyak 41 laporan polis dibuat terhadap catatan bertajuk “YDPA Should Not Interfere In National Affairs” di laman Facebook mengaitkan kes berkenaan.

“PDRM turut menggesa orang ramai untuk sentiasa memberikan kerjasama dan tidak menggangu pihak polis menjalankan siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang sengaja menggugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan serbuan di Petaling Jaya itu dilakukan berhubung siasatan kes Akta Hasutan melibatkan Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY).

-BERNAMA