Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kaitan antara isu suntikan picagari kosong, sindiket jual vaksin

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin menegaskan tiada sebarang kaitan antara isu picagari kosong dengan sindiket penjualan vaksin Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata pihaknya berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang sedang membuat siasatan berhubung penjualan vaksin, dan mendapati ia tiada sebarang kaitan langsung dengan isu suntikan vaksin mengunakan picagari kosong.

“Daripada 16 juta dos yang telah kita beri secara kumulatif, hanya 13 laporan polis dibuat berkaitan isu suntikan picagari kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV),” katanya pada sidang media harian PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Khairy berkata daripada 13 laporan polis yang dibuat, hanya satu kes disebabkan kecuaian oleh petugas kesihatan manakala selebihnya tiada bukti kukuh seperti yang didakwa dan tular dalam media sosial.

Mengulas lanjut, beliau berkata hanya satu kes di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah yang mendapati jururawat mengaku memberikan suntikan kosong akibat keletihan dan jururawat itu diberikan amaran serta menjalani proses tatatertib di bawah Kementerian Kesihatan.

Mengenai dua lagi kes melibatkan PPV di Banting dan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), beliau berkata suntikan dos tambahan akan diberikan kepada penerima kerana ketidakpastian daripada petugas kesihatan sama ada wujud kecuaian atau tidak.

Selain itu, Khairy berkata wujud salah faham kerana terdapat pengadu membuat laporan polis kerana tidak mempunyai kesan sampingan seperti tangan tidak kebas, sekali gus mendapati tiada bukti bagi menyokong dakwaan suntikan vaksin kosong itu.

Khairy, yang mengakui terdapat kesilapan atas kecuaian, menegaskan kerajaan sentiasa memelihara integriti PICK dan ribuan petugas barisan hadapan yang berisiko menyuntik rakyat Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu meminta maaf atas kesilapan yang berlaku berkaitan vaksin sejak beberapa hari lepas dan meminta semua rakyat Malaysia agar terus memberi semangat kepada petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus memberikan vaksin, sekali gus memerangi pandemik Covid-19.

Bagi memastikan isu suntikan vaksin kosong tidak berulang, Khairy berkata penerima vaksin dibenarkan untuk merakam video ketika suntikan vaksinasi mereka di PPV selain memastikan tatacara operasi piawai (SOP) yang sedia ada iaitu meminta petugas kesihatan menunjukkan picagari yang diisi kuantiti vaksin kepada penerima sebelum suntikan.

“Anda boleh rakamkan video diri anda terima vaksin, jadi anda dan kami (kerajaan) mempunyai bukti kukuh bahawa vaksin yang sempurna telah diberikan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis terima 13 laporan suntik vaksin kosong

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Sebanyak 13 laporan polis diterima berkaitan isu suntikan picagari kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata laporan polis itu melibatkan tujuh di Kuala Lumpur, tiga di Selangor manakala masing-masing satu di Kedah, Perak dan Melaka.

Beliau berkata kesemua kes masih di peringkat siasatan oleh JSJ kontinjen negeri yang terlibat.

“Bagi kes melibatkan penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran pula, siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abd Jalil berkata sehingga kini vaksin Covid-19 hanya dibekalkan oleh kerajaan dan orang ramai dinasihat agar sentiasa peka dan cakna dengan inisiatif vaksinasi yang sedang dilaksanakan bagi membendung penipuan berkaitan penjualan vaksin.

“Sebarang penjualan atau pembekalan vaksin melalui mana-mana medium lain termasuk secara dalam talian adalah tidak dibenarkan.

“Orang ramai dinasihat agar berhati-hati ketika mengeluarkan atau berkongsi sebarang kenyataan yang belum dipastikan kebenarannya terutama bagi isu-isu sensitif seperti pemberian vaksin kerana tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial terdapat individu mendakwa mereka disuntik dengan picagari kosong di beberapa PPV di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu dakwa disuntik dengan picagari kosong di PPV Bangi hanya salah faham

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Polis menafikan dakwaan seorang lelaki mengatakan dirinya disuntik menggunakan picagari kosong ketika mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), di sini, pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dakwaan berkenaan hanya salah faham dan individu itu telah disuntik dengan vaksin jenis Sinovac.

Beliau berkata siasatan mendapati individu berkenaan telah dihubungi oleh petugas di PPV itu dan diberi penerangan dengan jelas berhubung prosedur pengambilan vaksin dan individu berkenaan berpuas hati dengan penerangan diberikan.

“Tiada laporan polis dibuat oleh penerima vaksin itu atau mana-mana individu berkaitan dakwaan hampir ditipu ketika menerima suntikan vaksin di PPV berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Mohd Zaid laporan polis hanya dibuat pihak BACC semalam untuk menjelaskan dan menafikan dakwaan individu berkenaan.

Mohd Zaid berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan siasatan mendapati ciapan di ruangan komen Twitter itu dibuat oleh teman wanita penerima vaksin itu yang menyebabkan ia tular dan mendapat pandangan negatif daripada masyarakat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan ataupun ciapan yang belum dipastikan kebenarannya terutama bagi isu-isu sensitif seperti pemberian vaksin.

Dalam kes berasingan, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya telah memanggil petugas kesihatan dan saksi berkaitan untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan individu disuntik dengan picagari kosong di PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, Sabtu lepas.

“Pihak kami ada menerima laporan dan petugas atau individu yang terlibat telah dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya dihubungi semalam.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan semalam memaklumkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan mengenai beberapa individu disuntik dengan picagari kosong di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor, yang tular di media sosial baru-baru ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

CITF: Petugas PPV beri suntikan kosong kena tindakan tatatertib

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang menyiasat dakwaan mengenai beberapa individu disuntik dengan picagari kosong di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi kenyataan hari ini, CITF berkata siasatan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar kejadian seumpama itu tidak berulang.

Tegas CITF, petugas vaksinasi yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang, malah perkhidmatan petugas yang terlibat boleh ditamatkan.

“Mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan, setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan.

Orang ramai juga disarankan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya,” menurut kenyataan itu.

Menurut CITF, kes di Kedah dilaporkan pada Sabtu lepas di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani yang dikhaskan untuk anggota ATM dan ahli keluarga.

Proses vaksinasi di PPV berkenaan dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem itu.

“ATM telah membuat siasatan mengenai kejadian tersebut dan individu terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan. Tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut,” katanya.

Selain itu, dua lagi dakwaan kes sama turut dilaporkan masing-masing di PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini pada Sabtu lepas dan PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di Selangor semalam.

Menurut CITF, kes berkenaan dalam siasatan polis dan perkembangan mengenai perkara itu akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

-BERNAMA