Categories
AGENDA NASIONAL

Latheefa tidak tahu agensi rakam audio perbualan Najib, Rosmah

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak boleh mengesahkan sama ada sembilan rakaman audio membabitkan pegawai tinggi yang bocor kepada orang ramai pada Januari adalah hasil pemintasan oleh agensi itu.

Rakaman audio yang didedahkan dalam sidang akhbar SPRM pada 8 Januari didakwa membabitkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakaman beberapa perbualan telefon lain yang mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Selain Najib, perbualan itu didakwa membabitkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan beberapa individu berprofil tinggi lain.

Latheefa, 47, yang disepina pihak pembelaan untuk memberi keterangan mengenai ketulenan rakaman itu berkata ia telah dihantar oleh individu tanpa nama dalam satu sampul surat yang mengandungi sembilan pemacu jari bersama sekeping kertas yang memberi penjelasan mengenai kandungan setiap item.

Pemacu jari itu mengandungi audio yang disifatkan Latheefa sebagai “rakaman yang amat jelas.”

Saksi ke-13 pembelaan itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-88 perbicaraan Najib yang berdepan dakwaan menyeleweng sejumlah RM42 juta dana SRC International.

Muhammad Shafee: Sehingga hari ini, adakah terdapat sebarang proses untuk mengesahkan ketulenan (rakaman audio itu)?

Latheefa: Kami telah menyerahkan rakaman itu kepada polis dan mereka melakukan siasatan. Saya rasa mereka telah menyerahkannya kepada pihak keselamatan siber. SPRM juga melakukan siasatan, kami telah membuka fail di bawah Seksyen Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Ditanya Muhammad Shafee apa yang berlaku sehingga menyebabkan beliau mendedahkan rakaman itu kepada umum, Latheefa berkata asas utama ialah pendedahan yang mengejutkan berkaitan usaha menutup skandal tersebut dan potensi untuk mereka-reka bukti.

“Tidak ada keperluan seperti itu apabila ia melibatkan kepentingan awam. Ini bukan kali pertama kami berkongsi maklumat dengan orang ramai apabila ia melibatkan kepentingan awam,” katanya merujuk kepada skandal air Sabah.

Muhammad Shafee kemudian menyoal Latheefa mengenai kesahan pemintasan rakaman audio itu.

Muhammad Shafee: Soalan saya kepada anda ialah adakah ini hasil pemintasan yang sah oleh SPRM?

Latheefa: Saya tidak dapat menentukannya.

Muhammad Shafee: Adakah anda bersetuju bahawa (polis) Cawangan Khas (SB) memiliki kemudahan (pemintasan sah) yang serupa?

Latheefa: Ya. Begitu juga dengan tentera.

Muhammad Shafee: Anda lupa tentang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia )SKMM). Mereka juga boleh memintas anda. Terdapat empat agensi yang boleh memintas anda.

Peguam itu juga mempersoal langkah Latheefa mendedahkan rakaman itu kepada umum dan berkata, suruhanjaya tersebut boleh menyiasat rakaman itu terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

Lateefha kemudian menjawab bahawa kandungan rakaman itu lebih penting dan SPRM boleh mendedahkannya kepada umum serta masih menyiasatnya.

Muhammad Shafee: Apa yang anda harapkan daripada orang ramai (selepas mendedahkan kandungan rakaman itu)?

Latheefa: Itu bukan pertimbangannya. Saya tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan itu.

Latheefa dijangka meneruskan keterangannya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada Isnin.

Najib sedang membela diri atas tujuh pertuduhan RM42 juta dana SRC International, yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dana SRC.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilik suara dalam rakaman diketahui minggu ini – KPN

IPOH, 21 JAN: Pemilik suara rakaman audio yang didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, dijangka diketahui minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata Polis Diraja Malaysia akan memanggil individu berkenaan untuk memberi kenyataan sebaik sahaja nama mereka diketahui.

“Mereka yang didakwa suara di dalam rakaman audio itu, apabila dapat disahkan suara itu milik sesiapa, individu tersebut akan dipanggil untuk diambil kenyataan, “katanya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya (tengah) ketika sidang media berhubung pembocoran rahsia kerajaan dan konspirasi jenayah di peringkat tertinggi di Ibu Pejabat SPRM baru-baru ini. Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada lebih 400 anggota dan pesara polis di Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di sini hari ini.

Pada 8 Januari lepas, SPRM memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa menjadi Perdana Menteri dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata polis sedang giat menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi dan imej SPRM serta Ketua Pesuruhjayanya.

Pada 14 Januari lepas, SPRM membuat satu laporan polis terhadap beberapa individu termasuk seorang peguam yang didakwa menjadi dalang dalam komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi suruhanjaya itu Latheefa.

Menurut Latheefa laporan polis itu dibuat bagi memberi satu mesej yang jelas kepada dalang-dalang di sebalik komplot bahawa beliau tidak tergugat atau terancam dalam melaksanakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis ambil keterangan Latheefa, bantu siasatan rakaman suara

PUTRAJAYA, 16 JAN: Sepasukan polis hari ini berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai bagi mengambil keterangan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya bagi membantu siasatan berhubung rakaman perbualan yang didedahkan suruhanjaya itu.

Seramai 10 pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 2.30 petang. Mereka tiba dalam empat kereta Proton Preve berasingan.

Difahamkan, mereka akan merakamkan keterangan Latheefa bagi membantu siasatan selepas SPRM pada 8 Januari lepas, mendedahkan sembilan rakaman audio perbualan berdurasi 45 minit, yang berlaku 5 Januari hingga 29 Julai 2016, antaranya dipercayai melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata pihaknya telah menerima kesemua sembilan set rakaman yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi dipercayai melibatkan Najib dan beberapa individu lain itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rakaman audio penipuan pilihan raya didedahkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 8 FEB: Rakaman audio ucapan seorang pemimpin Umno Bahagian Permatang Pauh yang didedahkan hari ini membuktikan wujudnya aktiviti manipulasi undi khususnya membabitkan undi pos pada pilihan raya.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin berkata, ucapan itu dibuat pada program Pemukiman Jentera Pilihan Raya Umno Cawangan, di Politeknik Seberang Perai, pada 28 Januari lalu.

“Dalam rakaman audio ini, terdapat satu perkara yang menimbulkan kegusaran serta mengesahkan dakwaan kami.

“Jika ia adalah benar dan berlaku manipulasi undi terutama membabitkan undi pos atau undi awal sama ada oleh Umno juga dimudah cara oleh beberapa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersama Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, di sini, hari ini.

Katanya, rakaman audio itu diperolehi seorang ahli Umno yang menghadiri program terbabit, namun tidak dapat mendedahkan individu yang membekalkan rakaman itu atas faktor keselamatan.

Sementara itu, wakil media yang menghadiri sidang media turut diperdengarkan rakaman audio berkenaan.