Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakaman suara: Ramai lagi individu akan dipanggil

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Lebih ramai individu akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan berhubung kes pendedahan sembilan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Kami telah memanggil Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim semalam untuk memberi keterangan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran video korporat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, di sini.

Mengenai keaslian pemilik suara rakaman audio berkenaan beliau berkata pihaknya memerlukan masa untuk menyiasat dan mengenal pasti kesemua rakaman suara berkenaan.

Pada 8 Januari lepas SPRM mendedahkan satu rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa beliau menjadi Perdana Menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Pada 16 Jan lepas, sepasukan polis berada di ibu pejabat SPRM dipercayai bagi mengambil keterangan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya bagi membantu siasatan berhubung rakaman perbualan yang didedahkan suruhanjaya itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakaman suara: Najib, isteri dipanggil dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 28 JAN: Polis sudah mengambil keterangan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Rahim di Bukit Aman minggu lalu untuk bantu siasatan kes rakaman suara yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berkata pihaknya akan memanggil bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan kes terbabit dalam masa terdekat, lapor Berita Harian.

“Kita sudah panggil ahli parlimen Baling minggu lalu. Saksi lain menyusul (dipanggil memberi keterangan) dalam masa terdekat,” kata Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Pada 15 Januari, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya memberi keterangan hampir empat jam kepada polis berhubung kes terbabit. Turut memberi keterangan Timbalan Ketua Suruhanjaya itu Datuk Seri Azam Baki dan lima pegawai.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakaman suara: Polis panggil Latheefa beri keterangan

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Polis akan memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya untuk memberi keterangan berhubung rakaman perbualan didedahkan suruhanjaya itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya telah menerima kesemua sembilan set rakaman yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi dipercayai melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa individu lain itu.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut berhubung kes berkenaan.

“Antaranya Seksyen 203A Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti punca kebocoran maklumat selain Seksyen 218 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya pada sidang media khas sempena pencapaian 2019 dan perancangan 2020 di Bukit Aman di sini, hari ini.

Pada 8 Januari lepas, SPRM telah memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

– BERNAMA