Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kutipan tabung Palestin di peringkat akhir, hampir RM800,000 dikumpul

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kempen Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin kini di peringkat akhir membabitkan kutipan di kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan dan swasta.

EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata setakat ini jumlah sumbangan dikumpul berjumlah RM780,000 dengan RM1 juta disasarkan.

Menurutnya, tabung itu dilancarkan ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan banyak kekangan seperti tidak dapat membuat kutipan ramai ketika solat Jumaat.

“Jadi Kerajaan Negeri ambil langkah lain dengan mendekati syarikat swasta dan GLC, setakat ini RM350,000 daripada jumlah dikumpul sudah disalurkan bagi pembelian ambulans.

“Bagi baki kutipan RM250,000, kita akan minta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melihat ruang ada untuk memastikan rancangan ini mencapai sasaran (RM1 juta),” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata demikian ketika ditemui selepas melawat program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dilancarkan Kerajaan Negeri pada 19 Mei lalu menyasarkan kutipan berjumlah RM1 juta sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang terjejas berikutan pergolakan berlaku di negara berkenaan.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke tabung berkenaan boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.pedulipalestin.com/selangor/.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jingga 13 Dedah Delegasi Israel Hadir Persidangan Gas Sedunia Di Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 29 NOV: NGO Jingga 13 hari ini mendedahkan bahawa delegasi dari Israel telah menghadiri Persidangan Gas Sedunia (WGC) yang diadakan di Kuala Lumpur Jun lalu.

Jingga 13 mendakwa terdapat bukti dalam senarai pendaftaran delegasi ke persidangan itu yang menunjukkan nama delegasi dari Israel.

Dalam daftar senarai delegasi WGC yang ditunjukkan kepada media didapati Pengurus Pembangunan Komersial LNG dari syarikat Noble Energy, Doorneweeret, Hans Peter merupakan salah seorang delegasi Israel yang hadir.

Demikian menurut Ketua Kordinator Jingga 13, Fariz Musa dalam sidang media yang diadakan di lobi Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor hari ini.

“Kami desak Wisma Putra dan Penasihat Petronas, Tun Mahathir Mohamad menjelaskan pendirian mereka berhubung perkara ini.

Kerana ia bertentangan dengan dengan solidariti rakyat Malaysia yang memperjuangkan hak rakyat Palestin dan tidak mahu sebarang hubungan diplomatik dengan Israel,” kata Fariz.

Jingga 13 juga mencabar kerajaan, Petronas dan MGA untuk mendedahkan maklumat sebenar senarai delegasi khususnya selepas 15 April 2012.

Fariz juga mendakwa MGA pernah menulis surat kepada persatuan gas di Israel bagi merayu sokongan mereka terhadap pencalonan Naib Presiden Urusniaga Gas Petronas, Datuk Abdul Rahim Hashim bagi jawatan Presiden International Gas Union (IGU) bagi sessi 2009-2012.