Categories
NASIONAL

SAMM Johor Sokong Petisyen Terhadap RAPID

PENGERANG, 30 MAC: Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor menyokong tindakan MP Bakri, Er Teck Hwa melancarkan satu kempen Petisyen Rakyat berhubung dengan projek Refinery And Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang, Johor.

Petisyen ini dijangka akan dijadikan sebagai satu usul di bawah Perkara 19, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

Menurut Penyelaras SAMM Johor, Ahmad Anwar Asyraf walaupun projek RAPID mampu membuka peluang pekerjaan namun rintihan rakyat berhubung isu pampasan, pencemaran, masalah ekosistem dan pemindahan penempatan baru perlu diselesai secara menang-menang.

“Soalan-soalan ini harus didengari dahulu agar satu penyelesaian menang-menang jangka panjang dapat diadakan tanpa menolak pembangunan yang bakal berlaku di kawasan tersebut.

“SAMM Johor memandang serius ketiga-tiga aspek ini atas nama pembangunan yang menjaga kemaslahatan rakyat. Pihak syarikat yang diberikan kelulusan untuk membangunkan projek di kawasan tersebut perlu memikirkan soal pampasan yang setimpal perlu diberikan, bukan hanya sekadar memberikannya semata-mata.

“Ia seharusnya turut memikirkan kemungkinan ada di antara rakyat kawasan ini yang akan kekurangan hasil pencarian atau lebih malang lagi mungkin akan terus kehilangan mata pencarian.” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Katanya Rakyat turut berhak mengetahui secara terperinci kemungkinan-kemungkinan pencemaran yang boleh berlaku sekiranya terdapat kemalangan di loji-loji Petrokimia ini dan apakah langkah-langkah pemuliharaan yang akan diambil.

‘SAMM JOHOR dengan ini menyokong penuh usaha kempen tersebut dan akan bersama-sama dengan seluruh kekuatan aktivis kami untuk memberikan bantuan seupaya mungkin bagi menjayakan kempen ?Kampungku  Suaraku? ini.

“SAMM Johor turut merayu kepada semua anak muda Pengerang tanpa mengira latar belakang bangsa dan ideologi politik harus bersama-sama menjayakan kempen ini agar satu referendum atau pungutan suara penduduk Pengerang dapat diadakan dan dipersembahkan kepada Parlimen Malaysia demi masa depan Pengerang yang lebih baik tanpa menjejaskan kualiti kehidupan setiap penduduknya.” ujar beliau