Categories
AGENSI SELANGOR

RHB Bank sahkan pekerja cawangan Kajang positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 8 NOV: RHB Banking Group (RHB) mengesahkan salah seorang pekerjanya dari cawangan RHB Bank di Kajang, Selangor diuji positif Covid-19 pada 6 November dan kini menjalani kuarantin.

Dalam satu kenyataan semalam, bank itu berkata aktiviti pembersihan dan sanitasi dilaksanakan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan.

“RHB turut membantu pihak berkuasa dalam usaha menjejak kontak dan sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, pekerja yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan pekerja terlibat juga telah diltetapkan agar kuarantin di rumah.

“Kami mengambil semua langkah pencegahan yang diperlukan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan pelanggan, pekerja dan masyarakat kami,” katanya.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI

BNM: Kami bukan punca Ambank-RHB gagal gabung

KUALA LUMPUR 27 OGOS: Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan ia tidak pernah dan tidak akan campur tangan dalam rundingan antara mana-mana pihak berkaitan dengan penggabungan dan pengambilalihan dalam industri perbankan termasuk perbincangan membabitkan Ambank-RHB yang berakhir dengan kegagalan.

Bernama memetik kenyataan BNM berkata aktiviti-aktiviti ini didorong oleh pasaran, yang mana sebahagian besarnya berdasarkan kepada pertimbangan komersial dan perniagaan dan bank pusat memainkan peranan sebagai pembantu dalam memudahkan proses penggabungan.

BNM berkata demikian sebagai reaksinya kepada sebuah artikel akhbar tempatan yang bertajuk “What led to the collapse of Ambank-RHB deal” yang disiar kelmarin, yang mana bank pusat menganggapnya sebagai tidak tepat dan boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri perbankan.

“Dalam melaporkan perkara seperti itu, memberikan pandangan yang adil dan seimbang perlu menjadi norma pemberita. Apa-apa sindirin atau tuduhan yang dibuat terhadap pihak-pihak tertentu perlu disertakan dengan komen dan maklum balas daripada pihak-pihak terbabit.

BANK NEGARA MALAYSIA (BNM)“Penggabungan dalam sektor perbankan dipacu terutamanya oleh pertimbangan perniagaan institusi perbankan itu sendiri.”

Justeru kata BNM, amatlah tidak tepat dan malahan tidak wajar bagi artikel itu untuk merumuskan yang janji niaga itu nampaknya gagal kerana bank pusat adalah satu-satunya pihak yang mendesak ia dilaksanakan.

BNM menambah pemberita perlu adil, bertanggungjawab dan profesional dalam penyelidikan dan ulasan mereka.

BNM berkata ia memberikan kelulusan kepada pihak-pihak terbabit untuk membincangkan dan merundingkan janji niaga itu dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Semasa tempoh ini, pihak-pihak akan menjalankan penilaian menyeluruh bagi penggabungan itu selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan.

“Ini termasuk penilaian potensi sinergi, serta risiko yang timbul daripada model perniagaan, operasi dan sistem mereka masing-masing dan selepas mengambil kira analisis menyeluruh dari segi maklumat kewangan dan bukan kewangan,” kata BNM.

Bank pusat berkata, ia juga merupakan tanggungjawab fidusiari Lembaga Pengarah entiti masing-masing untuk memastikan penggabungan itu akan mengambil kira kepentingan terbaik pemegang kepentingan, terutamanya pendeposit dan pemegang saham.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

RHB Bank dan AmBank tak jadi bergabung

KUALA LUMPUR 23 OGOS: RHB Bank Bhd (RHB Bank) dan AMMB Holdings Bhd (AmBank) menamatkan cadangan penggabungan hasrat kedua-dua institusi kewangan itu.

Hasil daripada perbincangan, RHB Bank dan Ambank tidak dapat mencapai persetujuan berhubung terma dan syarat boleh diterima pakai untuk cadangan penggabungan.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Bank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, beliau mengucapkan penghargaan kepada Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan Kumpulan AmBank atas kerjasama mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir ingin mengambil kesempatan untuk menghargai pihak terlibat dalam perbincangan selama tiga bulan lalu.

“Kami tetap memberi tumpuan kepada rancangan perniagaan tahun kewangan 2018 AmBank selaras dengan strategi untuk menjadi bank keempat terbesar di Malaysia.

“AmBank akan terus berusaha untuk mengendalikan bank dengan lebih baik di samping memberikan pulangan optimum kepada para pemegang saham kami,” katanya dalam kenyataan bersama di sini.

Sebelum ini, kedua-dua bank itu memohon penggantungan urus niaga saham dipercayai susulan pengumuman khas bakal dibuat institusi perbankan itu.

=EZY=