Categories
NASIONAL

RMK-10 ke RMK-11, mana apirasi rakyat?

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MEI: Kajian Institut Rakyat mendapati Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) bukan sahaja gagal mencapai sasaran utama yang ditetapkan, bahkan paras ukur kemiskinan yang digunakan tidak mencerminkan realiti sebenar.

Pengarah Penyelidiknya, Yin Shao Loong turut mempersoalkan negara sedang menuju ke arah yang betul atau ‘kompas’ tidak berfungsi dengan baik.

Katanya, perkara itu wajib dikaji dengan serius supaya rancangan lima tahun bukan sekadar dokumen yang menyenaraikan sasaran dan peruntukan projek terutama bagi RMK-11.

Institut Rakyat“Malaysia bakal menyempurnakan satu lagi rancangan lima tahun, selangkah ke depan dalam mencapai Wawasan 2020. Namun, menjadi persoalan apakah Malaysia dapat mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi dan pertumbuhan inklusif menjelang tahun 2020?,” soalnya.

Beliau berkata, sasaran kadar pertumbuhan enam peratus setahun dalam tempoh RMK-10 gagal dicapai kerana Bank Negara menjangkakan kadar pertumbuhan tahun ini sekitar 4.5 hingga 5.5 peratus dalam aspek ekonomi.

“Ekoran kadar pertumbuhan yang tersasar, sasaran Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita RM38,845 tahun ini dijangka menemui kegagalan kerana ia berada pada RM34,079 tahun lalu.

najib-razakKatanya, ketidakmampuan mencapai PNK dan mengekalkan kadar pertumbuhan dalam keadaan ekonomi negara yang merudum menunjukkan kegagalan terbesar pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Najib juga bakal menggagalkan Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada PNK per kapita RM55,695 menjelang  2020 seperti dijanjikan,” katanya.

Yin turut memaklumkan, pengumuman Najib pada 1 Mei lalu bahawa kerajaan tidak akan meningkatkan paras gaji minima akan menyebabkan upah pekerja berkemahiran rendah kekal berada di bawah paras pendapatan garis kemiskinan.

“Disebabkan jurang upah antara lelaki dan wanita lebih meluas bagi pekerjaan peringkat terbawah iaitu sembilan kali ganda, maka penindasan berlaku ke atas pekerja wanita berkemahiran rendah apabila upah diterima lebih rendah berbanding lelaki,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Belanja lebih RM172 juta, Selangor berjaya selesai 48% kes banjir

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 7 APR: Kerajaan Negeri membelanjakan RM171,373,610 bagi pelaksanaan projek tebatan banjir dan menaik taraf sistem saliran dalam RMK-10 yang berakhir tahun ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib menyifatkan, perbelanjaan besar itu berbaloi apabila 48 peratus masalah banjir diatasi dalam tempoh 10 tahun (2004-2014).

“Merujuk kepada rekod, 1,028 insiden banjir melibatkan 388 kawasan berlaku dan 182 kawasan sudah dilaksanakan projek tebatan banjir. Ini bermakna, kita berjaya menyelesaikan 48 peratus masalah banjir.

banjir rawang2“Bagi 2014 pula, 116 insiden banjir melibatkan 92 kawasan dilaporkan berlaku . 44 kawasan terlibat sudah dan dalam proses pembinaan tebatan banjir.

“Sementara bagi 2015 (sehingga 31 Mac lalu), 30 kejadian bajir melibatkan 25 kawasan direkodkan,” katanya dalam satu sidang media di lobi Dewan Annex, hari ini.

Zaidy (PAS-Taman Templer) berkata, pihaknya yakin masalah sedia ada mampu diselesaikan sepenuhnya jika tiada kes banjir berlaku di kawasan baru.

“Harapan ini bersandarkan kepada rekod yang dicapai apabila kita berjaya selesaikan 48 peratus hot spot banjir yang direkodkan berlaku tahun lalu.

“Ketika ini, saya mendapatkan input daripada anggota dewan lain untuk dinilai selain giat menyiapkan senarai pencegahan banjir untuk dimasukan dalam RMK-11 nanti,” katanya.

-NFN-