Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

RMS garis 7 langkah pembaharuan FAS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 FEB: DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenal pasti beberapa langkah pembaharuan yang perlu diambil dalam usaha memulih dan membangunkan semula Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Menerusi akaun Facebook rasminya, Raja Muda Selangor itu menggariskan tujuh langkah sebagai usaha rombakan drastik demi mewujudkan barisan pengurusan cekap dengan meletakkan pembangunan bola sepak sebagai keutamaan FAS.

Titah baginda, badan induk bola sepak negeri itu memerlukan individu berpengalaman, selain disokong pasukan berkebolehan yang dapat membantu dalam menerajui usaha rombaka yang bakal dilaksanakan nanti.

“Jawatan Presiden tidak boleh dipegang lebih dari dua penggal dengan kriteria adalah individu tidak terbabit secara langsung dalam politik dan bukan golongan gemar membuat kacau serta mengganggu ketenteraman orang ramai.

“Empat ahli EXCO kanan dan Setiausaha Agung pula mesti dilantik Presiden FAS dan jawatan tidak boleh dipegang orang sama lebih dari dua penggal berturut-turut serta mesti terdiri daripada 60 peratus muka baharu,” titah baginda.

Raja Muda KLIA2 (5)Pada masa sama, baginda menggesa FAS memberi lebih kuasa eksekutif kepada Presiden supaya setiap perkara yang dilaksanakan lebih efektif berteraskan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memberi impak positif kepada kemajuan bola sepak negeri itu.

Baginda turut mengakui ketika ini adalah masa kritikal bagi FAS memulihkan keadaan yang sangat tenat dan merealisasikan potensi sebenar pasukan The Red Giants.

“Ahli gabungan juga perlu bergiat aktif jika mahu mengundi dan cara ini boleh dicapai dengan pembabitan mereka dalam usaha pembangunan bola sepak dan menyampaikan laporan berkala kepada FAS.

“Seluruh kepemimpinan FAS perlu memikul tanggungjawab dan akauntabiliti supaya posisi dan kewangan juga sentiasa kukuh serta tidak bergantung kepada pembiayaan Kerajaan Negeri secara berterusan,” titah baginda.

Baginda turut menyarankan FAS meningkatkan pembangunan bola sepak di negeri itu dan bekerjasama rapat dengan ahli kelab gabungan, pertandingan bola sepak komuniti juga badan sektor awam serta swasta bagi menyumbang kepada pembangunan akar umbi dan peringkat belia di Selangor.

-AA-

Categories
SELANGOR

RMS: MoU HIJRAH-SAY mampu luaskan usahawan belia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 16 FEB: Golongan belia yang berminat menceburi bidang keusahawanan di Selangor disaran supaya tidak melepaskan peluang menyertai program HIJRAH yang dilancarkan Kerajaan Negeri bagi membantu golongan peniaga di negeri itu.

Yang Teramat Mulia (YTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, hal ini ekoran bidang keusahawanan bukan sahaja mampu menawarkan pendapatan konsisten kepada pemilik perniagaan, malahan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Program HIJRAH Selangor adalah inisiatif Kerajaan Negeri bukan sahaja menyediakan dana diperlukan usahawan untuk berkembang tetapi turut mewujudkan budaya menabung dan mengembangkan rangkaian usahawan dengan meluas.

“Ini adalah satu permulaan baik seperti mana saya percaya keusahawanan adalah aspek penting dalam masyarakat seperti mewujudkan pekerjaan dan meluaskan kekayaan kepada golongan lain,” titah baginda ketika Majlis Pelancaran Selangor IGNITE 2017 di Hotel Sunway Resort & Spa, di sini, semalam.

Baginda yang juga pengasas dan penaung Selangor Youth Community (SAY) itu bertitah, walaupun keusahawan adalah bidang mencabar tetapi perkara terbabit dapat direalisasikan dengan bantuan dan nasihat pasukan teknikal HIJRAH serta usahawan berpengalaman.

IMG_20170215_172735-800x541Tengku Amir bertitah, pendekatan HIJRAH juga selaras pendekatan SAY membantu belia berdikari dan bukannya menghulurkan bantuan kewangan yang hanya bersifat sementara.

“Saya juga yakin SAY akan menjadi platform yang mampu mengembangkan maklumat berkenaan kewujudan program HIJRAH dengan lebih meluas dan tidak terhad dalam komuniti tertentu sahaja,” titah baginda.

Terdahulu, baginda menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara HIJRAH Selangor dengan SAY yang diwakili Pengerusi Eksekutif HIJRAH, Datuk Mansor Othman dan Ketua Pengurus Operasinya, Roslim Md Akhir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Izhar Moslim dan Pengurus Kanannya, Dr Johan Kamal Hamidon mewakili pihak SAY.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Perkembangan FAS, netizen sokong kenyataan RMS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 DIS: Kenyataan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan perkembangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Red Giants mendapat perhatian juga sokongan netizen khususnya penyokong negeri itu.

Sememangnya kemelut melanda FAS sejak kebelakangan ini menjadi bualan ramai dan meresahkan majoriti peminat bola sepak Selangor yang mengharapkan ia tidak berpanjangan serta menjejaskan persiapan pasukan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia 2017.

Netizen menyambut baik keprihatinan Tengku Amir Shah menerusi kenyataan baginda dalam Facebooknya, Raja Muda Selangor – RMS dengan komen membina serta berharap FAS mengalami proses perubahan positif demi kebaikan bola sepak Selangor.

“Sudah (tiba) masa pengurusan lama diganti baru terutama barisan exco yang ada sekarang ahli politik, mereka tidak undur, Tengku kena ambil alih FAS seperti yang dilakukan Johor TMJ (Tengku Mahkota Johor). Kami sayang Selangor. DAULAT TUANKU,” luah Syed Albab Alyahya.

Raufismail Rauf juga berkongsi pandangan dengan saranan FAS melalui rombakan semula supaya ditadbir urus kepimpinan baru, “Perlu nafas baru dan segar untukmu Selangor”.

Red Giants“Alhamdulillah dan terima kasih atas keperihatinan Tuanku berkenaan masa depan bola sepak Selangor. Sudah lama kami sebagai penyokong Selangor tunggu detik ini,” nukil Faizal Mahfaz pula.

Ia sebahagian luahan dan komen netizen juga penyokong Red Giants yang rata-rata tidak berpuas hati dengan barisan kepimpinan FAS sedia ada yang didakwa gagal mengembalikan kegemilangan Selangor serta berdepan cabaran pasukan lain dalam Liga Super.

Dalam kenyataannya, Tengku Amir Shah melahirkan kebimbangan dengan perkembangan dan laporan terkini berkenaan FAS serta secara peribadi berkongsi keresahan penyokong dalam media sosial.

Raja Muda Selangor sendiri menunjukkan minat terhadap sukan termasuk bola sepak melalui penganjuran Selangor Champions League (SCL) 2016 dilaksanakan di bawah Selangor Youth Community (SAY) diterajui baginda.

-AA-