Categories
SELANGOR

Pusat Kecemerlangan Robotik platform realisasi ‘smart state’

OLEH NAZLI IBRAHIM

CYBERJAYA, 7 DIS: Usahasama penubuhan Pusat Kecemerlangan Robotik, di Malaysia mampu menjadi platform dalam usaha Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai ‘smart state’ serantau.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerjasama itu turut memberi nilai tambah kepada ekosistem dan persediaan negara berhadapan kedatangan revolusi industri 4.0.

“Satu tugas yang berat untuk menjadi ‘smart state’ pertama di dunia berbanding ‘smart city’, namun boleh direalisasikan dengan kerjasama semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Usahasama antara Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Persatuan Robotik dan Automasi Malaysia (MyRAS), Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Yayasan Promosi Industri Bucheon (Bipf), Korea bersama Advance Technologies Innovative Alliance (ATIA), di Bangunan Pesuruhjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, di sini, semalam.

Katanya, Korea dipilih ekoran kepesatan pembangunan teknologi di negara itu, di samping sokongan kuat kerajaan negara berkenaan.

Beliau juga tidak menolak untuk menjalin kerjasama dengan negara maju lain termasuk negara barat, pada masa akan datang.

Majlis sama turut menyaksikan ATIA melancarkan kolaborasi melalui tiga memorandum persefahaman dengan MTDC, MyRAS dan MARii.

Dalam persefahaman itu, ATIA berperanan sebagai fasilator kepada syarikat tempatan dan Korea bagi menghasilkan platform kerjasama dan mengeratkan hubungan antara institut teknologi dalam bidang teknologi maklumat, komunikasi serta robotik.

Categories
SELANGOR

Pelajar 17 tahun menang tempat kedua pertandingan robotik patut buka mata semua pihak

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 24 OGOS: Kemampuan pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Puteri Rawang, Manoj Kumar bersaing dengan peserta lebih senior termasuk mahasiswa institusi pengajian tinggi dalam pertandingan robotik wajar membuka mata banyak pihak.

Pengasas Malaysian Raspberry Pi Club, Ted Chan, berkata ia berikutan walaupun Manoj baru berusia 17 tahun, namun berjaya menunjukkan potensinya dalam bidang ini termasuk berjaya menduduki tempat kedua dalam pertandingan robotik yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Diharap semua pihak dapat terlibat sama dalam pelbagai bentuk khususnya bantuan atau tajaan dalam membangunkan potensi bakat muda yang ingin menceburi bidang ini sama ada swasta atau kerajaan,” kata Ted ketika ditemui SelangorKini di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, selain menduduki tempat kedua, Kumar sering menempatkan dirinya pada kedudukan yang baik dalam setiap pertandingan yang disertainya.

Katanya, selain itu Manoj juga mempunyai kebolehan menulis perisian komputer lazimnya hanya dikuasai seseorang yang mahir dalam bidang perisian.

“Manoj mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang ini kerana pada masa sekarang dia sudah mencapai tahap yang sama seperti pelajar universiti sedangkan dia baru berusia 17 tahun sahaja.

“Susah nak cari remaja seusia Manoj yang mempunyai kebolehan seperti ini. Ada juga yang minat tetapi tak mencapai seperti apa yang Manoj ada,” katanya lagi.

Apabila ditanya perancangannya seterusnya, Manoj memberitahu beliau sedang mempersiapkan diri untuk menyertai pertandingan peringkat antarabangsa anjuran Microsoft pada tahun hadapan.

“Sebelum itu saya perlu melepasi peringkat dalam negara dahulu dan kalau berjaya barulah melayakkan saya ke peringkat antarbangsa,” katanya.

Bapa kepada Manoj, Subramaniam Kaliannan ketika mengimbas kembali detik permulaan anaknya itu menceburi bidang elektronik dan komputer memberitahu, Manoj mempunyai ketekunan dan sikap tidak berputus asa yang amat diperlukan dalam bidang itu.

“Mula-mula saya beri dia komputer saya dan tak lama selepas itu saya lihat komputer saya seolah-olah sudah rosak tetapi beberapa hari kemudian saya dapati komputer itu kembali berfungsi dengan baik.

“Sampai sekarang pun dia akan membuka komputer yang ada hingga hanya tinggal rangka dan kemudiannya dia akan jadikan komputer itu lebih canggih lagi,” katanya.

EZY