Categories
AGENSI SELANGOR

Landasan terbaik terokai keunikan Bandar Diraja Klang

KLANG, 4 JAN: Pakej lawatan pelancongan ‘Royal Klang Heritage Walk’ dijangka akan terus menjadi pilihan dan tarikan pelancong untuk menerokai keunikan sejarah, kesenian dan kebudayaan di sini.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif memperkenalkan lawatan berjalan kaki di sekitar bandar diraja itu sejak 2015.

Katanya, ia merangkumi lawatan ke 11 tempat bersejarah di sekitar daerah Klang yang mengambil masa lebih dua jam.

“Selain ditawarkan secara percuma pada hujung minggu beserta pemandu arah bertauliah, pakej lawatan ini merupakan landasan terbaik bagi memudahkan pelancong dalam dan luar negara mendekati serta mendalami sejarah bandar diraja ini.

“Bandar ini merupakan bandar terawal ditubuhkan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Royal Klang Town Heritage Walk’ bersama pelajar Management and Science University (MSU) di Stadium Sultan Suleiman di sini, hari ini.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Elya Marini Darmin dan Presiden MSU, Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Pada masa sama, Azrul Shah berkata, sehingga September tahun lalu, Selangor mencatatkan jumlah kehadiran pelancong seramai kira-kira 5.38 juta.

Katanya, angka itu menyumbang kepada peningkatan sebanyak empat peratus berbanding tempoh sama pada 2018.

“Melihat pada momentum positif yang ditunjukkan, Kerajaan Negeri menyasarkan jumlah kedatangan pelancong seramai 8 juta untuk tahun ini.

“Justeru, pelbagai program pelancongan akan dilaksanakan pada masa akan datang lebih menjurus kepada pembentukan identiti Selangor sebagai sebuah negeri maju yang memperjuangkan kelestarian budaya, peradaban dan warisan tempatan,” katanya.

Azrul Shah berharap konsep sedemikian turut disokong dan mendapat kerjasama semua pihak terutamanya di peringkat pihak berkuasa tempatan, agensi kebudayaan daerah dan pelancongan tempatan.

Categories
SELANGOR

Blue print Royal Klang Heritage Walk, tingkat destinasi pelancongan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 FEB : Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) giat melaksanakan blue print bagi lanjutan pembangunan Royal Klang Heritage Walk.

Sub-Seksyen Jawatankuasa Tetap Pelancongan UPEN – Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Ahmad Nazmi Razali berkata, ia meliputi aspek penyediaan dasar dan prospek pembangunan pelancongan sepanjang tahun.

“Kita kini fokus ke arah pembangunan Royal Klang Heritage Walk dan pembangunan ini dalam peringkat proses menghasilkan blue print.

“Penyediaannya dibuat untuk tujuan pembangunan jangka panjang dan penyediaannya masih di peringkat dasar sebelum diteruskan untuk tempoh 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui pada sesi taklimat dan bengkel pelancongan Klang, di Hotel Puteri Garden, semalam.

Terdahulu, Royal Klang Heritage Walk mula dibangunkan ketika pemerintahan zaman kegemilangan British, sekitar 1800 dan pertengahan 1900.

Ia merupakan kawasan pentadbiran awal British di Selangor yang kini menjadi antara peninggalan sejarah pemerintahan British di Selangor.

Kini, kawasan itu menjadi antara destinasi tarikan pelancongan Klang yang memberi peluang kepada pelancong melihat kesan sejarah dan peninggalan artifak British.