Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Rumah Selangorku Idaman Kajang siap hujung tahun

SHAH ALAM, 11 MEI: Projek Rumah Selangorku Idaman di Kajang dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kediaman berkeluasan 1,052 kaki persegi itu turut dilengkapi perabot termasuk dua petak parkir berbumbung.

“Rumah berharga RM250,000 ini dilengkapi sistem pembiayaan mampu milik khusus untuk rakyat Selangor,” katanya dalam keratan video di Twitter.

Video itu memaparkan Amirudin melawat tapak projek Rumah Idaman di Tropicana Kajang 2.

Kerajaan Selangor meluluskan pembinaan 80,650 unit Rumah Selangorku Idaman dan Harapan menerusi 41 projek yang dijadual siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.

Daripada jumlah itu, lebih 77,000 ditawarkan kepada orang awam manakala selebihnya diberikan kepada Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

80,000 rumah mampu milik dalam tempoh empat tahun

SHAH ALAM, 3 MEI: Pembinaan 80,000 Rumah Selangorku Idaman dan Harapan yang dijadual siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun bakal menyuntik pulangan RM17 bilion kepada ekonomi negeri.

Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Soffan Affendi Aminudin berkata projek sedemikian akan melancarkan perkembangan ekonomi negeri dalam jangka panjang.

“Dari sudut pembinaan, ia akan berjalan, dari sudut pekerjaan ia akan berjalan, pembiayaan berjalan dan ia akan memberi nilai tambah kepada individu yang mempunyai rumah tersebut,” katanya pada 28 April.

Beliau memaklumkan langkah-langkah Kerajaan Negeri dalam memastikan kelestarian ekonomi sebagai reaksi Laporan Tahunan 2020 Bank Negara Malaysia yang meramalkan ekonomi berkembang pada kadar 6 hingga 7.5 peratus tahun ini.

Soffan Affendi berkata projek melibatkan 45,000 unit Rumah Idaman diselenggara MBI manakala bakinya dijayakan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yang membina Rumah Harapan.

Jelasnya, kedua-dua jenis pangsapuri berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi itu layak dimiliki isi rumah berpendapatan RM10,000 sebulan.

 

Categories
SELANGOR

PKNS bina 864 unit Rumah SelangorKu, tawar harga mampu milik

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 2 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) komited membina 864 unit Rumah SelangorKu Idaman di Seksyen 6, Selangor Cyber Valley dengan tawaran harga mampu milik bermula dari RM232,000.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau memuji inisiatif PKNS dalam menyahut saranan Kerajaan Negeri untuk menyediakan rumah pada harga berpatutan, sekali gus memberi peluang golongan berpendapatan rendah serta sederhana memiliki kediaman sendiri.

Katanya, beliau yakin Rumah SelangorKu Idaman PKNS itu dapat merealisasikan kehidupan lebih baik terutama kepada rakyat di Selangor.

“Menariknya, rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi ini turut menyediakan empat unit mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mempunyai pelbagai kemudahan bagi memudahkan golongan terbabit.

“Bercirikan gabungan seni bina unik dan moden, projek ini dibina di atas tanah berkeluasan 14.41 ekar dengan dua blok; Blok A (14 tingkat) dan Blok B (15 tingkat) dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air serta dua parkir kereta setiap unit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pangsapuri SelangorKu Idaman Residensi, Seksyen 6, Selangor Cyber Valley, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, projek itu dijangka siap pada Disember tahun depan, manakala jangkaan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) diperoleh pada pertengahan 2021.

“Antara kelebihan projek ini adalah ia dilengkapi ruang pejabat pengurusan, surau, dewan serbaguna, tiga unit ruang kedai, bilik pengurusan jenazah, taman permainan, ruang tadika, lif dan empat tingkat parkir bertingkat.

“Lokasinya terletak di bandar pintar berdekatan lebuh raya utama seperti NKVE, LDP, SKVE, Elite dan Mex. Jarak perjalanan ke Putrajaya sejauh 17 kilometer dan KLIA kira-kira 29 kilometer,” katanya.

Katanya, ia juga hampir dengan pelbagai kemudahan lain seperti pusat membeli belah seperti Shafstbury; DPulze dan institusi pendidikan antaranya Universiti Multimedia (MMU), Kolej Sains Perubatan Universiti Cyberjaya (CUCMS) dan Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing.

“Justeru, saya menggesa penduduk di Selangor yang belum memiliki rumah dan mahu memiliki rumah mampu milik PKNS perlu berdaftar dengan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).

“Malah, saya dimaklumkan lebih 100 pemohon sudah membuat pendaftaran pembelian unit sejak ia dibuka semalam,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh melayari laman sesawang www.pkns-property.com atau Facebook PKNS Property, selain hubungi wakil jualan di talian 019-2139991; 018-2051713 atau 03-89262000.