Categories
AGENDA NASIONAL

Gelombang ketiga Covid-19, tahap bahagia keluarga makin baik

PUTRAJAYA, 24 DIS: Tahap kebahagiaan rumah tangga di negara ini menjadi semakin baik pada gelombang ketiga Covid-19 berbanding dua gelombang yang lepas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata perkara itu dinyatakan oleh 49 peratus responden daripada golongan ibu bapa yang terlibat dalam tinjauan pendapat yang dilaksanakan secara dalam talian sempena Bulan Keluarga Kebangsaan 2020 pada November lepas.

“Ini selaras dengan penemuan tinjauan tersebut yang turut mendapati bahawa sebanyak 64 peratus responden ibu bapa yang mengakui bahawa komunikasi mereka dengan pasangan telah menjadi semakin baik pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Rina berkata tinjauan terbaru Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu secara tidak langsung memberi gambaran institusi keluarga menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

“Usaha lebih giat akan terus dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan penyampaian pendidikan kekeluargaan bagi memastikan institusi keluarga mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk berfungsi bagi mencapai kesejahteraan,” katanya.

Selain itu, Rina berkata skor keseluruhan Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) 2019 meningkat 0.39 mata kepada 7.72 berbanding 7.33 pada 2016 dan kekal pada tahap sederhana.

Katanya, domain hubungan kekeluargaan menjadi penyumbang skor tertinggi IKK 2019 iaitu 8.35 daripada skala maksimum 10.

Domain hubungan kekeluargaan dipantau melalui tujuh indikator yang mengukur aspek berkaitan kekeluargaan iaitu penglibatan ibu bapa, kualiti masa bersama keluarga, imbangan kerja dan keluarga, perhubungan rapat, kefungsian keluarga, daya tindak keluarga dan daya tahan keluarga, katanya.

Domain lain yang diukur ialah keluarga, peranan agama dan amalan kerohanian yang mencatatkan skor 8.25; domain keluarga dan keterlibatan komuniti (8.00) serta domain keselamatan keluarga (7.86).

Domain ekonomi keluarga pula merekodkan skor 7.67; domain kesihatan keluarga (7.44); domain perumahan dan persekitaran (7.35) serta domain keluarga dan teknologi komunikasi (6.82), katanya.

-BERNAMA

 

Categories
RENCANA

Keganasan rumah tangga, tingkah laku komunikatif memaksa

OLEH: NORAZIRAWATI AHMAD

Memanggil isteri dengan gelaran ‘gemuk’ merupakan salah satu daripada penderaan mental dan psikologi, apatah lagi penderaan yang membawa kepada kecederaan serta kematian. Laporan berita mengenai kes penderaan isteri sentiasa mendapat perhatian masyarakat pembaca. Kes pasangan yang sering bertengkar, bertindak ganas dan berakhir dengan kematian merupakan satu tindakan pencemaran terhadap objektif sebenar institusi keluarga. Carian menggunakan enjin carian akhbar dalam talian menunjukkan banyak kes penderaan dilaporkan. Penderaan fizikal yang paling tinggi adalah ditampar, dipukul dan ditendang. Manakala, penderaan mental yang paling tinggi adalah dimaki, dicemuh dan diherdik dan penderaan seksual yang utama adalah dipaksa melakukan hubungan seks.

Faktor keganasan domestik

Sarjana akademik menggunakan model keganasan domestik untuk menerangkan kejadian ‘di sebalik pintu yang tertutup’ ini.

violence_againt_womenModel psikologikal mencadangkan tindakan ganas ini merupakan refleksi kepada sifat agresif, obsesi atau neurotik seseorang. Peranan gambaran sifat lelaki sebagai seorang yang gagah, tidak mudah terpengaruh dengan emosi, pantang dicabar, suka sesuatu yang ganas dan berkeinginan untuk selalu berada di tahap yang tinggi turut mempengaruhi penguasaan lelaki terhadap wanita. Ini kerana, wanita disifatkan subordinasi kepada lelaki, tidak suka kepada keganasan, lebih beremosi dan lebih mudah mengalah. Gambaran-gambaran ini sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan keganasan oleh lelaki terhadap wanita.

Model sosiologi menyalahkan struktur keluarga patriarki yang melazimkan kuasa lelaki terhadap wanita. Lelaki pendera memukul kerana merasakan mereka mempunyai hak dan berkuasa terhadap wanita. Selain itu, mereka bertindak secara ‘logik’ dengan cara menghukum mengguna fizikal untuk ‘mengajar’ yang betul daripada salah, menjadi alasan untuk ‘mengajar’ isteri yang melawan dan bertikam lidah untuk membela diri. Mereka tidak memukul orang yang lebih kuat tetapi memilih seseorang yang dianggap lemah dan tidak dilindungi oleh sesiapa. Keganasan terhadap wanita merupakan mekanisme sosial yang memaksa wanita untuk berada di tahap yang rendah berbanding lelaki.Terdapat juga yang mendakwa sistem kepercayaan yang menggalakkan keganasan ini dengan melabelnya ‘demonstrasi sayang’ sebagaimana ibu bapa memukul anaknya kerana sayang.

Wanita terus kekal dalam penderaan 

Jika membaca isu-isu Mahkamah Syariah yang berkaitan dengan kes keganasan rumah tangga, kita akan menemui berbagai ragam penderaan. Selepas bertahun melalui episod penderitaan, barulah sesetengah wanita bertindak untuk keluar daripada hubungan atas alasan penderaan. Kenapa kejadian penderaan ini berterusan dan bagaimana wanita sebagai mangsa penderaan kekal dalam keadaan penderaan boleh dilihat dari sudut Teori Pusingan atau ‘Cycle Theory’ oleh Walker.

Setiap pusingan penderaan ada tiga fasa. Fasa pertama iaitu tekanan terbentuk disebabkan berlakunya beberapa siri penderaan kecil. Si pendera tidak bertindak ganas yang melampau. Mangsa pula berupaya menghadapi dan mengatasi tekanan. Bagaimanapun, dari semasa ke semasa, tekanan tersebut meningkat sehingga di satu tahap mangsa mengawal keadaan.

keganasanPada fasa kedua ini menggambarkan, mangsa tidak berupaya untuk mengawal dan membuang tekanan yang terhasil di peringkat fasa pertama. Pelaku keganasan mula melakukan keganasan fizikal yang boleh mencederakan mangsa dengan teruk sekali. Sebaik sahaja keganasan reda, perasaan terkejut, menyesal dan tidak percaya oleh kedua-dua pihak pelaku dan mangsa akan menyusur bersama penurunan tekanan yang dialami mangsa.

Manakala, fasa terakhir bermula apabila wujudnya tempoh tenang antara kedua pihak. Pelaku menyesal di atas tindakannya dan bertukar menjadi seorang penyayang, pengampun dan pengasih, manakala mangsa percaya bahawa pelaku tidak akan mengulangi keganasan dan telah berubah. Disebabkan keadaan menjadi normal semula, mangsa meras akan sukar untuk menamatkan hubungan. Namun kemudiannya, fasa pertama akan kembali semula yang menandakan pusingan keganasan kedua akan berlaku. Begitulah seterusnya hingga mengakibatkan keganasan ini berterusan.

Menangani konflik 

Konflik adalah sebahagian daripada perhubungan manusia. Konflik juga mempunyai kepentingan. Ia merupakan tingkah laku seseorang untuk mendapatkan kepentingan bagi dirinya dan bagaimana seseorang itu bertingkah laku untuk menyelesaikan sesuatu konflik. Budaya Asia amat kurang menginginkan orang luar mencampuri urusan rumah tangga mereka. Malah, dikatakan sebagai suatu keaiban kalau orang luar mengetahui konflik suamiisteri. Dengan itu, berbagai teknik yang tiada berkesudahan yang digunakan oleh suami dan isteri dalam menangani konflik.

pic-norazirawati-1Kita boleh melihat tingkah laku komunikatif pasangan suami isteri ketika menangani konflik lazim dalam hubungan mereka melalui pendekatan teori Taktik Konflik Straus. Pertama, pemberian alasan atau intelektualisasi seperti perbincangan rasional, perbahasan dan pendekatan alasan. Kedua, penyerangan lisan iaitu penggunaan perlakuan lisan dan tanpa lisan secara simbolik atau penggunaan ancaman untuk menyakiti pasangan. Manakala ketiga, keganasan dengan cara penggunaan desakan fizikal terhadap pasangan sebagai suatu kaedah menangani konflik.

Budaya masyarakat Malaysia sederhana dalam mencurah perasaan (expressive). Kajian pernah dilakukan mendapati taktik konflik pemberian alasan amat kerap digunakan, diikuti penyerangan lisan. Keganasan amat kurang digunakan. Namun begitu, pasangan Malaysia lebih kerap menggunakan taktik keganasan berbanding pasangan Jepun dan India. Ia mempamerkan kecenderungan yang paling tinggi menggunakan keganasan sebagai taktik penyelesaian konflik. Jika dilihat daripada sudut gender, isteri lebih kerap menggunakan taktik pemberian alasan berbanding suami. Isteri juga lebih kerap menggunakan penyerangan lisan.Teori ‘Catharsis’ melihat bahawa penyerangan lisan dilihat sebagai alternatif kepada keganasan fizikal dalam mana-mana masyarakat.

Sekiranya suami intelektual, maka isteri akan cuba menjadi intelektual di dalam pengurusan konflik mereka. Sebaliknya, isteri mempunyai tendensi untuk lebih agresif sekiranya suami bertindak ganas. Situasi ini menunjukkan, tingkah laku suami atau isteri ditentukan atau dipengaruhi pasangan di dalam keluarga tersebut.

Kesimpulan 

Kemerosotan institusi keluarga mengundang pelbagai kesan yang menghalang dalam melahirkan masyarakat sejahtera dan penyayang. Justeru, anak lelaki dan perempuan perlu dididik ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat bahawa keganasan rumah tangga tidak boleh diterima.Tambahan pula dalam konteks umat Islam, kerana Islam tidak mengizinkan suami bertindak kejam terhadap isterinya, baik secara fizikal mahupun mental. Islam menekankan kasih sayang, kebaikan dan keadilan dalam hubungan kekeluargaan dan melarang semua bentuk kezaliman.

Selain itu, kefahaman konsep kesamarataan, perkongsian antara wanita dan lelaki serta menghormati kemuliaan insan perlu diserapkan di setiap peringkat pergaulan. Sistem pendidikan perlu mempromosi sikap saling menghormati dan bekerjasama di antara wanita dan lelaki.

# Norazirawati Ahmad adalah Pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)