Categories
RENCANA

Keganasan rumah tangga, tingkah laku komunikatif memaksa

OLEH: NORAZIRAWATI AHMAD

Memanggil isteri dengan gelaran ‘gemuk’ merupakan salah satu daripada penderaan mental dan psikologi, apatah lagi penderaan yang membawa kepada kecederaan serta kematian. Laporan berita mengenai kes penderaan isteri sentiasa mendapat perhatian masyarakat pembaca. Kes pasangan yang sering bertengkar, bertindak ganas dan berakhir dengan kematian merupakan satu tindakan pencemaran terhadap objektif sebenar institusi keluarga. Carian menggunakan enjin carian akhbar dalam talian menunjukkan banyak kes penderaan dilaporkan. Penderaan fizikal yang paling tinggi adalah ditampar, dipukul dan ditendang. Manakala, penderaan mental yang paling tinggi adalah dimaki, dicemuh dan diherdik dan penderaan seksual yang utama adalah dipaksa melakukan hubungan seks.

Faktor keganasan domestik

Sarjana akademik menggunakan model keganasan domestik untuk menerangkan kejadian ‘di sebalik pintu yang tertutup’ ini.

violence_againt_womenModel psikologikal mencadangkan tindakan ganas ini merupakan refleksi kepada sifat agresif, obsesi atau neurotik seseorang. Peranan gambaran sifat lelaki sebagai seorang yang gagah, tidak mudah terpengaruh dengan emosi, pantang dicabar, suka sesuatu yang ganas dan berkeinginan untuk selalu berada di tahap yang tinggi turut mempengaruhi penguasaan lelaki terhadap wanita. Ini kerana, wanita disifatkan subordinasi kepada lelaki, tidak suka kepada keganasan, lebih beremosi dan lebih mudah mengalah. Gambaran-gambaran ini sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan keganasan oleh lelaki terhadap wanita.

Model sosiologi menyalahkan struktur keluarga patriarki yang melazimkan kuasa lelaki terhadap wanita. Lelaki pendera memukul kerana merasakan mereka mempunyai hak dan berkuasa terhadap wanita. Selain itu, mereka bertindak secara ‘logik’ dengan cara menghukum mengguna fizikal untuk ‘mengajar’ yang betul daripada salah, menjadi alasan untuk ‘mengajar’ isteri yang melawan dan bertikam lidah untuk membela diri. Mereka tidak memukul orang yang lebih kuat tetapi memilih seseorang yang dianggap lemah dan tidak dilindungi oleh sesiapa. Keganasan terhadap wanita merupakan mekanisme sosial yang memaksa wanita untuk berada di tahap yang rendah berbanding lelaki.Terdapat juga yang mendakwa sistem kepercayaan yang menggalakkan keganasan ini dengan melabelnya ‘demonstrasi sayang’ sebagaimana ibu bapa memukul anaknya kerana sayang.

Wanita terus kekal dalam penderaan 

Jika membaca isu-isu Mahkamah Syariah yang berkaitan dengan kes keganasan rumah tangga, kita akan menemui berbagai ragam penderaan. Selepas bertahun melalui episod penderitaan, barulah sesetengah wanita bertindak untuk keluar daripada hubungan atas alasan penderaan. Kenapa kejadian penderaan ini berterusan dan bagaimana wanita sebagai mangsa penderaan kekal dalam keadaan penderaan boleh dilihat dari sudut Teori Pusingan atau ‘Cycle Theory’ oleh Walker.

Setiap pusingan penderaan ada tiga fasa. Fasa pertama iaitu tekanan terbentuk disebabkan berlakunya beberapa siri penderaan kecil. Si pendera tidak bertindak ganas yang melampau. Mangsa pula berupaya menghadapi dan mengatasi tekanan. Bagaimanapun, dari semasa ke semasa, tekanan tersebut meningkat sehingga di satu tahap mangsa mengawal keadaan.

keganasanPada fasa kedua ini menggambarkan, mangsa tidak berupaya untuk mengawal dan membuang tekanan yang terhasil di peringkat fasa pertama. Pelaku keganasan mula melakukan keganasan fizikal yang boleh mencederakan mangsa dengan teruk sekali. Sebaik sahaja keganasan reda, perasaan terkejut, menyesal dan tidak percaya oleh kedua-dua pihak pelaku dan mangsa akan menyusur bersama penurunan tekanan yang dialami mangsa.

Manakala, fasa terakhir bermula apabila wujudnya tempoh tenang antara kedua pihak. Pelaku menyesal di atas tindakannya dan bertukar menjadi seorang penyayang, pengampun dan pengasih, manakala mangsa percaya bahawa pelaku tidak akan mengulangi keganasan dan telah berubah. Disebabkan keadaan menjadi normal semula, mangsa meras akan sukar untuk menamatkan hubungan. Namun kemudiannya, fasa pertama akan kembali semula yang menandakan pusingan keganasan kedua akan berlaku. Begitulah seterusnya hingga mengakibatkan keganasan ini berterusan.

Menangani konflik 

Konflik adalah sebahagian daripada perhubungan manusia. Konflik juga mempunyai kepentingan. Ia merupakan tingkah laku seseorang untuk mendapatkan kepentingan bagi dirinya dan bagaimana seseorang itu bertingkah laku untuk menyelesaikan sesuatu konflik. Budaya Asia amat kurang menginginkan orang luar mencampuri urusan rumah tangga mereka. Malah, dikatakan sebagai suatu keaiban kalau orang luar mengetahui konflik suamiisteri. Dengan itu, berbagai teknik yang tiada berkesudahan yang digunakan oleh suami dan isteri dalam menangani konflik.

pic-norazirawati-1Kita boleh melihat tingkah laku komunikatif pasangan suami isteri ketika menangani konflik lazim dalam hubungan mereka melalui pendekatan teori Taktik Konflik Straus. Pertama, pemberian alasan atau intelektualisasi seperti perbincangan rasional, perbahasan dan pendekatan alasan. Kedua, penyerangan lisan iaitu penggunaan perlakuan lisan dan tanpa lisan secara simbolik atau penggunaan ancaman untuk menyakiti pasangan. Manakala ketiga, keganasan dengan cara penggunaan desakan fizikal terhadap pasangan sebagai suatu kaedah menangani konflik.

Budaya masyarakat Malaysia sederhana dalam mencurah perasaan (expressive). Kajian pernah dilakukan mendapati taktik konflik pemberian alasan amat kerap digunakan, diikuti penyerangan lisan. Keganasan amat kurang digunakan. Namun begitu, pasangan Malaysia lebih kerap menggunakan taktik keganasan berbanding pasangan Jepun dan India. Ia mempamerkan kecenderungan yang paling tinggi menggunakan keganasan sebagai taktik penyelesaian konflik. Jika dilihat daripada sudut gender, isteri lebih kerap menggunakan taktik pemberian alasan berbanding suami. Isteri juga lebih kerap menggunakan penyerangan lisan.Teori ‘Catharsis’ melihat bahawa penyerangan lisan dilihat sebagai alternatif kepada keganasan fizikal dalam mana-mana masyarakat.

Sekiranya suami intelektual, maka isteri akan cuba menjadi intelektual di dalam pengurusan konflik mereka. Sebaliknya, isteri mempunyai tendensi untuk lebih agresif sekiranya suami bertindak ganas. Situasi ini menunjukkan, tingkah laku suami atau isteri ditentukan atau dipengaruhi pasangan di dalam keluarga tersebut.

Kesimpulan 

Kemerosotan institusi keluarga mengundang pelbagai kesan yang menghalang dalam melahirkan masyarakat sejahtera dan penyayang. Justeru, anak lelaki dan perempuan perlu dididik ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat bahawa keganasan rumah tangga tidak boleh diterima.Tambahan pula dalam konteks umat Islam, kerana Islam tidak mengizinkan suami bertindak kejam terhadap isterinya, baik secara fizikal mahupun mental. Islam menekankan kasih sayang, kebaikan dan keadilan dalam hubungan kekeluargaan dan melarang semua bentuk kezaliman.

Selain itu, kefahaman konsep kesamarataan, perkongsian antara wanita dan lelaki serta menghormati kemuliaan insan perlu diserapkan di setiap peringkat pergaulan. Sistem pendidikan perlu mempromosi sikap saling menghormati dan bekerjasama di antara wanita dan lelaki.

# Norazirawati Ahmad adalah Pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Categories
NASIONAL

BIPPA: Rujuk pandangan ilmuan Islam tangani keganasan

SHAH ALAM 17 JAN: Semua pihak terutama pihak berkuasa di negara ini disaran merujuk semula pandangan ilmuwan Islam dalam menangani gejala keganasan.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN, Senator Dr Muhammad Nur Manuty, berkata sebagai contoh karya Shaikh Yusuf al-Qaradawi (tokoh Maal Hijrah negara) seperti Fiqh al-Jihad (2 Jilid) dan al-Wasatiyyah (kesederhanaan), relevan dijadikan rujukan utama.

PengganasKatanya, permasalahan keganasan ini perlu ditangani secara komprehensif, menyeluruh dan bersepadu.

“Ia tidak mungkin diselesaikan melalui pendekatan jangka pendek, ‘adhoc’ dan bersifat reaktif semata-mata. Kita wajib mencari prinsip dan kaedah imperatif membanterasnya,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata gejala keganasan serius dan memberi ancaman besar kepada agama dan negara.

Katanya, mereka yang terlibat dalam keganasan ini pada kebiasaannya taksub dengan ideologi dan terkesan akibat penindasan, ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku di beberapa negara terutama di Timur Tengah.

“Kerana itu, perang ke atas keganasan fikiran dan fizikal ini, tidak memadai dengan menggunakan senjata semata-mata. Ia memerlukan kajian mendalam, perancangan teliti, hikmah, istiqamah dan kesabaran,” katanya.

EZY

Serangan Jakarta : Selangor kecam keganasan pengeboman


Selangor mengutuk pengeboman di Jalan Tamrin, Jakarta yang dilakukan ISIS

Categories
BERITA UTAMA

Antara keganasan polis & penyokong kepartian, media ‘terkeronyok’

Oleh Fazallah Pit

SESETENGAH pihak menganggap Utusan atau media arus perdana seratus peratus kebal dari ‘dibelangkung’ pihak berkuasa khususnya polis atau Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ada benarnya tetapi hanya secara organisasi. Wartawannya tidak, jurugambarnya pun tidak. Mereka tetap dimangsai, sama seperti pengamal media alternatif mahupun media independen.

Cuma, ia tidak diperbesar-besar kecuali jika dimangsai penyokong pembangkang. Jika tidak, cerita itu ditutup atau sekurang-kurangnya dikecilkan. Mungkin mereka ‘deal‘ cara lain.

imageSelain kes wartawan The Sun yang dibelasah polis pada perhimpunan Bersih 3.0 hingga terlantar di hospital, kekasaran juga pernah berlaku membabitkan wartawan dan jurugambar Utusan.

Ketika itu, saya masih wartawan Berita Harian dan baru ditukar ke biro Klang. Kami sekereta – Proton Iswara merah yang dipandu wartawan senior Bernama dan dalam perjalanan membuat liputan Perhimpunan 100,000 Kesas.

Kami yakin ‘selamat’ – maklumlah, media arus perdana katakan.

Tidak jauh dari susur keluar Jalan Kebun dari Klang, kami berhenti di satu sekatan jalan raya di arah bertentangan.

Jurugambar Utusan merakam ‘aksi’ beberapa polis terhadap penyokong pembangkang. Untuk simpanan sahaja, mana boleh keluar paper, katanya kepada saya yang merokok sambil meninjau-ninjau.

Tiba-tiba, sekumpulan anggota polis berjalan laju ke arah kami.

Saya cepat-cepat masuk ke kereta – masih trauma akibat dikeronyok penyokong pembangkang dalam insiden ‘polis lepaskan tembakan ke udara’ di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

gardownload (1)Dalam sekelip mata, kereta yang kami naiki dikerumuni berbelas-belas  anggota polis, rasanya LSF (Unit Tindakan Ringan yang pakaiannya mirip FRU atau Unit Simpanan Persekutuan).

Tak ubah macam gula dihurung semut.

Seorang wartawan Utusan bersebelahan pemandu membuka pintu, mahu memberi penjelasan mengenai kehadiran kami. Malangnya, pintu kereta ditendang menyebabkan kaki kirinya terkapit.

Saya pula – di tempat duduk belakang, betul-betul belakang kerusi pemandu – menunjukkan kad media yang dikeluarkan Kementerian Penerangan apabila ditanya seorang anggota polis.

Press, press (Media, media)”  tetapi ‘tidak laku’ di mata anggota polis yang kemudian menghambur herdikan. Saya diam dan mulai memboikot kad media itu bertahun-tahun lamanya.

Kekecohan belum berakhir.

kareownload (1)Jurugambar Utusan – yang hanya menunggu tempoh pencen – dikerumuni anggota polis. Lehernya dicekak manakala filem kameranya dikeluarkan secara paksa. (Kamera berkenaan rosak akibat perbuatan itu).

Kami buat laporan dan dipanggil ke balai polis. Tapi, kami enggan – nekad hanya beri keterangan tanpa pergi ke balai. Maka, ia berlangsung di pejabat Utusan di Jalan Raja Bot, Klang.

Puluhan keping gambar anggota polis ditunjuk tapi semuanya ‘muka muda-muda’. Tak dapat cam, kami rasa dipermainkan, minta gambar yang agak baru tetapi tidak diendah.

Ironinya, polis ketika itu galak meminta media arus perdana memapar gambar wanted reformasi di dada akhbar termasuk Utusan.

Dalam satu sidang media tidak lama kemudian, seorang wartawan senior Utusan mempersoal keganasan polis kepada Ketua Polis Selangor (sudah meninggal dunia).

gandownload (1)“Datuk, polis minta media siar pesalah reformasi tetapi media pun ‘kena’ jugak.” Soalan itu hanya dijawab dengan janji yang tidak ditepati.

Anehnya, kisah sebegini cepat sejuk di kalangan pengamal media arus perdana tetapi cerita dikasari penyokong pembangkang sering kali digembar-gembur dari dada akhbar hingga ke kedai kopi.

Sebaik-baiknya, semua pengamal media konsisten dalam bersikap, dengan membantah sebarang keganasan terhadap pengamal media – baik sesiapapun pihak berkuasa mahupun penyokong kepartian.

Kebetulan, ia juga satu daripada lapan tuntutan Gerakan Media Marah (GERAMM) iaitu menyiasat keganasan terhadap pengamal media.

Maka, Protes Media Marah jam 2 petang esok di depan bangunan Majlis Peguam, Lebuh Pasar, Kuala Lumpur menjadi wadah paling sesuai untuk kita lepaskan marah dan geram.

Copy of geram-poster

* FAZALLAH PIT ialah bekas wartawan Berita Harian selama 13 tahun dan bekas editor Suara Keadilan antara 2010 hingga Mei 2013. Kini, Ketua Pengarang TV Selangor/Selangor Kini. Artikel ini pertama kali disiarkan di Malaysia Kini.