Categories
AGENDA NASIONAL

Guna jerami padi, sawit hasil makanan haiwan ternakan

SABAK BERNAM, 11 SEPT: Kerajaan Selangor menjalin kerjasama dengan dua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk menghasilkan sumber makanan alternatif kepada ternakan ruminan.

EXCO industri asas tani berkata kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) susulan kenaikan harga makanan palet ternakan terbabit dari semasa ke semasa.

Jelas Ir Izham Hashim, perunding dari kedua-dua IPTA berkenaan giat menjalankan penyelidikan dan membangunkan prototaip melalui penggunaan jerami padi serta bahan sawit yang dijangka siap pertengahan tahun depan.

“Kita beri suntikan modal bagi menyiapkan sampel dan sekiranya berjaya akan dibuat di kilang untuk komersial, kita harap usaha ini berjalan mengikut jadual,” katanya

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan bantuan pertanian kepada 10 penternak di Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Veterinar (VETMART) Sungai Nibong di sini.

Sementara itu, beliau berkata kos tanah mahal dan harga makanan tidak terkawal antara cabaran besar dalam membangunkan industri ternakan ruminan di Selangor.

“Pengeluaran tempatan daging lembu dan kambing atau tahap sara diri (SSL) di negeri ini pada paras lima peratus dan masih bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan.

“Ini bermaksud 95 peratus keperluan daging lembu dan kambing di Selangor datang dari luar. Kita tiada sasaran tetapi kalau boleh mahu tingkatkan SSL sedikit lagi,” katanya.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

303 penternak terima bantuan makanan haiwan bernilai RM230,000

SABAK BERNAM, 10 SEPT: Seramai 303 penternak di Selangor menerima bantuan makanan ternakan lembu dan kambing untuk meningkatkan tumbesaran haiwan.

EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata bantuan makanan ruminan bernilai RM230,000 di bawah Pakej Kita Selangor juga bertujuan meringankan beban golongan penternak.

“Kita menerima aduan daripada penternak yang memaklumkan kos makanan ruminan meningkat begitu tinggi sehingga membebankan mereka ditambah dengan situasi Covid-19 ketika ini.

“Jadi, kita memutuskan untuk memberi bantuan ini mengikut jumlah kandang dimiliki penternak dan setiap guni seberat 50 kilogram (kg) berharga RM65,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan tersebut kepada 10 penternak di Pusat Pengumpulan Dan Pemasaran Produk Veterinar (VETMART) Sungai Nibong di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor (DVS) Dr Hassuzana Khalil.

Sementara itu, Ir Izham berkata Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan DVS untuk memberikan bantuan baka lembu dan kambing kepada penternak tahun ini.

“Setiap tahun kita memang beri bantuan ini dan tahun ini menyediakan perbelanjaan RM700,000 untuk tujuan ini, sekarang dalam proses perolehan baka baik lembu dan daging kepada penternak.

“Saya percaya dengan benih dan baka yang baik diikuti pemakanan berkualiti akan meningkatkan sumbangan penternak kita untuk daging lembu serta kambing,” katanya.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan sejumlah RM2 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif meringankan beban petani, nelayan dan penternak.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif diberikan antaranya baucar petrol (nelayan), barangan pertanian (petani), makanan ternakan (penternak) dan bahan mentah (pengusaha industri asas tani).