Categories
AGENDA NASIONAL

Guna jerami padi, sawit hasil makanan haiwan ternakan

SABAK BERNAM, 11 SEPT: Kerajaan Selangor menjalin kerjasama dengan dua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk menghasilkan sumber makanan alternatif kepada ternakan ruminan.

EXCO industri asas tani berkata kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) susulan kenaikan harga makanan palet ternakan terbabit dari semasa ke semasa.

Jelas Ir Izham Hashim, perunding dari kedua-dua IPTA berkenaan giat menjalankan penyelidikan dan membangunkan prototaip melalui penggunaan jerami padi serta bahan sawit yang dijangka siap pertengahan tahun depan.

“Kita beri suntikan modal bagi menyiapkan sampel dan sekiranya berjaya akan dibuat di kilang untuk komersial, kita harap usaha ini berjalan mengikut jadual,” katanya

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan bantuan pertanian kepada 10 penternak di Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Veterinar (VETMART) Sungai Nibong di sini.

Sementara itu, beliau berkata kos tanah mahal dan harga makanan tidak terkawal antara cabaran besar dalam membangunkan industri ternakan ruminan di Selangor.

“Pengeluaran tempatan daging lembu dan kambing atau tahap sara diri (SSL) di negeri ini pada paras lima peratus dan masih bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan.

“Ini bermaksud 95 peratus keperluan daging lembu dan kambing di Selangor datang dari luar. Kita tiada sasaran tetapi kalau boleh mahu tingkatkan SSL sedikit lagi,” katanya.