Categories
SELANGOR

MPSJ Bina Kunci Air Halang Banjir

PUCHONG, 24 APR : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil insiatif membina kunci air di Kampung Kenangan di sini bagi mengekang limpahan air Sungai Klang daripada memasuki kampung itu bagi mengelak kejadian banjir yang sering melanda kampung tersebut.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid berkata, pembinaan kunci air bernilai RM15,000 mengambil kira kebimbangan penduduk yang sering berhadapan dengan masalah banjir apabila berlaku hujan lebat secara berterusan.

“Menyedari kerisauan penduduk berhubung perkara ini maka MPSJ telah mengambil langkah membina kunci air ini yang akan mengekang banjir dan limpahan air yang banyak dari Sungai Klang.

“Selain itu beberapa insiatif lain turut diambil MPSJ yang mana antaranya adalah seperti menjalankan kerja pembaikan longkang, mengemukakan permohonan Geran Selangorku bagi kerja penaiktarafan longkang di Kampung Kenangan selain memberi bantuan sumbangan kepada mangsa banjir yang terlibat bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Abdullah berkata demikian selepas majlis Perasmian Penyerahan Kunci Pintu Kawalan Air Kampung Kenangan di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Petaling Jaya, Datuk Zulkifli Rahmat; Ahli Majlis MPSJ, Azizan Jamaluddin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Kenangan, Ruslan Mohd Shah.

Sementara itu, Ruslan berkata, banjir kali terakhir berlaku di kampung itu pada Mac lalu dan senario itu adalah biasa apabila setiap kali berlaku hujan lebat.

Beliau berkata, pembinaan kunci air di kampung itu diharap akan mampu mengatasi masalah banjir di situ.

“Bila hujan memang kebiasaannya akan terjadi banjir di kampung ini tetapi dengan adanya kunci air kita harap masalah banjir sedikit sebanyak mampu ditangani secara beransur-ansur.

“Sebelum ini memang air mudah naik ke paras yang tinggi dengan cepat. Penduduk di kampung ini memang berasa risau dengan keadaan ini,” ujarnya.

Kira-kira 1,000 orang penduduk mendiami Kampung Kenangan. Kunci air yang kini dipegang Ruslan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 8 untuk kerja penyelengaraan selepas ini.