Categories
NASIONAL

Mahasiswa: Khaled Nordin Patut Undur

SHAH ALAM, 16 APR: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin disarankan mengundurkan diri dari terus memegang jawatan yang disandangnya kerana gagal memastikan pendidikan percuma dilaksanakan oleh kerajaan.

Demikian reaksi Pengerusi Badan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademi (Bebas), Safwan Anang Talib berhubung kenyataan Khaled yang mencabar golongan mahasiswa yang mahu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan  memulangkan wang pinjaman tersebut.

Safwan juga menganggap, kenyataan tersebut merupakan satu kenyataan tidak bertanggungjawab serta memalukan golongan penerima PTTN.

“Ini adalah satu kenyataan yang tidak bertanggung jawab datang dari seorang Menteri dan wajar untuk Datuk Seri Khaled Nordin mengundurkan diri.

“Sebagai seorang menteri Khaled seharusnya berpihak kepada mahasiswa dengan berjuang membela nasib mahasiswa supaya memastikan pendidikan percuma dilaksanakan bukannya menjadikan mahasiswa sebagai penghutang,” kata Safwan yang juga Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis).

Menurut Safwan, kegagalan Khalid membela nasib pelajar dan mahasiswa membuktikan tidak ada kesungguhan kerajaan serta menterinya untuk membela masa depan generasi muda di masa depan.

“Adakah dia (Khaled) tahu bahawa pelajar dipaksa membuat pinjaman dengan PTPTN dengan kadar faedah yang tinggi berbanding pinjaman yang disediakan oleh yayasan kerajaan negeri.

“Masalahnya, pelajar tak boleh terus mohon pinjaman dari yayasan negeri tetapi hendaklah memohon dari PTPTN dahulu.

“Sekiranya gagal dapat pinjaman dari PTPTN barulah boleh mohon dari yayasan-yayasan negeri.

“Kalau tak mohon dari PTPTN dahulu, memang tak boleh mohon pinjaman dari yayasan negeri walaupun faedah yang dikenakan PTPTN jauh amat tinggi.

“Isunya adalah bukan sekadar PTPTN dimansuhkan tetapi pendidikan percuma harus diberikan kepada rakat negara ini,” ujarnya kepada TVS.

Sementara itu dalam perkembangan kempen menuntut agar PTPTN dimansuhkan, kira-kira 20 aktivis mahasiswa yang terus kekal berada di Dataran Merdeka telah bertindak memasang semula tiga buah khemah.

Terdahulu, kira-kira jam 10.15 pagi tadi kesemua lima buah khemah aktivis mahasiswa telah dirampas oleh kira-kira 50 penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan anggota polis.

Categories
NASIONAL

Mahasiwa pro-Umno Akan Sertai Demo Anti-PTPTN

SHAH ALAM, 12 APRIL: Mahasiswa pro-Umno bakal menyertai himpunan mendesak pemansuhan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Sabtu ini di Dataran Merdeka.

Ini disahkan pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Safwan Anang hari ini yang mengatakan mahasiswa pro-Umno tersebut daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Safwan bekata setakat ini, beberapa kumpulan mahasiswa dari Kelantan, Terengganu dan Johor menyatakan kesediaan untuk turun.

“Semalam kami ada berjumpa dengan beberapa kelompok mahasiswa yang sebelum ini pro-kerajaan, mereka turut menyatakan hasrat yang sama dek kerana sekarang tiada sebarang respon daripada pihak kerajaan terutama Kementerian Pengajian Tinggi berhubung isu PTPTN.

?Yang ada hanya daripada parti-parti politik tertentu.

“Kita akan teruskan demo ini sehingga kerajaan beri komitmen untuk isu PTPTN. Kita tidak mahu kerajaan jawab seperti sebelum ini, serahkan dalam pilihanraya umum, jangan buat demo,” katanya.

Safwan menegaskan, pihaknya tidak membuat sebarang permohonan permit kepada pihak polis untuk berhimpun memandangkan sebelum ini himpunan yang dinjurkan oleh SMM mendapat kerjasama baik pihak berkuasa.

Mereka beranggapan, himpunan ini adalah hak semua rakyat yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berhubung provokasi yang mungkin akan ditimbulkan,

SMM juga memberikan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk memantau keselamatan dan menangani sebarang tindakan provokasi.

Safwan berkata himpunan tersebut tiada sebarang perarakkan.

SMM menjangkakan 5,000 orang akan hadir dalam himpunan tersebut yang juga melibatkan orang awan yang pernah menjadi peminjam.

Pakatan Rakyat sebelum ini memberikan komitmen untuk menghapuskan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma hingga ke universiti jika berjaya menawan Putrajaya.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pinjaman PTPTN bernilai RM43.6 bilion dapat diselesaikan dalam tiga tahun melalui hasil dari penjimatan perbelanjaan dan bayaran daripada syarikat kerajaan yang membuat keuntungan tinggi seperti Petronas.